30 Disember 2021, 09:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam sebuah tulisan di media lain, saya pernah mengatakan bahawa lirik karya Allahyarham Loloq telah mendorong para peminat muzik rock tanah air menyemak kamus untuk mencari makna perkataan yang ditulis olehnya dalam lagu-lagu kumpulan muzik beraliran sedemikian, terutamanya kumpulan terkenal, Wings.

Hal ini dikatakan sedemikian kerana Loloq yang mula aktif dalam penciptaan lagu pada tahun 1987 berminat menggunakan perkataan lama dan yang sukar difahami. Oleh sebab kecenderungannya itu juga, bukan peminat muzik rock pun perlu merujuk kamus untuk lebih memahami maksud perkataan berkenaan.

Antara perkataan lama yang digunakan oleh Loloq dalam lirik ciptaannya termasuklah perkataan seperti dalam gita kama untuk lagu “Di Ambang Wati”, dendangan Wings. Dalam “Mentera Semerah Padi”, Loloq menulis belikat punggungku dan kugentas bersama. Seterusnya, tanji gelora dalam lirik lagu “Ada”; sabitah untuk “Andalusia”; serta yuda dan wilmana dalam “Langgam Pak Dogo” – kesemuanya nyanyian Datuk M. Nasir.

Keakrabannya dengan M.Nasir juga menghasilkan lirik lain yang sangat diminati ramai seperti “Bonda” (Nasir), “Ghazal untuk Rabiah” (Nasir berduet dengan Dato’ Jamal Abdillah), dan “Lagu Jiwa Lagu Cinta” (Nasir berduet dengan Mawi).

Sangat menarik dan istimewa apabila Loloq turut diminta menulis lirik bagi anak perempuan terakhir M. Nasir dengan Allahyarham Junainah Johari, iaitu Nur Nilam Sari. Lagu yang berjudul serupa itu didendangkan oleh Awie dan Search. Sementara itu, asmara kejar-mengejar dalam lirik “Di Ambang Wati” merupakan metafora yang menarik untuk menunjukkan ketidaktentuan dalam perhubungan cinta sepasang kekasih.

Loloq atau nama sebenarnya, Rosli Khamis merupakan penulis lirik terkemuka tanah air yang sering bergandingan dengan M.Nasir dalam penciptaan lagu. Mula berkarya ketika berusia 27 tahun, Loloq juga biasa menggunakan nama pena Nurbisa.

Kehidupan awal Loloq terumbang-ambing. Dari Singapura, dia sendirian berkelana ke Kuala Lumpur ketika berusia 23 tahun. Allahyarham pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah selama enam tahun, menjadi pengikut ajaran tasawuf, dan “kutu rayau”. Walau bagaimanapun, perjalanan Loloq bagaikan menemui paksinya apabila bertemu dengan M. Nasir dan Amy Search di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Ketika itu, dia yang menganggur dengan beraninya memujuk M. Nasir dan Amy agar menggunakan lirik ciptaannya untuk dimuatkan dalam album mereka.

Barangkali memang telah takdirnya menjadi penulis lirik, karya Loloq diterima oleh M. Nasir. Mulai tahun 1990, Loloq menjadi penulis lirik eksklusif di syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd., kepunyaan seniman serba boleh itu.

Sepanjang kerjayanya sehingga ke akhir hayat, Loloq telah menghasilkan 500 buah lirik lagu yang 90 peratus “meletup”, dan dinyanyikan oleh artis popular. Antara lirik untuk lagu dendangan Wings yang diminati ramai selain “Di Ambang Wati” ialah “Kau Bukan Brader”, “Awang Trasher”, dan “Biru Mata Hitamku”. Untuk kumpulan Search, Loloq menulis lirik “Analog 0.1”, “Asli dan Tulus”, “Laila Namamu Teratas”, “Neo Romantik”, dan “Zen-Bikin Wilayah”.

Penyanyi rock wanita unggul tanah air, Ella juga pernah mendapat lirik karya Loloq, iaitu “Layar Impian”. Demikian juga dengan kumpulan rock terkenal, XPDC untuk lagu “Kita Peng-Yu”, dan Allahyarham Saleem menerusi “Ratu Sanubari”. Spider, kumpulan rock yang bernaung di bawah Luncai Emas juga banyak mendapat lirik lagu Loloq. Antara yang popular termasuklah “Laukku Cukup Masin”, “Kasih Latifah”, “Cinta Dewa-Dewi”, “Aladin”, dan “Kacap Terlabik”. “Gemuruh” pula nyanyian oleh gabungan Search dan Wings yang mengisi sebuah album projek khas.

