Oleh Yusaida Yusof
27 Mac 2022, 14:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Dalam t
Dalam titah ucapannya, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz menyeru semua pihak agar mengimarahkan bahasa Melayu demi negara tercinta.

Bachok   Penerimaan masyarakat terhadap kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara masih lagi tidak memuaskan. Sikap dingin dan pandangan serong segelintir ahli masyarakat termasuklah dalam kalangan orang Melayu sendiri juga sering dihadapi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai institusi yang memikul tanggungjawab besar dalam menjaga serta memartabatkan bahasa di negara ini.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan, yang juga merangkap Pro-Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dalam ucapan beliau bertitah bahawa DBP perlu menghadapi perubahan dan persekitaran yang ada dengan bijaksana, dan istiqamah demi kebestarian serta kelestarian DBP. Antara tujuh persekitaran tersebut termasuklah dari segi ekonomi, politik, budaya, sosial, demografi, teknologi dan pendidikan.

Menurut Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, persekitaran tersebut menuntut DBP agar senantiasa melakukan inovasi serta kaizen dalam setiap produk yang dihasilkannya dan dalam setiap perkhidmatan yang disediakan serta disampaikannya.

Melakukan inovasi dan melaksanakan kaizen ialah suatu keperluan dan kemestian demi memastikan kebestarian dan kelestarian sesebuah organisasi. Selain itu, berhubung kait dengan peri pentingnya memberikan perhatian kepada cabaran persekitaran politik sebagai contoh, ada hubung kaitnya dengan perubahan dasar mahupun wujudnya dasar-dasar baharu Kerajaan yang memberikan impak kepada DBP.

Tambah beliau lagi, satu lagi cabaran baharu yang perlu dihadapi oleh DBP ialah usaha untuk mengimarahkan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa yang mendapat tempat di peringkat antarabangsa. Hal tersebut ekoran pengumuman Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan bercadang untuk mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai persidangan antarabangsa serta acara-acara rasmi kerajaan yang lain sebagai manifestasi sokongan kerajaan dalam pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Selain itu, menurut beliau, terdapat empat tema utama yang perlu diambil kira oleh DBP dalam usaha berterusannya merekayasa dan mengimarahkan bahasa Melayu. Antaranya termasuklah akses, kecemerlangan, pendidikan dan nilai ekonomi. Keempat-empat tema ini juga perlu diberi perhatian oleh institusi-institusi pendidikan di negara ini.

Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz juga menyeru semua sarjana dan ilmuwan di UMK khususnya, untuk mengambil inisiatif menterjemahkan tesis ataupun buku masing-masing yang ditulis dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu sebagai tanggungjawab moral dalam mengimarahkan bahasa, sekali gus membina kehidupan bernegara yang diidam-idamkan.

Sudah tentulah buku atau tesis yang hendak diterjemahkan itu berpotensi untuk dipasarkan, yang bukan sahaja di dalam negara, bahkan ke seluruh Nusantara, dan dunia. Saya yakin, UMK dan DBP boleh bekerjasama dalam penerbitannya, sekali gus memastikan pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu yang bermanfaat kepada kemaslahatan ummah dapat diwariskan kepada dunia berbahasa Melayu, khususnya.

Beliau berkata demikian dalam program Kembara Titah Kelantan, serta majlis pelancaran buku terbitan DBP, UMK dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang berlangsung di Auditorium, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK yang berlangsung pada pagi tadi.

Program tersebut turut dihadiri oleh Dr. Arham Abdullah (Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran (Ketua Pengarah DBP), Tuan Haji Zulkifle Ab Rahman (Timbalan Yang DiPertua MAIK), Dato’ A Aziz Deraman (mantan Ketua Pengarah DBP dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan), Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP) serta wakil pertubuhan dan persatuan di Kelantan.

Antara tetamu yang hadir dalam program Kembara Titah Kelantan, yang berlangsung di Auditorium, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!