Oleh Mohamad Ibrahim
24 November 2021, 15:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pemantauan bahasa di tempat awam merupakan antara tugas dan tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul digunakan secara meluas bagi segala maksud melalui arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan, seperti yang termaktub dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Perluasan) 1995. Projek ini dilaksanakan untuk mengesan kesilapan bahasa yang berlaku atau yang dipamerkan di tempat awam seperti pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang yang jika tidak dicegah dengan segera akan mencemarkan maruah bahasa kebangsaan.

Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar 2009 menggariskan bahawa penggunaan bahasa Melayu hendaklah dipastikan betul dan tepat dari segi penggunaan perkataan, susunan ayat, ejaan, tatabahasa dan sebagainya. Penggunaan bahasa yang betul juga hendaklah merujuk dan mendapat pengesahan daripada pihak DBP.

Surat arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 24 Februari 2015, nombor rujukan JKT.D.100-1/3/2 Jld. 6 (19) mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mewajibkan pengiklan dan agensi pengiklanan mendapatkan pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul daripada DBP sebelum mereka diberi lesen untuk menyiarkan iklan di tempat awam.

Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah (DBPWTgh) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Majlis Bandaraya Seremban telah melaksanakan program pemantauan bahasa di tempat awam di sekitar Putrajaya, Seremban dan Nilai. Program ini disertai oleh Munsyi Dewan (Puan Mahaya Mohd. Yassin), pegawai Perbadanan Putrajaya, pegawai Majlis Bandaraya Seremban dan pegawai DBPWTgh pada 16 hingga 18 November 2021 yang lalu.

Pemantauan bahasa yang dijalankan bersama-sama pihak Majlis Bandaraya Seremban Cawangan Nilai turut disertai oleh Puan Mahaya Mohd Yassin.

Program ini bertujuan bagi merakam, menegur dan mengambil tindakan untuk membetulkan kesilapan bahasa dengan kadar segera. Secara khususnya, program ini dilaksanakan dengan objektif untuk menilai tahap penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang; menilai keberkesanan penguatkuasaan bahasa kebangsaan pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang seperti yang diperuntukkan oleh Undang-undang Kecil Iklan yang diterima pakai oleh PBT; mengenal pasti kesilapan bahasa, dan mengenal pasti punca masalah tersebut serta membuat teguran kepada pihak yang berkaitan; dan meningkatkan kerjasama dengan semua pihak, terutamanya pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta dengan menawarkan kursus kebahasaan, khidmat nasihat bahasa dan sebagainya untuk mengurangkan kesalahan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan atau papan tanda.

Penggunaan bahasa kebangsaan sepenuhnya pada gegantung pemberitahuan.

Pemantauan bermaksud memberikan pengawasan termasuklah memantapkan, menilai atau mengkaji, menyemak dan membaiki, mengambil tindakan susulan dan membuat laporan dalam pelbagai tujuan untuk mengembangkan dan meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan bermutu pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang.

Penggunaan bahasa kebangsaan dan tulisan Jawi di premis kerajaan.

Aspek utama yang akan dinilai ialah tahap dan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan bermutu pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang. Oleh yang demikian, kesungguhan PBT dapat dilihat apabila menggunakan bahasa kebangsaan selaras dengan Surat Pekeliling Am bilangan 1 tahun 2006 berkenaan Langkah-langkah Memperkasakan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam dan Undang-undang Kecil Iklan pada setiap PBT dan surat arahan KPKT berhubung dengan Penguatkuasaan Pengesahan Bahasa Melayu oleh DBP dalam Iklan di Tempat Awam.

Isu penggunaan bahasa kebangsaan yang salah, tidak tepat dan bercampur aduk dalam pengiklanan sering menimbulkan kecaman dan kritikan orang ramai sehingga isu ini disiarkan dalam media cetak dan media elektronik. Dengan adanya pemantauan bahasa yang dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak, terutamanya pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan diharapkan dapat memenuhi wawasan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju yang berasaskan acuan sendiri serta dapat dikongsi bersama oleh semua pihak. Penggunaan bahasa kebangsaan yang baik di tempat awam mencerminkan citra negara ini.

