23 Februari 2022, 09:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Secara realitinya, apabila negara berkembang pesat, bahasanya juga akan berkembang dengan pesat. Hal ini membuktikan bahawa sesuatu bahasa yang digunakan di sesebuah negara itu berkait rapat dengan kemajuan sesebuah negara di samping mempunyai nilai ekonominya tersendiri.

Menurut Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, iaitu Dekan, UKM-Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia, zaman silam telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mencapai tahap kesempurnaan yang amat tinggi dan digunakan dalam pelbagai domain, kehidupan bermasyarakat, pentadbiran negara mahupun urusan ekonomi dan perniagaan. Hal tersebut membuktikan bahawa kegemilangan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan sudah tercatat dalam sejarah sejak dahulu kala.

Katanya lagi, bahasa Melayu terbukti berjaya menjadi lingua franca sejak zaman-berzaman. Hal ini turut disokong oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka, bahawa bahasa Melayu memiliki martabat yang besar dalam bidang ekonomi dan perniagaan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Warkah-warkah lama yang bertulisan Jawi membuktikan adanya aktiviti perdagangan di Alam Melayu. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi sejak zaman dahulu lagi.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi negara, hasil penyelidikan para cendekiawan tidak semestinya ditulis dalam bahasa Inggeris. Mereka seharusnya memperbanyak hasil penulisan dalam bahasa Melayu.

Tambah beliau, antara pelan strategik utama DBP termasuklah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi dan hal ini patut diketengahkan dan diambil cakna oleh semua golongan masyarakat.

Antara cabaran yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi negara termasuklah kecenderungan ekonomi negara ke arah perindustrian yang menyebabkan peningkatan kemasukan organisasi multinasional ke Malaysia. Fenomena ini adalah antara faktor yang menenggelamkan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perniagaan kerana digantikan dengan bahasa Inggeris.

Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul ketika bersiaran secara langsung.

Tambahnya lagi, rakyat perlu menguasai bahasa Inggeris tetapi pada masa yang sama mereka perlu mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu. Keadaan ini akhirnya membawa kepada satu kekeliruan dan keraguan kepada masyarakat. Situasi tersebut semakin memburuk sementelah sektor ekonomi negara kini mula dikuasai oleh orang luar atau bangsa asing. Hal ini menjadikan bahasa Inggeris semakin kuat dan sedikit banyak mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu

Sehubungan dengan itu, nilai ekonomi bahasa Melayu boleh dikembalikan dengan adanya usaha yang giat dalam penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat tidak kira di mana-mana sahaja termasuklah di pasar, gedung beli-belah dan hotel. Aktiviti perniagaan runcit dan apa-apa urusan perbankan juga perlu menggunakan bahasa Melayu.

Demikianlah penerangan menarik daripada Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, yang juga seorang tokoh ekonomi yang sedang giat mengembangkan bahasa Melayu, selaku ahli panel dalam rancangan “Lidah Rakyat: Bahasa Melayu Bahasa Ekonomi”. Manakala Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan pula bertindak selaku moderator menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang bersiaran pada pukul 9.00 malam tadi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!