7 April 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

“Dah beli baju raya?”, ungkapan sebegini selalu kita dengar dan faham maksud pertanyaan tersebut walaupun pertanyaan itu sebenarnya mempunyai maksud yang kabur atau taksa. Kekaburan ini timbul kerana dalam ayat tersebut mempunyai perkataan yang kabur, iaitu kata “raya”.

Raya dalam erti kata yang sebenar membawa makna besar. Sekiranya kita tukar pertanyaan ini kepada “Dah beli baju besar?”, soalan ini akan menjadi benar-benar kabur. Seseorang yang menerima soalan ini pasti terpinga-pinga dan berasa hairan dengan penyoal tersebut. Mungkin dia akan menyoal semula, “Apa maksud engkau?” atau “Besar, maksudnya?”, pertanyaan ini akan melarat lagi sekiranya orang yang ditanya itu memiliki fizikal yang besar dan gemuk. Bertambah larat jika dia seorang perempuan! Soalan ini akan dianggap mengejek atau menghina dia. Begitulah sekiranya perkataan raya ditukar kepada besar.

Soalan “Dah beli baju raya?” ini difahami kerana raya juga membawa erti “hari besar”. Mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, raya membawa erti: 1. besar; 2. hari besar (dalam bahasa percakapan); dan 3. umum, awam (dipakai dalam beberapa ungkapan sahaja). Hari besar dalam konteks ini merujuk hari kebesaran atau hari perayaan bagi sesebuah bangsa.

Misalnya hari kebesaran bagi umat Islam ialah Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban. Jadi, soalan tersebut boleh difahami sebagai, “Dah beli baju hari raya?” Perkataan “raya” ini sering dirujuk sebagai hari raya bagi kebanyakan orang sehingga kadang kala makna pertamanya, iaitu besar tidak diketahui oleh banyak orang. Mungkin inilah yang menyebabkan kekaburan makna pasar raya dengan pasar raya besar? Raya sudah bermakna besar, jadi pasar raya membawa erti pasar besar dan pasar raya besar membawa erti pasar besar besar?

Dalam hal ini, penulis ingin membawa pembaca menyingkap semula lirik lagu yang ditulis oleh Jalil Hamid yang bertajuk Raya. Walaupun Jalil Hamid seorang pelakon, penyanyi dan pelawak, beliau juga seorang penulis lirik yang bersifat humor seperti lagu-lagunya yang berjudul Ayam, Makan dan Mata.

Dalam lagu raya tulisannya, beliau dengan bijaknya menyusun kata-kata yang membawa pelbagai makna raya yang mungkin tidak disedari oleh para pendengar seperti yang berikut:

Bila sebut pasal raya,

Semua ingat hari raya,

Tapi jangan pula kita lupa,

Ada seribu satu kata,

Berkait dengan raya.

Sebagaimana yang penulis tulis tentang kepelbagaian makna raya ini, Jalil Hamid telah menyentuh dalam permulaan lirik lagunya. Apabila menyebut berkenaan dengan kata “raya”, kita akan membayangkan kata itu merujuk hari raya, tetapi sebenarnya kata “raya” ini mempunyai tiga makna dan makna pertamanya bersifat adjektif, iaitu “besar”. Terdapat pelbagai rangkai kata yang membentuk kata raya selain hari raya. Tulis Jalil Hamid lagi:

Kalau banyak harta benda,

Orang itu kaya-raya,

Kalau tempat lalu kereta,

Itulah jalan raya,

Hentian bas ibu kota,

Itu di Puduraya,

Di tengah bandar raya.

Jika seseorang itu mempunyai banyak harta benda, orang tersebut akan dipanggil kaya-raya. Dalam konteks ini, kekayaan orang kaya-raya ini pastinya melebihi kekayaan orang kaya biasa. Kaya membawa erti banyak harta. Gabungan rangkai kata kaya (banyak harta) dengan raya (besar) membawa erti orang yang kaya sekali (besar) dan sangat kaya.

Perkataan “jalan” membawa erti tempat lalu lintas yang dibina daripada batu dan tar atau juga merujuk jalan tanah merah. Apabila kita mendengar perkataan jalan ini, kebiasaannya benda yang menjadi rujukan kita ialah jalan tanah yang biasanya berada di kampung. Namun begitu, apabila kata “jalan” ditambah dengan kata “raya” menjadi jalan raya, rujukan kita akan berubah. Kita tidak lagi membayangkan jalan tanah, sebaliknya membayangkan jalan yang lebih cantik, jalan yang lebih besar dan jalan yang dibubuh tar batu arang.

Begitu juga dengan rangkai kata “Puduraya” dan “bandar raya” yang membawa makna besar. Sayangnya kata “Puduraya” ini sudah kurang dikenali kerana ditukar menjadi Pudu Sentral. Tulis Jalil Hamid lagi:

Gembira kita di hari raya,

Makan kenduri di balai raya,

Kalau kita malas nak puasa,

Kita sama macam hantu raya.

Rangkai kata “balai raya” membawa makna balai untuk orang ramai. Pembentukan kata ini daripada makna raya yang ketiga, iaitu yang membawa maksud umum dan awam.  Maknanya, kata “balai raya” ini juga boleh disebut sebagai balai umum atau balai awam, balai yang bersifat umum dan kegunaan awam. Perlu diingat, Kamus Dewan Edisi Keempat menjelaskan makna raya yang ketiga ini hanya dipakai dalam beberapa ungkapan sahaja.

Satu lagi contoh, iaitu Jabatan Kerja Raya yang juga membawa makna umum, iaitu jabatan yang mengurus kerja-kerja umum seperti membina jalan dan sebagainya. Bagi rangkai kata “hantu raya”, rangkai kata ini bermakna hantu peliharaan untuk menjadi pengawal (suruhan) tuannya. Jadi, apakah maksud raya pada hantu raya?

Sekiranya kita melihat semula kepercayaan orang Melayu, hantu ini disebut sebagai hantu raya kerana saiz fizikalnya yang besar. Hantu ini tidak ada kena-mengena dengan perayaan hari raya, atau hantu ini bukan muncul pada hari raya sahaja. Hantu ini disebut raya kerana saiznya. Sekiranya kita tidak memahami raya itu juga bermakna besar, mungkin kita juga menganggap hantu ini ada kaitan dengan perayaan hari raya.

Begitulah lirik lagu tulisan Jalill Hamid yang ditulis secara humor dan bijak dengan menyusun rangkai kata yang berkaitan dengan perkataan “raya”. Kita yang mendengar lagu ini pasti terasa geli hati dengan permainan kata dalam lagu ini, ditambah muzik lagu ini dan penyanyinya yang juga seorang pelawak.

Selain susunan liriknya yang menarik, jelas Jalil Hamid juga memahami kepelbagaian makna raya ini. Beliau tidak seperti segelintir orang yang menganggap raya hanya merujuk hari raya, sebaliknya raya juga membawa maksud besar dan umum. Raya hanya merujuk hari raya dalam bahasa percakapan sahaja. Dalam penulisan, sebaik-baiknya raya ditulis menjadi hari raya.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.