10 Februari 2022, 20:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerap kali berlaku kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu yang hingga kini masih belum dapat membezakan penggunaan perkataan “ialah” dan “adalah” dalam penulisan. Atas kesedaran tersebut, bagi membantu meningkatkan kefahaman orang ramai, BERNAMA Radio melalui slot Cakna Bahasa yang dikelolakan oleh Nazira Noran telah mengundang Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Dewan Bahasa dan Pustaka, untuk berkongsi maklumat tersebut.

Menurut beliau, perkataan “ialah” dan “adalah” ialah kata pemeri yang bermaksud unsur yang menjadi pemerihal kepada predikat antara subjek dengan frasa utama dalam predikat (Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga). Kata pemeri “ialah” merupakan pemerihalan secara persamaan antara subjek dengan predikat manakala kata pemeri “adalah” merupakan huraian tentang subjek oleh predikat.

Tambahnya lagi,  kata pemeri “ialah” mesti hadir di hadapan frasa nama. Contohnya, “Dalam terjemahan komunikatif, yang mustahak ialah mesej yang hendak disampaikan”. Kata “ialah” juga boleh digunakan di hadapan kata “bahawa” dan kata hubung “yang”, iaitu berfungsi sebagai frasa nama.

Kata pemeri “adalah” pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh frasa adjektif adalah seperti “besar” dan “kecil” manakala frasa sendi nama seperti untuk “di” dan “pada”. Contohnya, “Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan”.

Penggunaan kata “adalah” dalam ayat pula adalah untuk menghubungkan objek ayat dan predikat ayat dengan memberikan keterangan berkenaan dengan subjek yang disebut sebelumnya. Kata lain bagi menjelaskan penggunaan adalah dalam ayat semasa lisan mahupun tulisan (kata “adalah” ini menunjukkan penerangan).

Encik Abdul Ghani Abu ketika bersiaran secara langsung.

Kata pemeri sebenarnya amat terhad penggunaannya dan kurang digalakkan dalam pembentukan ayat dalam bahasa Melayu. Yang perlu diingati bahawa kata pemeri “ialah” memerihalkan persamaan manakala kata pemeri “adalah” pula memberikan keterangan. Dengan kefahaman ini dapat membantu kita untuk tidak membazirkan perkataan (lewah) dalam penulisan atau pertuturan yang kerap berlaku dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut berharap agar perkongsiannya itu sedikit banyak dapat membantu masyarakat untuk lebih memahami bahasa kebangsaan dengan lebih baik dan dengan lebih terperinci. Para pengguna bahasa juga dialu-alukan untuk memiliki buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk rujukan pada masa akan datang.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!