11 Mac 2022, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan negara ini tidak kira di mana-mana sahaja. Sementelah lagi, negara ini sudah mencapai kemerdekaan selama 65 tahun, maka seharusnya semua warga Malaysia dapat menyemai budaya dan bahasa dalam diri serta menguasai bahasa Melayu dengan baik tidak kira dalam apa-apa jua bidang yang diceburi, sama ada sebagai seorang anak seni, pelukis, penulis lirik, dan sebagainya.

Muzik merupakan antara medium yang amat penting untuk menyebarkan bahasa dan budaya kebangsaan kerana muzik sentiasa ada di sekeliling kita. Tidak semestinya genre irama Malaysia sahaja yang perlu berelemenkan bahasa Melayu, penggubah dan penulis lirik lagu dalam genre lain juga perlu menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam menghasilkan sesuatu karya.

Menurut Suki Low, seorang artis tanah air memilih untuk menyanyi dalam bahasa kebangsaan disebabkan rasa bangga serta rasa bertanggungjawab terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Katanya lagi, bahasa itu jiwa bangsa dan beliau ingin membawa identiti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ke seluruh dunia. Beliau berpendapat, semangat jati diri bahasa Melayu yang kuat dalam diri yang disampaikan melalui lirik lagu akan membawa kepada kesepaduan rakyat Malaysia.

Suki Low ketika bersiaran secara langsung bersama-sama moderator, Encik ‘Azimin Daud.

Tambahnya lagi, beliau sentiasa bersungguh-sungguh dalam mempelajari bahasa Melayu dengan membuat rujukan bahasa melalui kamus atau merujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu dan bertanyakan pakar bahasa jika menghadapi masalah berkenaan dengan ejaan dan tatabahasa bahasa Melayu.

Adalah penting untuk kita menguasai bahasa Melayu dan memahami lirik lagu serta menjiwainya dengan baik dan betul kerana sekiranya perkataan atau sebutan kita tidak tepat semasa menyanyi dalam bahasa Melayu, maka maksud yang hendak disampaikan itu akan terpesong daripada pengertiannya yang sebenar.

Sebagai penyanyi, seseorang itu juga perlu ada rasa tanggungjawab terhadap penguasaan ilmu yang banyak dalam bahasa kebangsaan. Hal ini demikian kerana seseorang yang menyanyi dengan menggunakan bahasa yang bercampar aduk atau bahasa rojak akan mencemarkan keindahan lirik lagu bahasa Melayu dan seterusnya merosakkkannya.

Menurut beliau lagi, antara cabaran yang dihadapi dalam memartabatkan bahasa Melayu termasuklah sikap masyarakat negara ini yang begitu kreatif dalam mencipta sesuatu perkataan dan seterusnya merosakkan keindahan bahasa Melayu. Golongan muda khasnya lebih terpengaruh dengan budaya luar disebabkan mereka aktif dalam media sosial. Sehubungan dengan itu, platform media sosial perlu dimanfaatkan sebaik-baik mungkin dengan penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam lagu. Hal ini sedikit banyak dapat menyuntik rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan.

Beliau juga mempunyai banyak perancangan untuk menyampaikan lagu-lagu dalam bahasa Melayu bagi memeriahkan seni tanah air dalam bahasa kebangsaan. Demikianlah antara penerangan menarik oleh Suki Low ketika bersiaran secara langsung dalam rancangan Peka Bahasa: Bicara Kita 2022 – “Bahasa dan Lagu” menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 9.00 malam tadi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!