Oleh Awang Sariyan
26 Februari 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob tentang penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi di luar negara sangat dialu-alukan dan amat dihargai oleh pejuang dan pencinta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob semasa mengumumkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi di luar negara.

Dari sudut sejarah, bahasa Melayu memang telah menjadi bahasa diplomasi dalam tempoh ratusan tahun dahulu. Wujudnya warkah dan perjanjian antara kerajaan-kerajaan Melayu dengan kuasa asing seperti Portugal, Sepanyol, Belanda dan Inggeris di pelbagai perpustakaan di seluruh dunia menjadi buktinya. Sarjana Belanda seperti Van Linschoten dan Francis Valentijn menyamakan taraf dan peranan bahasa Melayu dengan bahasa Latin dan Perancis di Eropah pada abad yang sama, iaitu abad 16 Masihi.

Pernyataan Perdana Menteri di Bangkok itu membuka lembaran baharu untuk mengangkat semula bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa. Jabatan Perkhidmatan Awam dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 tahun 2011 yang bertajuk “Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam” telah menyebut galakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan surat-menyurat di peringkat antarabangsa dalam bahasa Melayu dengan terjemahannya dalam bahasa Inggeris. Untuk perjanjian peringkat antarabangsa pula, bahasa Inggeris digunakan dan terjemahannya dalam bahasa Melayu dibuat untuk rekod dan semakan. Perkara yang sama dikeluarkan semula dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 tahun 2020 dengan tajuk “Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam”.

Pernyataan Perdana Menteri itu patut menjadi sumber iltizam oleh semua penjawat awam yang berurusan di luar negara dan penjawat awam di dalam negara yang berurusan dengan pihak antarabangsa agar menggunakan bahasa Melayu, dengan terjemahannya dalam bahasa Inggeris.

Tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) telah mengusulkannya sejak tahun 2000 dan berharap agar pernyataan Perdana Menteri itu akan menjadi kenyataan. Selain mempunyai penutur sekitar 300 juta orang di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan di sebahagian Thailand dan Kampuchea, bahasa Melayu difahami juga di negara ASEAN yang lain.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!