12 Mac 2022, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  Sikap para pemimpin negara terhadap bahasa Melayu akhir-akhir ini seolah-olah memberikan nafas baharu dalam usaha untuk memartabatkan penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan terutamanya di peringkat antarabangsa. Kenyataan dan tegasan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkaitan dengan pemartabatan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuklah dalam mesyuarat dan persidangan antarabangsa telah bermula sejak hujung tahun lepas dan sekali lagi disuarakan beliau ketika dalam lawatan rasmi ke Thailand baru-baru ini.

Dalam Rancangan Sembang Tamu: “Bahasa Melayu di Persada Dunia: Siri 2” yang bersiaran menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, pada pukul 9.00 malam tadi, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang bertindak selaku moderator melontarkan persoalan berkaitan dengan pandangan golongan muda terhadap tindakan Perdana Menteri itu. Menurut Mantan Presiden Majlis Belia Malaysia, Encik Julfitri Joha, golongan muda mempunyai pandangan yang pelbagai terhadap usaha pemartabatan bahasa kebangsaan.

Menurut Encik Julfitri, ada sebahagian golongan muda yang menyambut baik usaha tersebut kerana bahasa Melayu layak untuk dinobatkan sebagai bahasa antarabangsa dan ada pula yang tidak kisah atau tidak cakna akan hal tersebut. Tambah beliau lagi, setiap ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mempunyai kemahiran berbahasa kebangsaan kerana mereka merupakan contoh dan teladan kepada masyarakat untuk terus yakin menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Beliau turut mencadangkan agar audit bahasa kebangsaan yang dijalankan di kementerian dan jabatan kerajaan juga perlu dilaksanakan di Parlimen.

 

Para panel dan moderator ketika bersiaran secara langsung.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Encik Aminuddin Yahaya pula menyatakan bahawa beliau menyambut baik Diplomasi Kebudayaan yang telah diumumkan oleh Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah pada bulan November tahun lepas. Namun begitu, usaha tersebut perlu dilakukan secara berterusan dan para pemimpin termasuklah keluarga Malaysia perlu mengubah minda akan kepentingan pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak sewenang-wenangnya merendahkannya. Peranan badan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang bahasa juga sangat luas dan bertindak sebagai badan pemantau bagi setiap dasar yang dibuat oleh kerajaan.

Menurut pensyarah bebas, penyair dan penterjemah, YBrs. Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman pula, potensi sastera Melayu di persada dunia sangat cemerlang, gemilang dan terbilang sebagaimana yang telah terakam dalam sejarah dunia. Contohnya, beliau yang mewakili Malaysia dalam Festival Internacional de Poesia Granada, Nicaragua pada 19 Februari 2022 telah mendeklamasi puisinya yang bertajuk “Mewangi Jasa Pena Pujangga Nicaragua” dalam bahasa Melayu dan diterjemahkan pula ke dalam bahasa Sepanyol sebagai sari kata. Tambah beliau lagi, pengantarabangsaan bahasa penting untuk sesebuah bahasa kerana bahasa yang dinamik wajar berkembang.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!