Oleh Kho Thong Eng
24 Februari 2022, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu telah wujud dan berkembang mengikuti aliran masa dari zaman silam lagi. Dalam hal ini, bahasa Melayu pernah digunakan sebagai lingua franca atau bahasa perhubungan luas di Nusantara, digunakan sebagai bahasa ilmu di Aceh dan dijadikan bahasa pentadbiran dalam zaman Kesultanan Melaka.

Seterusnya, dengan tercapainya kemerdekaan Tanah Melayu, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, dan kemudiannya menjadi bahasa pengantar utama dan bahasa ilmu tinggi. Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu semakin rencam dan kompleks.

Perkembangan sezaman yang mengundang pelbagai perkembangan politik, ekonomi, sosial dan budaya menuntut agar bahasa Melayu diperkasakan dan dimantapkan untuk menggalas tanggungjawab komunikasi yang semakin berat. Bahasa Melayu bukan sahaja digunakan secara longgar dalam suasana yang santai, malah perlu digunakan dengan tepat dan jelas dalam pelbagai wacana komunikasi aras tinggi. Dengan itu, satu versi bahasa Melayu yang baku atau standard perlu diwujudkan sebagai wahana komunikasi yang berkesan.

Usaha untuk memantapkan bahasa Melayu meliputi pelbagai perkara, termasuklah aspek fonologi, morfologi, sintaksis, ejaan, kosa kata, semantik, dan sebagainya. Dalam hal ini, tatabahasa preskriptif atau normatif telah menjadi gandingan baharu bagi tatabahasa deskriptif.

Tatabahasa deskriptif hanya menghuraikan fenomena penggunaan bahasa Melayu seadanya dalam masyarakat, tanpa membuat penentuan tentang betul salahnya sesuatu ujaran atau penulisan. Sebaliknya, tatabahasa preskriptif atau normatif berfokus dalam hal memilih dan menentukan bentuk yang betul atau baku untuk kegunaan masyarakat.

Tatabahasa preskriptif pula menetapkan rumus untuk dijadikan panduan atau pegangan oleh masyarakat.  Hal ini mirip dengan peranan doktor yang mempreskripsikan ubat atau prosedur untuk merawat pesakit. Dengan adanya preskripsi yang betul, barulah seseorang pesakit akan cepat sembuh dan sihat seperti sediakala.

Memang ada baiknya tatabahasa preskriptif diadakan. Hal ini akan membolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa moden yang berupaya mengungkapkan sebarang konsep atau fenomena yang berlaku di sekitar kita. Oleh itu, kita akan dapat mengurangkan perbezaan kedaerahan dan individu yang membatasi pemahaman pengguna umum.

Bahasa Melayu akan mencapai keadaan saling terjemah dengan bahasa utama di dunia. Unsur kekaburan atau ketaksaan makna akan dapat dielakkan dalam wacana akademik, perundangan dan pentadbiran. Selain itu, bahasa Melayu yang tercatat atau terakam akan dapat difahami dan dikaji sepenuhnya, dengan merentas batasan masa dan geografi. Dengan itu, kesinambungan dan kecemerlangan ilmu akan terpelihara di mana-mana jua pada segala zaman.

Pada dasarnya, perkara pokok yang terkandung dalam tatabahasa preskriptif lali dan kebal daripada perubahan yang drastik. Hal ini dikatakan demikian kerana pada umumnya, tatabahasa bersifat lebih stabil berbanding dengan kosa kata atau aspek bahasa yang lain. Dengan itu, perubahan yang berlaku lebih bersifat penataran atau pengubahsuaian pada huraian yang sedia ada.

Walau bagaimanapun, kalaupun tatabahasa preskriptif memastikan kita menggunakan bahasa Melayu mengikut kerangka yang terkawal dan konsisten, hal ini tidak menidakkan kemungkinan bahawa sesetengah huraian mengikut tatabahasa preskriptif akan berubah jika ada tuntutan dan keperluan baharu.

Kata orang Barat, “The only constant is change”, iaitu perkara yang tetap akan berlaku ialah perubahan. Oleh itu, dengan peralihan masa, ada sahaja perubahan yang akan berlaku pada huraian tatabahasa dengan adanya penemuan bukti atau penghujahan yang baharu. Jika kita enggan mengikut arus perubahan sezaman, perkembangan bahasa Melayu akan terbantut, lalu menjadi beku dan jumud, malah mungkin akan mati.

