Oleh Kho Thong Eng
8 Februari 2022, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata “koligasi” berasal daripada kata bahasa Latin, iaitu colligare yang bermaksud “terikat” (tie up). Oleh itu, koligasi merujuk sejumlah kata yang terikat  dengan fungsi sintaksis yang sama. Menurut Crystal, koligasi merujuk istilah tentang proses atau hasil penggolongan sejumlah kata berdasarkan persamaan dari segi hubungan sintagmatik (A term … for the process or result of grouping a set of words on the basis of their similarity in entering into syntagmatic grammatical relations – Crystal, 2008:86).

Kata-kata yang berkoligasi ialah kata-kata yang cenderung menjalin hubungan tatabahasa yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia bersiul.

1b.  Dia bernyanyi.

Dalam kelompok ayat 1, kata “bersiul” dan “bernyanyi” mempunyai hubungan sintagmatik yang sama, iaitu berkoligasi sebagai kata kerja tak transitif tanpa pelengkap.

Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah kecil kata kerja tak transitif yang boleh diikuti pelengkap tak wajib. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Dia bermain.

2b.  Dia bersiul.

 

3a.  Dia bermain bola.

3b.  *Dia bersiul lagu.

 

4a.  Dia belajar.

4b.  Dia bernyanyi.

 

5a.  Dia belajar muzik.

5b.  *Dia bernyanyi lagu.

 

Dalam kelompok ayat 2, kata “bermain” dan “bersiul” berfungsi sebagai kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. Namun demikian, dalam kelompok ayat 3, kata “bermain” boleh diikuti pelengkap tak wajib “bola” tetapi kata “bersiul” tidak boleh diikuti sebarang pelengkap. Dalam kelompok ayat 4, kata “belajar” dan “bernyanyi” berfungsi sebagai kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. Walau bagaimanapun, dalam kelompok ayat 5, kata “belajar” boleh diikuti pelengkap tak wajib “muzik” tetapi kata “bernyanyi” tidak boleh diikuti sebarang pelengkap. Oleh itu, kata “bermain” berkoligasi dengan kata “belajar” tetapi tidak berkoligasi dengan kata kerja tak transitif yang lain.

Walaupun kata kerja tak transitif dengan pelengkap tak wajib “bermain” dan “belajar” dapat berada pada kedudukan sintagmatik yang sama dengan kata kerja transitif, kata “bermain” dan “belajar” tidak diikuti objek dan tidak dapat dipasifkan. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dia belajar muzik.

6b.  Dia mempelajari muzik.

6c.  Dia belajar.

6d.  *Dia mempelajari.

 

7a.  Dia bermain lembing.

7b.  Dia memainkan lembing.

7c.  Dia bermain.

7d.  *Dia memainkan.

Walaupun pada dasarnya, semua kata bantu ragam menyatakan ragam perasaan tetapi penggunaannya dalam ayat aktif dan pasif mungkin berbeza. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Dia harus membaca buku.

8b.  Dia mesti membaca buku.

8c.  Dia dapat membaca buku.

8d.  Dia boleh membaca buku.

8e.  Dia mungkin membaca buku.

8f.   Dia patut membaca buku.

8g.  Dia suka membaca buku.

8h.  Dia cuba membaca buku.

8i.   Dia hendak membaca buku.

8j.   Dia mahu membaca buku.

8k.  Dia ingin membaca buku.

8l.   Dia enggan membaca buku.

Sekali imbas, semua contoh kata kerja bantu ragam di atas berkoligasi, iaitu terikat (allied) dengan kata kerja aktif transitif. Namun begitu, lainlah halnya dalam binaan ayat pasif. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Buku harus dibaca olehnya.

9b.  Buku mesti dibaca olehnya.

9c.  Buku dapat dibaca olehnya

9d.  Buku boleh dibaca olehnya.

9e.  Buku mungkin dibaca olehnya.

9f.   Bulu patut dibaca olehnya.

 

10a.  *Buku suka dibaca olehnya.

10b.  *Buku cuba dibaca olehnya.

10c.  *Buku hendak dibaca olehnya.

10d.  *Buku mahu dibaca olehnya.

10e.  *Buku ingin dibaca olehnya.

10f.   *Buku enggan dibaca olehnya.

Dalam kelompok ayat pasif 9, penggunaan kata bantu ragam “harus”, “mesti”, “dapat”, “boleh”, “mungkin” dan “patut” adalah betul. Oleh itu, kata-kata bantu ragam itu berkoligasi dalam binaan ayat pasif. Namun demikian, dalam kelompok ayat 10, penggunaan kata bantu ragam “suka”, “cuba”, “hendak”, “mahu”, “ingin”, dan “enggan” dalam ayat pasif mendatangkan maksud yang kabur, iaitu “buku” seolah-olah menjadi organisma hidup yang ada perasaan seperti manusia. Oleh itu, kata-kata bantu ragam tersebut berkoligasi, iaitu tidak boleh digunakan dalam ayat pasif.

Pemahaman tentang konsep koligasi adalah penting kerana hal demikian membolehkan kita mengenal tatabahasa sesuatu bahasa dengan lebih mendalam.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!