16 Februari 2022, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Perkembangan dunia digital yang dilihat semakin mengambil tempat di hati masyarakat pada zaman ini perlu dijadikan sebagai ruang dan peluang untuk memartabatkan dan mengembangkan bahasa Melayu ke seantero dunia.

Menurut Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, yang juga selaku moderator program, masyarakat perlu menjadikan zaman digital ini sebagai suatu ruang dan peluang untuk memindahkan bahasa Melayu ke dalam bentuk yang lebih mesra pengguna.

Menurut beliau, cerita daripada hikayat lama perlu dianimasikan ke dalam bentuk digital. Katanya lagi, kaedah pendigitalan bahasa Melayu merupakan satu kaedah untuk menyemai jati diri bahasa Melayu ke dalam diri generasi muda.

Datuk Zainal Abidin Borhan, antara panel yang diundang dalam program tersebut.

Datuk Zainal Abidin Borhan, iaitu Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan pula berpendapat bahawa masyarakat seharusnya menggunakan potensi media sosial melalui kaedah penganimasian pantun, komik dan karya sastera, terutamanya sastera kanak-kanak.

Janganlah menjadi seperti sekerat ular sekerat belut umpama bahasa yang tidak mempunyai roh dan akar umbi. Oleh itu, masyarakat perlu memantapkan dan mengukuhkan jati diri bahasa Melayu melalui kaedah pendigitalan. Jati diri bahasa Melayu perlu dikukuhkan agar “tidak terlantar di tepi jalan”.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw turut melontarkan buah fikirannya mengenai usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Sementara itu, Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, iaitu Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat UPNM pula berkata, antara cara untuk mengurangkan kehakisan bahasa Melayu adalah dengan membanyakkan ikon seperti pensyarah yang sentiasa menggunakan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi. Selain itu, juruhebah radio dan pempengaruh juga dapat memainkan peranan mereka dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Haji Samsudin ketika bersiaran secara langsung.

Bagi Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Haji Samsudin, iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula, memartabatkan bahasa Melayu pada hari ini cukup besar cabarannya berbanding dengan 10 tahun yang lalu. Hal ini disebabkan oleh cabaran media sosial, iaitu pendigitalan dunia tanpa sempadan dapat menyaksikan bahawa penggunaan bahasa  Melayu pada hari ini semakin ringkas terutamanya dalam kalangan anak muda.

Pada masa dahulu, golongan tua sering menasihatkan orang muda agar sentiasa menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Namun begitu, kini keadaan agak berbeza apabila ada dalam kalangan orang muda pula yang menunjukkan penggunaan bahasa yang lebih baik berbanding dengan golongan tua. Hal ini menunjukkan bahawa jati diri kita semakin terhakis sedikit demi sedikit. Maka itu, seharusnya kita perlu ada pendekatan yang kreatif dan di luar kotak supaya anak muda berminat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai lambang jati diri mereka.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku moderator program tersebut.

Demikianlah antara penerangan menarik daripada para panel jemputan yang bersiaran menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 9.00 malam tadi dalam Rancangan Sembang Tamu: “Bahasa Melayu di Persada Dunia”.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!