Penggunaan bahasa Inggeris masih lagi dominan dalam kalangan peniaga.

Selain itu, kerjasama yang lebih erat dapat dijalinkan antara DBP dengan PBT melalui khidmat nasihat atau pengesahan bahasa. Kerjasama ini dapat membantu kedua-dua pihak melaksanakan tugas dan tanggungjawab ke arah mencapai matlamat penubuhan institusi masing-masing.

Oleh itu, terdapat dua aspek yang diambil kira semasa melakukan pemantauan, iaitu:

  1. Tahap penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu diukur berdasarkan tiga skala, iaitu:
  • Penggunaan bahasa kebangsaan sepenuhnya.
  • Penggunaan bahasa kebangsaan bersama-sama bahasa lain.
  • Tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

 

2. Mutu penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu bermaksud bahasa yang digunakan di tempat awam mematuhi peraturan tatabahasa bahasa Melayu seperti yang digariskan dalam buku Tatabahasa Dewan dan pedoman-pedoman bahasa yang dikeluarkan oleh DBP yang berkaitan dengan aspek yang berikut:

  • Penggunaan ejaan yang betul.
  • Pemilihan istilah dan terjemahan yang betul.
  • Penggunaan perkataan yang betul.
  • Tatabahasa yang betul.
Penggunaan bahasa Inggeris bagi nama taman perumahan yang meluas atas alasan komersial perlu dikawal untuk kelestarian bahasa kebangsaan.

Pemantauan bahasa di tempat awam dilaksanakan kerana masih banyak kesalahan bahasa yang dilakukan di tempat tumpuan awam. Selain itu, pihak DBP juga dapat menilai keakuran pemilik iklan mematuhi arahan KPKT dan Undang-undang Kecil Iklan PBT dengan memperagakan iklan yang telah disahkan oleh DBP sahaja. Pemantauan bahasa ini dilaksanakan secara bersinergi dengan Perbadanan Putrajaya dan Majlis Bandaraya Seremban. Pemantauan ini dijalankan bersama-sama Bahagian Pelesenan atau Bahagian Penguatkuasaan Perbadanan Putrajaya dan Majlis Bandaraya Seremban untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kawasan pentadbiran masing-masing dan untuk mewajibkan pemohon mendapatkan pengesahan penggunaan bahasa Melayu daripada DBP terlebih dahulu sebelum memohon lesen atau permit iklan.

Hasil dapatan daripada pemantauan yang dibuat, dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan yang betul pada papan tanda dan papan iklan di sekitar Putrajaya, Nilai dan Seremban pada 16 November 2021 hingga 18 November 2021 secara keseluruhannya memuaskan. Banyak usaha telah dan sedang diteruskan untuk memaparkan ejaan, terjemahan, pemilihan kata dan penggunaan tatabahasa yang betul. Dalam konteks ini, ukuran papan iklan premis perniagaan turut dititikberatkan.

Penggunaan tulisan Jawi  pada papan tanda harus diperluas kepada semua PBT di seluruh negara.

Terdapat juga sesuatu yang amat menginspirasikan seperti penggunaan tulisan Jawi. Pada nama jalan di taman ditambah dengan tulisan Jawi pada bahagian permulaan papan tanda. Kompleks Kehakiman Syariah, Negeri Sembilan Darul Khusus misalnya menggunakan sepenuhnya tulisan Jawi pada sebelah kiri laluan masuk, sementara di bahagian kanan pula bertulisan Rumi sepenuhnya.

Penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di premis perniagaan.

Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa kebangsaan bersama-sama bahasa asing dan penggunaan bahasa asing sepenuhnya masih terdapat pada papan iklan perniagaan. Ada juga aspek ejaan, tatabahasa dan terjemahan yang tidak tepat di beberapa papan tanda. Contohnya, “SEEHAT STORE”, “DISINI”, “ONLINE” dan “ATAS TALIAN”. Nama jalan dan taman perumahan dalam bahasa Inggeris turut digunakan. Contohnya, “JALAN DILLENIA 3”, “GREEN TECHNOLOGY PARK”, “GARDEN AVENUE”, “GARDEN HOMES”, dan “VISION HOMES”.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi