Oleh Suria Janib
24 Mac 2022, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Prof. Madya Dr. Norazlina Haji Mohd. Kiram dari Universiti Putra Malaysia, sangat mengalu-alukan orang ramai menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul terutama ketika membuat apa-apa sahaja hantaran di media sosial. Beliau agak kesal dengan sikap sesetengah pihak yang bersikap dingin terhadap tindakan Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang berucap dalam bahasa Melayu di pentas antarabangsa baru-baru ini.

Prof. Madya Dr. Norazlina Haji Mohd. Kiram

“Seseorang pemimpin berucap dalam bahasa Melayu di pentas antarabangsa sepatutnya disambut dengan respons positif tetapi malangnya terdapat komen negatif yang berbaur kecaman yang mengatakan bahawa pemimpin kita berkemungkinan besar tidak fasih berbahasa Inggeris,” jelasnya.

Menurutnya, warga netizen di negara ini sepatutnya berfikiran realistik dan turut berasa bangga kerana usaha yang dilakukan oleh Kerajaan untuk mengangkat bahasa Melayu di pentas antarabangsa perlu disambut dengan baik.

“Tampaknya rakyat masih menyanjung tinggi bahasa asing dan memandang rendah terhadap keupayaan bahasa Melayu di negara ini. Sepatutnya daripada sekecil-kecil anak hingga peringkat dewasa perlu disemai semangat pejuang bahasa kebangsaan dengan cara tersendiri,” katanya dalam sesi Sembang Suara Merdeka, yang membicarakan topik, iaitu “Patutkah Bahasa Melayu Diperlekehkan?”

Katanya lagi, keseriusan Perdana Menteri mengangkat bahasa Melayu dengan saranan meminda Akta Dewan Bahasa serta semua pihak digesa mengutamakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi seharusnya diterima secara terbuka oleh semua pihak.

https://dewanbahasa.jendeladbp.my/2022/03/22/pindaan-akta-dewan-bahasa-dan-pustaka-1959-persis-pinang-pulang-ke-tampuk/

“Tidak timbul sifat berjiwa kecil sekiranya rakyat negara ini menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan dan penulisan. Selama berbelas tahun belajar bahasa Melayu sejak di sekolah rendah, tetapi masih ada lagi orang yang tidak fasih berbahasa Melayu,” katanya.

Baginya, bahasa Melayu akan terus berkembang dan terpelihara sekiranya diwujudkan dasar atau arahan tegas agar semua pihak mengambil peranan masing-masing. Misalnya, semua media perlu mengambil tanggungjawab menggunakan bahasa yang baik dan betul seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, pemimipin negara merupakan ejen perubahan kepada masyarakat untuk merealisasikan perkara yang termaktub dalam perlembagaan ini.

“Keadaan yang berlaku di Parlimen sebaliknya yang menunjukkan sesetengah ahli Parlimen menggunakan bahasa Melayu secara rojak dan tidak sopan serta boleh menimbulkan padangan negatif daripada masyarakat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mendesak wakil rakyat atau pemimpin politik mengikuti ujian komunikasi berkesan bahasa Melayu setiap tiga tahun sekali supaya tidak mengulangi kesalahan dalam penggunaan bahasa Melayu.

Ujian komunikasi berkesan ini termasuklah mengikuti kemahiran mendengar, iaitu pemimpin perlu mendengar dengan baik terutama suara daripada rakyat dan kemahiran bertutur, iaitu menguasai bahasa Melayu yang kaya dengan gaya bahasa termasuklah penggunaan peribahasa dan pantun. Dalam hal ini, penulis teks ucapan pemimpin perlulah menyelitkan unsur bunga bahasa yang penuh dengan keindahan bahasa ini. Secara tidak langsung, mereka akan mengangkat bahasa Melayu.

Selain itu, mereka juga perlu rajin membaca kerana dengan membaca, pemimpin atau sesiapa sahaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Begitu juga dengan kemahiran menulis yang juga perlu dikuasai oleh mereka supaya tidak melanggar rumus bahasa ketika bersidang di Parlimen.

Oleh itu, bagi pembuat dasar negara, pemimpin atau wakil rakyat, mereka seharusnya melakukan perubahan dengan menambah baik penggunaan bahasa Melayu, mewujudkan peraturan atau hukuman terhadap wakil rakyat yang melanggar penggunaan bahasa yang baik dan betul di Parlimen.

“Apabila dari peringkat atasan menggunakan bahasa yang baik dan betul serta mengutamakan bahasa ini dalam setiap urusan rasmi, barulah masyarakat akan meyakini bahasa ini,” katanya.

Beliau turut menggesa pihak sektor awam dan sektor swasta seharusnya menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya dalam sesi temu duga supaya bahasa ini tidak terus diperlekehkan.

Oleh itu, bahasa Melayu perlu dikuasai oleh setiap warga negara ini sebagai lambang kesetiaan dan jati diri bangsa yang menunjukkan kecintaan terhadap bahasa dan negara ini.

https://www.facebook.com/watch/live/?ref=search&v=264916922510064

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!