Oleh Kho Thong Eng
16 April 2024, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata ialah dan adalah merupakan kata pemeri yang merangkaikan subjek dengan predikat tertentu dalam ayat tunggal dan ayat majmuk. Kata pemeri ialah bersifat ekuatif, dan digunakan untuk merangkaikan subjek dan predikat yang biasanya setara dan seimbang.

Oleh sebab itu, subjek dan predikat ayat tersebut biasanya dapat diterbalikkan tanpa menjejaskan maksud atau struktur ayat. Malahan, kata kerja merupakan dapat juga berfungsi seperti kata pemeri ialah dalam keadaan tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  En. Ali ialah salah seorang penceramah kursus itu.

1b.  Salah seorang penceramah kursus itu ialah En. Ali.

 

2a.  En. Ali merupakan salah seorang penceramah kursus itu.

 

Dalam kelompok ayat 1 dan ayat 2a, kata ialah dan merupakan merangkaikan subjek dan predikat Frasa Nama + Frasa Nama yang setara dan seimbang dalam ayat tunggal.

 

Kata adalah bersifat kualitatif, iaitu merangkaikan subjek frasa nama dengan predikat Frasa Adjektif atau Frasa Sendi nama yang merupakan huraian subjek. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  En. Ahmad adalah sopan.

3b.  Hadiah ini adalah untuk adiknya.

Dalam ayat 3a, kata pemeri adalah merangkaikan subjek frasa nama En. Ahmad dengan predikat sopan yang merupakan kata adjektif, manakala dalam ayat 3b, kata pemeri adalah merangkaikan subjek frasa nama hadiah ini dengan predikat untuk adiknya yang merupakan frasa sendi nama.

Kata pemeri ialah dan adalah tidak digunakan untuk merangkaikan subjek frasa nama dengan predikat frasa kerja. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  *Dia ialah tidak belajar.

4b.  *Dia adalah tidak belajar.

Walau bagaimanapun, ada kalanya kata pemeri ialah seolah-olah merangkaikan subjek frasa nama dengan predikat frasa kerja dan frasa adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Kegemarannya ialah berenang.

5b.  Kegemarannya ialah aktiviti berenang.

 

6a.  Warna kegemarannya ialah putih.

6b.  Warna kegemarannya ialah warna putih.

Dalam ayat 5a, kata pemeri ialah kelihatan mendahului kata kerja berenang kerana inti frasa nama seperti aktiviti atau kegiatan telah digugurkan. Dalam ayat 6a pula, kata pemeri ialah kelihatan mendahului kata adjektif putih kerana inti frasa nama seperti warna telah digugurkan. Dalam hal ini, pertimbangan yang penting ialah kata ialah tetap bersifat ekuatif dalam ayat-ayat tersebut.

Oleh sebab kata pemeri ialah bersifat ekautif, kata pemeri ini dapat merangkaikan subjek frasa nama dengan predikat klausa komplemen yang dapat diganti oleh frasa nama seperti hal itu, perkara itu, hal yang penting dan sebagainya.

7a.  Hal itu memang benar.

7b.  Bahawa ujian itu susah memang benar.

 

8a.  Hal itu adalah sukar.

8b.  Untuk dia berjaya adalah sukar.

Dalam kelompok ayat 7, klausa komplemen bahawa ujian itu susah dapat diganti secara paradigmatik oleh frasa nama hal itu. Dalam kelompok ayat 8 pula, klausa komplemen untuk dia berjaya dapat diganti secara paradigmatik oleh frasa nama hal itu.

9a.  Hakikat yang diakui umum ialah bahawa ujian itu susah.

9b.  Bahawa ujian itu susah ialah hakikat yang diakui umum.

 

10a.  Hakikat yang diakui umum ialah hal itu.

10b.  Hal itu ialah hakikat yang diakui umum.

 

11a.  Hal yang penting ialah untuk dia berjaya.

11b.  Untuk dia berjaya ialah hal yang penting

 

12a.  Hal yang penting ialah hal itu.

12b.  Hal itu ialah hal yang penting.

 

Dalam kelompok ayat 9, ternyata bahawa kata pemeri ialah menghubungkan subjek frasa nama hakikat yang diakui umum dengan predikat klausa komplemen bahawa ujian itu susah secara setara dan seimbang atau secara ekuatif. Oleh itu, susunan ayat itu dapat diterbalikkan tanpa menjejaskan maksud atau struktur ayat. Malahan, klausa komplemen dapat diganti secara paradigmatik oleh frasa nama hal itu (lihat kelompok ayat 10).

Dalam kelompok ayat 11, ternyata bahawa kata pemeri ialah menghubungkan subjek frasa nama hal yang penting dengan predikat klausa komplemen untuk dia berjaya secara setara dan seimbang.  Oleh itu, susunan ayat itu dapat diterbalikkan tanpa menjejaskan maksud atau struktur ayat. Malahan, klausa komplemen dapat diganti secara paradigmatik oleh frasa nama hal itu (lihat kelompok ayat 12).

Dalam hal struktur ayat 9a, biasanya kata hubung komplemen bahawa digugurkan oleh masyarakat bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:

13a.  Hakikat yang diakui umum ialah bahawa ujian itu susah.

13b.  Hakikat yang diakui umum ialah ujian itu susah.

13c.  Hakikat yang diakui umum ialah hal itu.

 

14a.  Tujuan projek itu (diadakan) ialah bahawa kerajaan hendak menyantuni

orang miskin.

14b.  Tujuan projek itu (diadakan) ialah kerajaan hendak menyantuni orang

miskin.

14c.  Tujuan projek itu (diadakan) ialah tujuan itu.

 

15a.  Sebab kejadian itu ialah bahawa dia cuai.

15b.  Sebab kejadian itu ialah dia cuai.

15c.  Sebab kejadian itu ialah sebab itu.

 

Walau bagaimanapun, selain menjadi kata hubung komplemen, kata untuk dapat juga berfungsi sebagai kata sendi nama dan kata hubung pancangan keterangan tujuan. Sila lihat contoh yang berikut:

16a.  Hadiah ini adalah untuk adiknya.

16b.  Hadiah ini untuk adiknya.

 

17a.  Encik Ahmad adalah sopan.

17b.  Encik Ahmad sopan.

 

18a.  Dia berusaha untuk (dia) berjaya.

18b.  *Dia berusaha adalah untuk (dia) berjaya.

 

Dalam kelompok ayat 16 dan 17, kata pemeri adalah merupakan perangkai subjek dan predikat yang opsyenal. Dalam kelompok ayat 16, kata untuk ialah kata sendi nama. Dalam ayat 18a pula, kata untuk ialah kata hubung pancangan keterangan tujuan yang merangkaikan klausa bebas dia berusaha dengan klausa tak bebas untuk (dia) berjaya dalam ayat majmuk pancangan keterangan tujuan.  Dalam hal ini, kata pemeri adalah tidak perlu kita gunakan (lihat ayat 18b).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.