Oleh Kho Thong Eng
13 Mac 2024, 11:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa digunakan sebagai wahana sosial untuk berkomunikasi. Oleh itu, bahasa diharapkan dapat menyampaikan mesej dengan sejelas-jelasnya dan setepat-tepatnya. Hal ini dapat dimanifestasikan melalui aspek tatabahasa. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia membeli kereta.

1b.  Dia membeli kereta baharu.

1c.  Dia membeli kereta terpakai.

1d.  Dia membeli kereta itu.

1e.  Dia membeli kereta yang berwarna biru.

1f.  Dia membeli dua buah kereta sekali gus.

 

Ayat 1a gramatis tetapi maklumat yang disampaikannya bersifat umum. Dalam ayat 1b, penambahan penerang adjektif baharu menjadikan keadaan kereta yang dibeli lebih jelas. Dalam ayat 1c, maklumat menjadi lebih jelas dengan adanya penerang kata kerja terpakai yang menyusuli inti frasa nama kereta. Dalam ayat 1d, kata ganti nama tunjuk itu yang merupakan penentu belakang frasa nama menjadikan kereta yang dipilih dan dibelinya jelas.

Dalam ayat 1e, klausa relatif yang berwarna biru memberikan maklumat tambahan kepada inti frasa nama kereta. Dalam ayat 1f, kata bilangan tentu (kardinal) dua dan penjodoh bilangan buah yang merupakan penentu hadapan frasa nama menjadikan jumlah kereta yang dibeli olehnya jelas.

 

2a.  Dia cantik.

2b.  Dia lebih cantik daripada kakaknya.

2c.  Dia paling cantik antara ahli keluarganya.

2d.  Dia cantik pada suatu masa dahulu.

2e.  Dia cantik selepas bersolek.

2f.   Dia cantik berseri-seri.

2g.  Dia masih cantik lagi.

 

Dalam ayat 2a, kata adjektif cantik memberikan maklumat umum tentang subjek dia. Dalam ayat 2b, dia dikatakan lebih cantik jika dibandingkan dengan kakaknya. Dalam ayat 2c, dia dikatakan paling cantik jika dibandingkan dengan semua ahli keluarganya. Oleh itu, penambahan kata penguat lebih dan paling serta frasa keterangan daripada kakaknya dan antara ahli keluarganya menjadikan huraian tentang kecantikannya lebih jelas dan lebih lengkap.

Dalam ayat 2d, kecantikannya dihuraikan oleh frasa keterangan pada suatu masa dahulu dan dalam ayat 2e, kecantikannya dihuraikan oleh klausa keterangan waktu selepas (dia) bersolek. Dalam ayat 2f, kata kerja adverba berseri-seri menjadikan kecantikannya lebih ketara. Dalam ayat 2g, kecantikannya dihuraikan oleh kata bantu aspek masih.

 

3a.  Ali belajar.

3b.  Ali belajar bersungguh-sungguh.

3c.  Ali belajar sampai larut malam.

3d.  Ali belajar sampai penat.

3e.  Dia jarang-jarang belajar.

3f.   Dia enggan belajar.

3g.  Ali sedang belajar.

 

Dalam ayat 3a, kata kerja belajar memberikan maklumat umum tentang subjek  Ali. Dalam ayat 3b, adverba bersungguh-sungguh menjelaskan cara dia belajar. Dalam ayat 3c, frasa keterangan sampai larut malam menjelaskan tempoh Ali belajar. Dalam ayat 3d, klausa keterangan akibat sampai (dia) penat menjelaskan kesudahan Ali belajar. Dalam ayat 3e, kata adverba jarang-jarang menjelaskan kekerapan dia belajar. Dalam ayat 3f, kata bantu ragam enggan menunjukkan bahawa dia keberatan untuk belajar. Dalam ayat 3g, kata bantu aspek sedang menghuraikan kata kerja belajar.

 

4a.  *Dia murah.

4b.  Dia murah hati/mulut/tangan/rezeki.

4c.  Dia murah dengan senyuman.

 

Dalam ayat 4a, kata adjektif murah kurang bermakna. Dalam ayat 4b, kata adjektif majmuk kiasan atau simpulan bahasa murah hati, murah mulut, murah tangan dan murah rezeki menjelaskan sifat atau keadaan subjek dia. Dalam ayat 4c, frasa keterangan dengan senyuman menjadikan predikat murah dengan senyuman bermaksud jelas dan lengkap.

 

5a.  Dia ke kampungnya.

5b.  Dia ke kampungnya bersendirian.

5c.  Dia ke kampungnya dengan ibunya.

5d.  Dia ke kampungnya pada hujung minggu.

5e.  Dia ke kampungnya untuk mengurus hal keluarga.

5f.   Dia segera ke kampungnya jika neneknya sakit.

5g.  Dia mahu ke kampungnya sekarang.

 

Dalam ayat 5a, frasa sendi nama ke kampungnya memberikan maklumat umum tentang destinasi tujuan subjek dia. Dalam ayat 5b, frasa sendi nama ke kampungnya dihuraikan oleh kata kerja adverba bersendirian. Dalam ayat 5c, frasa sendi nama ke kampungnya dihuraikan dengan frasa keterangan penyertaan dengan ibunya. Dalam ayat 5d, frasa sendi nama ke kampungnya dihuraikan oleh frasa keterangan masa pada hujung minggu.

Dalam ayat 5e, frasa sendi nama ke kampungnya dihuraikan oleh klausa keterangan tujuan untuk mengurus hal keluarga. Dalam ayat 5f, frasa sendi nama ke kampungnya dihuraikan sekali gus oleh adverba segera dan klausa keterangan syarat jika neneknya sakit. Dalam ayat 5g, frasa sendi nama ke kampungnya dihuraikan oleh kata bantu ragam mahu dan kata nama adverba sekarang. Tuntasnya, segala maklumat tambahan yang diberikan menjadikan hal ke kampungnya menjadi lebih jelas dan lebih lengkap.

 

6a.  Dia ke seberang.

6b.  Dia ke seberang Sungai Rejang.

 

7a.  Dia di dalam.

7b.  Dia di dalam dewan.

 

Dalam ayat 6a, maklumat yang diberikan oleh frasa sendi nama yang terdiri daripada kata sendi nama ke dan kata arah seberang hanyalah jelas kepada pihak yang berlawan cakap. Bagi orang lain, maklumat itu masih terlalu umum dan kabur. Oleh itu, penambahan kata atau frasa nama seperti sungai Rejang dapat menjadikan maklumat itu jelas kepada orang lain juga (lihat ayat 6b). Begitu jugalah keadaannya dalam kelompok ayat 7.

Sebagai rumusannya, maklumat dalam ayat dapat dijadikan lebih jelas, lebih dan lebih terperinci dengan cara yang berikut:

 

Kata/Frasa Unsur Penambahan Maklumat
kata nama kata adjektif, kata bilangan, kata penentu belakang, penerang, klausa relatif
kata kerja kata adverba, kata bantu, frasa keterangan, klausa keterangan
kata adjektif kata penguat, kata adverba, kata bantu, frasa keterangan, klausa keterangan
frasa sendi nama kata adverba, kata bantu, frasa keterangan, klausa keterangan

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.