Oleh Kho Thong Eng
7 Mac 2024, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Warna merupakan aspek hidup yang penting kerana warna yang pelbagai dapat menceriakan hati dan menaikkan semangat seseorang. Dalam hal ini, warna dapat kita nyatakan secara mudah seperti yang berikut:

1a.  Keretanya berwarna biru.

1b.  Dia memakai baju kuning.

1c.  Skirt merahnya sudah koyak.

Dalam kelompok ayat 1, terdapat tiga warna asas, iaitu warna biru, merah dan kuning. Percampuran antara tiga warna asas itu menerbitkan warna sekunder hijau (biru + kuning), ungu (biru + merah) dan jingga (kuning + merah).

Seterusnya, campuran warna asas dengan warna sekunder menghasilkan warna tertier seperti warna kuning hijau, merah jingga, biru ungu dan sebagainya. Selain itu, percampuran pelbagai warna juga menghasilkan warna tambahan seperti warna coklat, kelabu dan perang.

Warna dapat dibezakan dari segi tona, iaitu nilai cerah atau gelap pada sesuatu warna. Hal ini berkaitan dengan tona keputih-putihan dan kehitam-hitaman. Sebagai contoh, warna biru yang keputih-putihan disebut sebagai biru muda dan biru yang kehitam-hitaman disebut sebagai biru gelap atau biru tua.

Jika sesuatu warna kelihatan dengan amat jelas, hal ini dapat digambarkan dengan frasa seperti yang berikut:

2a.  Mukanya merah padam.

2b.  Kulitnya putih melepak.

2c.  Pembesar suara itu hitam legam.

 

Keadaan yang sangat merah dapat digambarkan juga sebagai merah menjahang, merah marak, merah merang dan merah murup, mengikut kesesuaian penggunaannya dalam ayat yang berkenaan. Keadaan yang amat putih boleh dinyatakan juga sebagai putih metah, putih lesi, putih pucat, dan putih jelepak. Keadaan yang amat hitam dapat dinyatakan sebagai hitam kumbang, hitam jangat, hitam lengit, hitam lotong dan hitam pekat.

Keadaan yang seakan-akan warna tertentu dinyatakan dengan kata ganda separa yang berapitan ke-…-an. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Langsir rumahnya kekuning-kuningan.

3b.  Cahaya kebiru-biruan melimpahi pentas.

3c.  Asap kekelabu-kelabuan berkepul-kepul naik.

 

Sesuatu warna umum dapat juga dinyatakan dengan lebih jelas dan lebih berseni dengan membandingkannya dengan warna benda tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

Warna Umum Jenis Bandingan Warna Khusus
putih benda putih mutiara, putih gading, putih kapas, putih kapur, putih susu, putih krim
rambut putih uban
alam putih awan, putih salji
tumbuhan putih umbut, putih langsat
hitam benda hitam dakwat
hidupan hitam kumbang, hitam gagak, hitam lotong
buah hitam (tompok) manggis
merah bahagian badan merah darah, merah hati
tumbuhan merah jantung pisang, merah jambu, merah saga, merah anggur, merah bawang, merah pulasan, merah asam, merah padma
benda merah bata, merah delima, merah api, merah darah ikan
alam merah lembayung
kuning haiwan kuning pingai
benda kuning gading, kuning telur, kuning madu, kuning air, kuning tanah
logam kuning loyang, kuning mengemas, kuning tembaga
tumbuhan kuning betik, kuning buluh, kuning cempaka, kuning jagung, kuning lemon, kuning kunyit, kuning pinang masak
hijau haiwan hijau kepala itik, hijau serindit
tumbuhan hijau pucuk pisang, hijau lumut, hijau (daun) gadung, hijau bemban
alam hijau laut
biru alam biru langit, biru laut
benda biru telur itik, biru lebam
tumbuhan biru telang, biru nila
haiwan biru merak
coklat benda coklat kayu, coklat koko, coklat tembakau, coklat sampang
tumbuhan coklat buah zaitun
kelabu benda kelabu asap, kelabu tahi anjing
ungu alam ungu lembayung
tumbuhan ungu terung

 

Biasanya warna yang dinyatakan secara perbandingan dengan perkara atau benda tertentu merupakan warna campuran. Sila lihat contoh yang berikut:

Warna Perbandingan Warna Campuran
putih krim putih bercampur kuning
putih langsat, putih gading, kuning langsat, kuning gading putih kekuning-kuningan
merah jambu, merah delima merah keputih-putihan (merah muda)
merah lembayung merah bercampur ungu
kuning air, kuning pingai kuning keputih-putihan (kuning muda)
kuning pinang masak kuning kemerah-merahan
hijau kepala itik hijau kebiru-biruan
hijau pucuk daun pisang, hijau (daun) gadung hijau keputih-putihan (hijau muda)
hijau serindit lebih muda daripada hijau pucuk pisang
hijau bemban hijau kehitam-hitaman, hijau pekat/gelap
biru merak biru kehijauan yang terang
biru nila biru tua keunguan
biru lebam biru kehitam-hitaman, biru gelap

 

Ada kalanya warna yang dinyatakan berkaitan dengan perasaan orang yang menyatakannya atau perasaan orang yang dilukiskan olehnya. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Matanya merah menyala/membara.

4b.  Mukanya merah padam.

4c.  Kulit gadis itu hitam manis.

4d.  Rumahnya putih berseri.

4e   Dinding itu hitam usam.

 

Dalam kelompok ayat 4a-4e, warna yang digambarkan berkaitan dengan perasaan. Dalam ayat 4a, frasa merah menyala atau merah membara menggambarkan warna merah yang berkaitan dengan perasaan marah.

Dalam ayat 4b, frasa merah padam menggambarkan warna merah yang berkaitan dengan perasaan malu atau marah.

Dalam ayat 4c, frasa hitam manis atau hitam kerak dodol menggambarkan warna hitam kemerah-merahan yang disukai orang.

Dalam ayat 4d, frasa putih berseri menggambarkan warna putih yang berkaitan dengan perasaan ceria atau suasana meriah.

Dalam ayat 4e, frasa hitam usam menggambarkan warna hitam yang tidak berseri atau kotor.

Adakalanya gambaran warna dapat dijadikan lagi berseni dengan adanya kata kerja yang berfungsi sebagai adverba. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Dinding bangunan itu sudah hitam berdaki.

5b.  Daun pokok itu sudah kuning kelayuan

5c.  Tiang besi itu merah berkarat.

5d.  Kasutnya hitam berkilat.

Dalam ayat 5a, warna hitam dihuraikan oleh kata kerja berdaki. Dalam ayat 5b, warna kuning dihuraikan oleh kata kerja kelayuan. Dalam ayat 5c, warna merah dihuraikan oleh kata kerja berkarat. Dalam ayat 5d, warna hitam dihuraikan oleh kata kerja berkilat. Gandingan antara kata adjektif warna dengan kata kerja adverba dapat memberikan gambaran yang lebih jelas, tepat dan terperinci tentang sesuatu perkara.

Ada kalanya warna yang dinyatakan membawa konotasi perasaan. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Perasaannya kelabu pada hari ini.

 

Dalam ayat 6, warna kelabu membawa maksud “suram” atau “tidak ceria”.

 

Dalam bahasa Melayu klasik, terdapat sejumlah kata yang berkaitan dengan warna. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata Bahasa Melayu Klasik Warna
galuh perak
biram merah
kundang ungu
kencana emas
wilis biru kehijau-hijauan, hijau tua
tarum biru tua
firus kebiru-biruan
layung kuning pada waktu petang
nilakandi biru langit
hartal kuning
kirmizi, jahang merah tua, merah kesumba
langking hitam
perunggu gangsa

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.