9 Februari 2022, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebuah forum khas yang membincangkan isu “Adakah Bahasa Kebangsaan Berjaya Menjadi Alat Perpaduan?” telah diadakan pada 8 Februari 2022, bersempena dengan Minggu Keharmonian antara Penganut Agama Sedunia. Forum yang dianjurkan oleh Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan atau Allied Coordinating of Islamic Ngo’s (ACCIN), telah menjemput tiga orang tokoh yang berpengaruh, iaitu YB Dr. Maszlee Malik (mantan Menteri Pendidikan yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong (Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka, yang merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM). 

Pengerusi ACCIN yang merangkap penerbit program, iaitu Ir. Mohd Jamaludin Mohamed Shamsudin membuka pentas forum tersebut dengan ucapan pembukaannya sebelum diambil alih oleh pemudah cara forum, iaitu Encik Amin Idris. Forum tersebut berlangsung secara dalam talian melalui laman Facebook ACCIN.

Panel jemputan semasa bersiaran secara langsung.

Dr. Maszlee Malik menjadi panel pertama yang mengemukakan pandangannya. Menurut beliau, terdapat dua isu utama dalam perbincangan ini, iaitu bahasa kebangsaan sebagai identiti masyarakat Malaysia dan yang keduanya ialah perpaduan. Katanya lagi, isu ini di Malaysia merupakan satu proses yang sedang berjalan walaupun negara telah mempunyai dasar yang jelas berkaitan dengan bahasa kebangsaan melalui Perlembagaan Persekutuan.

Isu bahasa memerlukan satu debat terbuka manakala dalam isu perpaduan, bahasa bukanlah satu-satunya alat yang membentuk perpaduan kerana banyak negara yang menggunakan bahasa yang sama masih berpecah-belah akibat wujudnya semangat berpuak-puak dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau lagi, sudah tiba masanya ahli politik yang menguasai kerajaan pada masa ini membuat dasar baharu yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan terutamanya dalam menjayakan fungsinya sebagai alat perpaduan di negara ini. Hal ini demikian kerana masih banyak pelajar terutamanya pelajar bukan Melayu gagal menguasai bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan negara ini.

Beliau turut menyarankan agar mewujudkan satu libat urus dan mengambil pandangan serta menyakinkan pelbagai golongan seperti golongan muda, golongan korporat dan sebagainya untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sementara itu, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong pula menyatakan bahawa bahasa Melayu masih gagal menjadi alat perpaduan. Menurutnya, setelah 64 tahun merdeka, tahap perpaduan negara hanya sekadar kesepaduan sosial. Perpaduan yang wujud pada tahap sosial mempunyai tiga ciri penting, iaitu pergaulan terhad untuk sesuatu fungsi sahaja, perkenalan antara kaum hanya sekadar asas sahaja dan saling mencurigai antara kaum. Beliau juga menyeru rakyat Malaysia untuk melihat kembali dasar dalam sistem pendidikan negara agar bahasa mampu menjadi alat penyatu masyarakat.

Kita harus melihat punca Malaysia gagal kerana terbukti bahawa bahasa mempunyai kuasa menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan etnik sebagaimana negara lain seperti di Indonesia dan Jepun.

Tambahnya lagi, pelajar pada hari ini terutamanya kaum bukan Melayu belajar bahasa kebangsaan hanya untuk lulus peperiksaan sedangkan bahasa Melayu perlu dipelajari sebaik-baik mungkin untuk menjadi sebahagian daripada komuniti bahasa Melayu.

Beliau turut menganggap bahawa bahasa Melayu gagal sebagai alat perpaduan di Malaysia kerana wujudnya sekolah vernakular yang menyebabkan pelajar bukan Melayu gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Hal tersebut secara tidak langsung menyebabkan mereka hanya bergaul dalam kalangan kaum mereka sahaja.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan pula berpendapat bahawa bahasa sememangnya dicipta oleh Allah SWT sebagai satu medium perpaduan. Bahkan keutamaan untuk membina sebuah negara berdaulat mempunyai beberapa asasnya termasuklah dari aspek bahasa. Dasar bahasa negara ini sememangnya telah tersedia cantik namun pelaksanaannya yang masih kurang dalam pelbagai aspek menyebabkan peranannya sebagai alat perpaduan masih kurang berjaya.

Bahasa kebangsaan bukanlah sepenuhnya gagal menjadi alat perpaduan di negara ini tetapi pelbagai faktor seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menyebabkannya kurang berkesan sebagai alat perpaduan.

Beliau berpandangan bahawa bahasa Melayu tidak gagal sepenuhnya sebagai alat perpaduan di negara ini. Dalam isu ini, aspek pemupukan perlu dititikberatkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Menurutnya lagi, kesungguhan untuk memuliakan bahasa Melayu sebagai asas jati diri masih belum cukup kuat dan mencadangkan agar satu penyelidikan berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu dijalankan di negara ini.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!