Oleh Kho Thong Eng
18 Mac 2024, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Homograf ialah dua patah kata atau lebih yang mempunyai grafem atau ejaan yang sama, tetapi berbeza dari segi sebutan dan maksud. Dalam bahasa Melayu, hal ini biasanya berkaitan dengan pasangan kata dengan bunyi e taling atau e pepet pada suku kata pertama. Homograf merupakan homonim juga. Sila lihat contoh yang berikut:

Bil. Contoh Homograf Bunyi Vokal pada

Suku Kata Pertama

Maksud
1. bela e taling melindungi
bela e pepet memelihara
2. selak e taling membuka
selak e pepet mengunci dengan selak
3. perang e taling merah kehitam-hitaman
perang e pepet pertempuran
4. sepak e taling menendang
sepak e pepet menampar
5. semak e taling meneliti
semak e pepet tidak teratur

Di dalam jadual di atas, pasangan kata bela, selak, perang, sepak dan semak merupakan homograf kerana ejaannya sama, namun sebutan dan maksudnya berbeza. Selain itu, ada juga homograf dengan dua bunyi yang berbeza, iaitu kata reda yang boleh disebut dengan e taling atau e pepet, selain bunyi “d” yang berbeza sebutannya.

Homofon ialah pasangan atau kelompok kata yang mempunyai sebutan yang sama, namun ejaan dan maksudnya berbeza. Dalam bahasa Melayu, pasangan atau kelompok kata yang betul-betul sama sebutan sahaja sangat terhad.

Contohnya ialah kata llama (sejenis binatang berbulu tebal yang berasal dari Amerika Selatan) dan lama (panjang masanya) yang kita sebut sebagai [lama]. Menurut Kamus Dewan Perdana, sebutan bagi pasangan kata seperti bank dengan bang, dan masa dengan massa pun berbeza sedikit.

Walau bagaimanapun, kita ada banyak homonim yang juga merupakan homofon dan homograf sekali gus. Hal ini melibatkan kata tunggal dan kata ganda. Homonim ialah pasangan atau kelompok kata yang sama dari segi sebutan dan ejaannya, tetapi berbeza dari segi maknanya. Sila lihat contoh yang berikut:

Bil. Contoh Homofon/Homograf/Homonim Maksud
1. ketam I menutup
ketam II alat untuk melicinkan kayu
ketam III menuai dengan ani-ani dll
ketam IV haiwan, kulitnya keras, berkaki sepuluh dan bersepit
2. bang I azan
bang II bunyi benda jatuh, meletup, dll
bang III panggilan “abang”
3. daki I kotoran
daki II memanjat ke puncak
4. bangang I bodoh
bangang II sejenis tumbuhan
5. pisang I sejenis tumbuhan, musa spp.
pisang II sejenis tumbuhan, kesmak
pisang III sejenis ikan darat
6. pisang-pisang I sejenis gading-gading
pisang-pisang II sejenis tumbuhan, segauh
pisang-pisang III sejenis ikan laut

 

Di dalam jadual di atas, kelompok kata ketam, bang, daki, bangang, pisang dan pisang-pisang merupakan homofon, homograf dan homonim sekali gus.

Secara rumusannya, hubung kait antara homofon, homograf dan homonim adalah seperti yang berikut:

Istilah Maksud Ejaan Sebutan
homonim berbeza sama sama
homofon sahaja berbeza berbeza sama
homograf sahaja berbeza sama berbeza

 

  1. Semua homofon (kata yang sama bunyinya) dan homograf (kata yang sama ejaannya) merupakan homonim. Homofon atau homograf hanya mempunyai sati ciri persamaan.
  2. Homonim jenis homofon mungkin sama atau berbeza daripada homonim jenis homograf.
  3. Homonim mempunyai satu atau dua ciri persamaan.

Homofon, homograf dan homonim tidak meliputi kata polisemi. Hal ini dikatakan demikian kerana polisemi ialah kata pelbagai maksud, ialah satu kata yang mempunyai maksud utama yang sama, dan maksud pecahannya yang saling berkaitan.

Konsep homofon, homograf dan homonim kita pinjam daripada bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, banyak terdapat homofon, homograf dan homonim.  Sila lihat contoh yang berikut:

Jenis Kata Contoh Kata Maksud
homophone/homonym pair pasangan
pear sejenis buah
homograph/homonym tear koyak
tear air mata
homonym/homophone/homograph fair adil
fair pesta

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.