25 Januari 2022, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur Bahasa merupakan nikmat dan kurniaan terbesar Allah SWT kepada manusia selain akal. Bahasa juga sangat berkaitan dengan akhlak kerana penggunaan bahasa yang baik menggambarkan seseorang yang berakhlak tinggi. Oleh itu, sesuatu bangsa bukan sahaja dikenali daripada sedi warna kulit, bahkan juga melalui bahasanya.

 

Demikianlah antara beberapa penerangan menarik daripada YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga merupakan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau yang menjadi tetamu dalam slot rancangan Assalamulaikum terbitan TV Alhijrah yang berjudul “Bahasa: Tunjang dan Budi Daya” yang bersiaran pada pagi tadi menyatakan bahawa bahasa tidak patut hanya dilihat sebagai kemampuan biasa. Hal ini demikian kerana bahasa mampu menzahirkan sahsiah, akhlak dan pemikiran seseorang.

Seseorang itu perlulah memelihara kesantunan bahasa kerana bahasa mengikat perpaduan dan persefahaman. Bahkan bahasa juga boleh menyebabkan berlakunya percanggahan dan perseteruan. Seperti kata peribahasa Melayu, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.

Menurut beliau, bahasa sangat penting kerana segala maklumat dan ilmu disampaikan melalui bahasa. Buktinya, wahyu yang disampaikan oleh Allah SWT juga adalah melalui bahasa Arab.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika bersiaran secara langsung pada pagi tadi.

Tambahnya lagi, bahasa Melayu juga ditakdirkan sebagai wasilah untuk perkembangan syariat Islam dan aspek kehidupan lain. Hal ini dibuktikan melalui lebih kurang 20 ribu manuskrip bahasa Melayu dalam tulisan Jawi. Kewujudan tulisan Jawi membawa kepada perkembangan pesat tamadun Islam pada suatu masa dahulu.

Kesempurnaan bahasa menggambarkan adab, akhlak dan sahsiah manusia. Kreativiti bahasa pula luas tetapi tidak boleh lupa sama sekali pada akar bahasa. Bahasa janganlah dijadikan sebagai alat pemecah belah, memfitnah, mengadu domba dan sebagainya. Pada masa ini, bahasa sudah tidak dihormati dan dihargai kerana digunakan untuk tujuan yang sangat negatif.

Sehubungan dengan itu, kita perlulah menghargai bahasa dan menghormati bahasa kebangsaan dalam setiap aspek kehidupan. Allah SWT mengurniakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara di negara ini dan sebagai pengembang tamadun. Mempelajari bahasa lain adalah tidak salah tetapi janganlah sesekali memperkecil dan mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.