Oleh E Pian Pro Poul
23 Mac 2022, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DSP Mohd Sail Hassan, Penolong Pegawai Pemerintah, Batalion 18 PGA, ketika berucap dalam majlis perasmian penutupan program.

Pengkalan Hulu Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganjurkan Program Bimbingan Pemantapan Tatabahasa dan Penulisan Dokumen Rasmi untuk pegawai, anggota dan kakitangan am Batalion 18 PGA, yang terlibat secara langsung dalam urusan surat menyurat berakhir dengan  jayanya semalam. Program ini bertujuan mempersegar penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan warga Senoi Praaq, yang merupakan kumpulan elit dalam PDRM kerana anggotanya terdiri daripada suku kaum Orang Asli yang sangat mahir dalam urusan menjejak musuh di hutan.

Setelah Parti Komunis Malaya (PKM) menandatangani Perjanjian Damai dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada tahun 1989 di Haadyai, Thailand, anggota Senoi Praaq lebih banyak ditugaskan dalam operasi di sempadan, menjejaki orang hilang di hutan dan menjalankan tugas khas di bandar serta urusan pentadbiran. Oleh yang demikian, program ini secara langsung dapat membantu memantapkan penguasaan bahasa Melayu mereka, di samping menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul.

Program bimbingan pada kali ini menampilkan Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Mohd. Januri Aiyub, Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH), Sungai Petani, Kedah, sebagai pembimbing.

Deputi Superintenden Polis (DSP) Mohd Sail Hassan, Penolong Pegawai Pemerintah, Batalion 18 PGA, dalam ucapan perasmian penutupan program menegaskan bahawa bahasa Melayu amat penting sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan perlu digunakan dengan baik dan betul dalam penulisan dokumen rasmi agensi kerajaan seperti PDRM, walaupun tugas utama anggota keselamatan ini ialah “memegang senjata”. Beliau sendiri amat menggalakkan kakitangannya menulis dokumen rasmi dengan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul.

Sehubungan dengan itu, beliau turut berhasrat untuk memanjangkan program yang julung-julung kali diadakan ini supaya dapat diperkembangkan atau dipanjangkan ke peringkat Briged Utara PGA yang terdiri daripada empat Batalion. Menurutnya lagi, pelaksanaan program bimbingan seperti ini seharusnya diadakan dari semasa ke semasa, malah beliau telah menyebut perkara ini dalam mesyuarat pada peringkat Briged dan telah mendapat persetujuan daripada pihak pengurusan Briged.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam dokumen rasmi perlu menjadi tanggungjawab semua pihak. Oleh itu, beliau amat berterima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang melaksanakan program seumpama ini dan kepada IPGKSAH kerana memberikan peluang kepada Encik Mohd Januri untuk membimbing program yang berlangsung selama dua hari ini, iaitu pada 21 Mac hingga 22 Mac 2022 di Dewan Latihan Batalion 18 PGA, dengan penglibatan 33 orang peserta pelbagai pangkat.

Encik Mohd Januri Aiyub, pembimbing program, yang juga merupakan Munsyi Dewan (Bahasa).

Encik Mohd Januri pula menyarankan agar semua peserta membiasakan diri dengan penggunaan bahan rujukan dan kamus secara dalam talian, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang dibangunkan oleh DBP. Hal ini kerana maklumat bahasa Melayu hanya berada di hujung jari sahaja.

“Jika tuan atau puan memerlukan maklumat tentang istilah, makna atau khidmat nasihat bahasa, jangan segan-segan untuk melayari PRPM,” katanya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!