Dalam keghairahan kita untuk menetapkan tatabahasa preskriptif, satu perkembangan negatif yang mungkin berlaku secara sengaja atau sebaliknya ialah sikap yang dogmatik, iaitu sikap seseorang yang berpegang pada pandangan peribadi tanpa menghiraukan bukti yang ada atau mempertimbangkan pandangan lain yang mungkin benar.

Hal ini mungkin bererti seseorang tetap berpegang pada huraian  lama yang kurang tepat dengan setia meskipun hal tersebut bercanggah dengan realiti. Satu lagi kemungkinan ialah seseorang mencadangkan huraian baharu yang kurang tepat tetapi enggan mengalah atau bertolak ansur. Kedua-dua kemungkinan ini akan menjadikan tatabahasa preskriptif bersifat statik, bukannya progresif.

Jika kita ingin memastikan tatabahasa preskriptif berkembang secara sihat dan terkawal, tidak boleh tidak muzakarah dan perbincangan tentang tatabahasa perlu diadakan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan dari semasa ke semasa. Pertemuan boleh diadakan dengan agak kerap, iaitu mungkin beberapa kali setiap tahun. Siapakah mereka yang akan terlibat dalam perbincangan?

Selain pakar akademik yang sentiasa menggerakkan dan memesrai kajian mendalam tentang tatabahasa, kita harus juga mengambil kira pandangan guru bahasa Melayu yang berpengalaman yang saban hari bergelumang dalam kubang wacana komunikasi bahasa Melayu. Dalam hal ini, ilmu dan amal tidak semestinya berkonflik dan bertelagah. Tidak ada soal dan tidak ada keperluan untuk kita menentukan pihak yang lebih berwibawa, lebih hebat atau lebih utama. Yang penting hanya tujuan bersama untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu.

Untuk membolehkan majlis muzakarah berlaku secara positif dan membuahkan hasil, semua pihak yang terlibat patut bersikap rasional dan terbuka, bukannya emosional.  Hal ini dikatakan demikian kerana hanya dengan pemikiran yang jernih dan jiwa yang tenang, barulah kita akan dapat menemukan kebenaran yang bagaikan sinar mutiara yang terpendam di dasar lautan yang gelap gelita.

Seseorang tidak perlu bimbang bahawa kedudukan dan status dirinya akan tercabar atau terancam kerana sesi perbincangan berjalan dalam majlis yang tertutup dan terlindung daripada sorotan khalayak umum. Selain itu, penyampaian hujah harus dilakukan secara sopan dan tenang dengan nada yang sederhana, tanpa suara yang meninggi atau sikap marah membara.

Setiap hujah yang dikemukakan harus juga berdasarkan logika dan bukti yang nyata. Kita mengakui hakikat bahawa seseorang mungkin akan dilanda rasa kecewa dan sedih apabila pandangannya tidak diterima. Namun demikian, kita berharap tiada yang akan berasa kesal dan merajuk atas hal sedemikian. Sepatutnya perasaan positif yang kita harapkan timbul ialah rasa kesyukuran bahawa kita telah bersama-sama menggerakkan bahasa Melayu selangkah atau beberapa langkah ke hadapan.

Perkara yang dapat dijadikan sajian perbincangan para cendekiawan bahasa Melayu meliputi aspek ejaan, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, kosa kata dan peristilahan, sosiolinguistik dan hal seumpamanya. Walau bagaimanapun, yang menjadi fokus utama sudah tentulah morfologi dan sintaksis kerana kedua-dua aspek ini menjadi kandungan utama buku tatabahasa dan ujian tatabahasa. Dengan tatabahasa yang mantap, barulah kita ada pegangan yang mapan dalam hal berbahasa.

Siapakah yang menggerakkannya? Kita berharap Dewan Bahasa dan Pustaka yang diamanahkan tugas untuk memajukan bahasa Melayu akan menjadi penggerak utama untuk menjayakan usaha yang murni ini. Dengan adanya prasarana birokrasi yang cekap dan lengkap, barulah majlis muzakarah tersebut dapat berjalan secara licin dan lancar.

Apakah hasil yang kita harapkan akan dijana? Sudah tentu kita berharap agar buku Tatabahasa Dewan yang menjadi pegangan utama tatabahasa bagi semua pengguna bahasa Melayu akan dapat dimurnikan dan dikemaskinikan mengikut perkembangan terkini. Bukankah sudah terlalu lama penantian kita?

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.