28 Disember 2021, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkataan “hartal” menjadi perbualan dan tanda tanya orang awam apabila digunakan dalam Gerakan Hartal Doktor Kontrak pada 26 Julai 2021 oleh sekumpulan doktor kontrak di beberapa hospital di seluruh Malaysia. Gerakan ini merupakan kesepakatan yang dicapai dan dipersetujui oleh para doktor kontrak yang berkaitan dengan beberapa tuntutan, iaitu jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak, gaji serta kebajikan sama rata seperti doktor tetap, termasuklah cuti dan faedah. Sebanyak 25 hospital telah dicadangkan untuk mengadakan hartal ini yang bertempat di pusat kesihatan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia di seluruh negara.

Jika dilihat dalam Kamus Dewan Perdana (2020), terungkap perkataan hartal yang terdiri daripada dua makna, iaitu makna pertama membawa maksud bedak air berwarna kuning, dibuat daripada campuran beras, kunyit, cekur dan bunga-bungaan, disapukan pada bahagian tertentu badan dan dianggap dapat menghilangkan bala, meredakan sawan dan sebagainya. Makna yang kedua pula merujuk tindakan tidak bekerja atau tidak berniaga secara beramai-ramai pada hari yang telah ditentukan, bertujuan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati, marah dan sebagainya kepada kerajaan atau majikan; mogok.

Hartal ialah perkataan daripada istilah yang mengalami serapan daripada bahasa Gujarat: હડતાળ haḍtāḷ atau હડતાલ haḍtāl) yang merujuk tindakan menunjuk perasaan secara beramai-ramai, kebiasaannya membabitkan mogok dan penutupan tempat kerja. Bahasa Gujarat ialah turunan daripada gabungan bahasa Sanskrit हट्ट haṭṭa “pasar” dan ताल tāla “kunci mangga”, termasuklah pejabat, kedai dan mahkamah sebagai satu bentuk keingkaran awam bagi tujuan menarik perhatian pemerintah terhadap rasa keengganan rakyat yang berkaitan dengan suatu dasar atau pendirian (Factotum, 2005).

Oleh itu, tidak mustahil untuk kata haḍtāl yang terlebih dahulu wujud dan digunakan dalam bahasa Gujarat sebelum kata hartal dan kemasukan kata haḍtāḷ itu terus daripada bahasa Gujarat. Hal ini jelas menunjukkan pertembungan antara dua masyarakat yang berbeza yang sudah tentu akan mempengaruhi sistem bahasa sesebuah masyarakat.

Menurut David M. (2014) pula, penggunaan istilah hartal ini pernah diketengahkan oleh tokoh kemerdekaan India, iaitu Mahatma Gandhi rentetan daripada tindakan menunjuk perasaan yang dilakukan warga setempat terhadap pihak British dan raja-raja kecil naungan terhadap dasar-dasar yang dilihat menghimpit rakyat termasuklah hal-hal percukaian. Kefahaman ini juga turut tersebar luas ke India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka.

Selepas Perang Dunia Kedua, idea dan istilah ini mula mengetuk minda pengguna rantau Nusantara, khususnya di Tanah Melayu dengan Gerakan mengingkari pemerintah British yang berlarutan di antara tahun 1940-an hingga tahun 1960-an. Pemogokan yang paling dikenali ketika ini ialah Hartal Tanah Melayu 1947, iaitu gerakan bagi membantah usulan perlembagaan yang dicadangkan oleh penjajah British serta Hartal Pulau Pinang 1967, yang berlaku hasil tindak balas terhadap kejatuhan nilai dolar Malaya dengan beralihnya kepada mata wang ringgit Malaysia yang diperkenalkan ketika itu (David M., 2014).

Sesungguhnya, setiap perkataan di dunia ini memiliki sejarah asal usul tersendiri. Begitu juga dengan perkataan yang lahir daripada setiap bahasa yang digunakan dan dituturkan oleh setiap manusia yang juga mempunyai asal usulnya dalam menggambarkan budaya masyarakat tersebut. Hal ini juga berlaku terhadap idea kelahiran perkataan hartal yang wujud di Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah jika dikatakan bahawa istilah hartal ini berasal dari India dan berkembang ke negara Eropah dan seterusnya dibawa ke Alam Melayu.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!