Oleh Kho Thong Eng
2 April 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayat pasif ialah ayat yang mendahulukan objek sebagai subjek terbitan ayat. Bentuk ayat pasif adalah seperti yang berikut:

1a.  Pintu itu (harus) awak kunci.

1b.  Pintu dikunci oleh Fatimah.

1c.  Pintu itu terkunci.

1d.  Pintu itu (masih) berkunci.

1e.  Dia kehujanan.

1f.   Pintu itu kena kunci (oleh ayahnya).

Dalam ayat 1a, terdapat bentuk ayat pasif mengikut hukum aneksi persona, iaitu kata ganti nama diri orang kedua awak mendahului kata kerja pasif kunci tanpa sebarang awalan. Dalam ayat 1b hingga 1e, terdapat kata kerja pasif dengan imbuhan pada kata kerja pasif, seperti imbuhan  di- (ayat 1b), teR- (ayat 1c), beR- (ayat 1d) dan ke-…-an (ayat 1e). Dalam ayat 1f pula, terdapat ayat pasif dengan kata kena dan kata kerja pasif kunci yang tiada sebarang awalan.

Ayat pasif terbit daripada ayat aktif transitif, iaitu ayat yang mempunyai kata kerja aktif transitif. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Awak mengunci pintu itu.

2b.  Pintu itu awak kunci.

2c.  Awak kunci pintu itu.

Ayat 2a merupakan ayat aktif transitif. Sebabnya dikatakan begitu ialah subjek awak berada pada pangkal ayat diikuti kata kerja aktif transitif mengunci dan objek pintu itu. Ayat 2b ialah ayat pasif kerana pintu itu yang merupakan objek dalam ayat aktif transitif dikedepankan sebagai subjek terbitan ayat. Frasa nama pintu itu diikuti kata ganti nama diri orang kedua awak dan kata kerja pasif tanpa sebarang awalan kunci. Ayat 2c pula merupakan ayat pasif songsang, iaitu kata ganti diri orang kedua awak dan kata kerja pasif tanpa awalan kunci dikedepankan bersama-sama berbanding dengan pintu itu.

Jadi, bagaimanakah kita dapat membezakan ayat 2a daripada ayat 2c? Kalau kedua-dua ayat itu disampaikan secara lisan, perbezaan dari segi kedudukan jeda atau hentian sekejap dalam ayat dapat membezakan kedua-duanya. Dalam penulisan, bentuk 2a biasa kita gunakan berbanding dengan bentuk 2c. Oleh itu, jika kita kurang pasti sama ada  struktur ayat 2c merupakan ayat pasif songsang atau ayat penyata aktif yang tersilap ditulis, kita terpaksa bertanya kepada pihak yang menulis ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Awak/mengunci pintu itu.

3b.  Awak kunci/pintu itu.

3c.  *Awak/kunci pintu itu.

 

4a.  *Awak pintu itu.

4b.  Kunci pintu itu.

 

*/menandakan jeda.

 

Ada tiga perkara yang menarik tentang ayat 3b:

  • kata kerja pasif kunci tanpa awalan hanya dapat wujud dalam ayat penyata pasif.
  • Kata ganti nama diri orang kedua awak tidak dapat dipisahkan dari kata kerja pasif tanpa awalan kunci, dan harus dikedepankan bersama-sama.
  • Jeda ayat wujud selepas awak kunci, bukannya selepas kata awak kerana kata awak dan kunci merupakan entiti terikat yang tidak boleh dipisahkan.
  • Ada kaitan yang erat antara kata ganti nama diri orang kedua awak dengan kata kerja pasif tanpa awalan seperti kunci menurut hukum aneksi persona. Oleh itu, kedua-dua kata itu mesti wujud bersama-sama dan tiada kata yang boleh ditiadakan atau digugurkan.  Sehubungan dengan itu, ayat 4a dan ayat 4b bukan ayat penyata pasif songsang yang betul.

Walau bagaimanapun, bentuk ayat 4b sememangnya wujud, tetapi bukan sebagai ayat penyata pasif songsang. Sebaliknya, ayat 4b merupakan ayat perintah atau ayat suruhan. Sila lihat contoh ayat yang berikut:

5a.  Awak/mengunci pintu itu.

5b.  Awak/kunci pintu itu.

5c.  Kunci pintu itu.

 

Ayat 5b ditransformasikan daripada ayat 5a yang merupakan ayat aktif transitif. Dalam ayat 5b, awalan meN- digugurkan supaya ayat perintah itu disampaikan secara lebih langsung, lebih jelas dan lebih tegas. Dalam ayat 5c, kata ganti nama diri orang kedua awak digugurkan kerana pihak yang diberi arahan itu sudah sedia diketahui oleh kedua-dua pihak.

Ayat 5b dan 5c dapat kita analisis seperti yang berikut:

  1. Ayat-ayat itu betul sebagai ayat perintah, tetapi kurang sempurna sebagai ayat penyata. Sebabnya ialah awalan meN- tidak boleh digugurkan dalam ayat penyata aktif transitif.
  2. Ayat 5b ialah ayat perintah kerana jeda berada di tengah-tengah ayat awak dan kunci. Hal ini memisahkan kedua-dua kata tersebut, dan tiada lagi ikatan menurut hukum aneksi persona.
  3. Dalam ayat perintah 5c, dengan tiada ikatan antara kata awak dengan kata kunci, kata awak boleh kita gugurkan supaya kita dapat menyampaikan arahan itu dengan lebih tegas.

 

Walau bagaimanapun, bagi ayat perintah yang ada kata kerja tak transitif, awalan boleh dikekalkan. Sila lihat contoh ayat berikut:

6a.  Lompati longkang itu!

6b.  Dirikan tiang gol itu!

7a.  Melompat!

7b.  Berdiri!

Dalam kelompok ayat aktif transitif 6, awalan meN- digugurkan dalam ayat perintah, tetapi dalam kelompok ayat aktif tak transitif 7, awalan meN- dan beR- harus kita kekalkan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.