Selain itu, Loloq menulis lirik “Awan yang Terpilu” nyanyian Ning Baizura, “Serasi Bersama” untuk Nurul dan Ajai, “Bila Bulan Berwarna Biru” untuk Arab dan Aidit, “Dari Kekasih Kepada Kekasih”, “Samba Apa Saja” dan “Berikan Nurbisa” untuk Dato’ Hattan, “Sembunyi” untuk Misha Omar dan Andy Flop Poppy, “Nafas Cahaya” untuk Misha Omar, “Lagu Cenderawasih” untuk kumpulan Kris, “Cinta Sakti” untuk kumpulan Def Geb C, dan “Percayakan Siti” untuk kumpulan Exists.

Semasa hayatnya, Loloq pernah menerima beberapa anugerah besar hasil penulisan liriknya yang kreatif dan bermutu tinggi hingga mampu mengangkat irama menjadi lagu yang dapat diterima pendengar. Antaranya termasuklah Anugerah Penulis Lirik Terunggul, dan royalti tertinggi daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia Berhad (MACP) ke-11, menerusi lagu “Cinta Dewa Dewi”. Lagu itu menjulang namanya sebagai Penulis Lirik Terunggul selama lima tahun berturut-turut.

Allahyarham turut menerima Anugerah Lirik Nasyid pada majlis Anugerah Juara Nasyid Minggu Ini 2006, dan Anugerah Galakan Penulis Lirik, di Anugerah Citra Wangsa Malaysia 2005. Yang paling manis, Loloq turut menerima Anugerah Khas dalam Anugerah Planet Muzik 2007, yang diadakan di negara kelahirannya, Singapura.

Ada kawan rapat Loloq yang berpendapat bahawa antara faktor kekuatan lirik  Allahyarham mungkin kerana sikapnya yang rajin membaca buku. Loloq memang kuat membaca atau “penagih buku”. Wangnya habis di kedai buku terpakai di Jalan Bangsar, atau di susur buku lambak yang dijual di celah-celah tangga di sepanjang bangunan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Pada era 90-an, buku-buku hebat dunia dijual di celah-celah tangga.

Selain itu, Loloq memang banyak idea, suka meraikan perbezaan dan semua perkara serius boleh diuruskannya menjadi jenaka. Allahyarham “pakar” mengkomikkan idea dalam perbualan, malah bijak mencipta satira spontan.  Lirik terakhir yang dicipta oleh Loloq sebelum jatuh sakit, dan meninggal dunia pada 30 Januari 2008 ialah “Angkasawan”, nyanyian kumpulan Butterfly.

Allahyarham meninggal dunia setelah empat hari terlantar di Hospital Pakar Damansara akibat pendarahan otak. Loloq menjalani pembedahan di kepala pada 29 Januari 2008 selepas mengalami pendarahan serius di kepalanya. Terlalu banyak kandungan karbon dioksida di dalam paru-paru merosakkan keseluruhan sistem dalaman badannya. Loloq menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, dan tiga orang sahabat. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Sungai Buloh selepas solat Asar.

Selain menulis lirik, Loloq juga berbakat dalam lakonan. Antara filem yang pernah dibintanginya termasuklah Sara (2001), Embun (2002), Lang Buana (2003), Man Laksa (2006), Zombi Kampung Pisang (2007), dan Orang Minyak (2008), serta beberapa buah drama televisyen, seperti telemovie Orang Kasar, yang turut dibintangi oleh Eman Manan, dan telefilem Neon. Allahyarham juga pernah beraksi di pentas teater, iaitu Bukit Kepong arahan Othman Ghani, dan drama sitkom Awie Record.

Loloq juga terbabit dalam menulis skrip filem Aduh Saliha, yang judul asalnya, Misteri Mimpi Syakila, arahan M.Nasir. Walau bagaimanapun, filem tersebut tidak dapat disiapkan hingga kini. Selain itu, Allahyarham juga pernah menjadi penterjemah skrip siri animasi Kampung Boy, karya Datuk Lat.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.