Oleh Awang Sariyan
1 April 2022, 20:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sokongan Presiden Indonesia, Bapak Joko Widodo menambah peluang untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN dan bahasa di peringkat antarabangsa. Persetujuan dan sokongan serta janji untuk bergerak bersama-sama dalam pertemuan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia pada hari ini di Jakarta cukup besar maknanya. Indonesia memiliki jumlah terbesar penutur bahasa Melayu, iaitu lebih 250 juta orang walaupun menggunakan nama bahasa Indonesia.

Selama ini, usaha kerjasama serantau melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) telah berlangsung (MABBIM sejak tahun 1972 dan MASTERA sejak tahun 1995). Cadangan Perdana Menteri Malaysia itu merupakan kesinambungan dan peningkatan usaha yang telah puluhan tahun dimulakan di peringkat serantau dan Indonesia memang menjadi sahabat seperjuangan sejak hampir 50 tahun lalu.

Usaha penyatuan negara serantau (ASEAN) melalui faktor bahasa sangat besar ertinya. Bahasa Melayu yang mempunyai 300 juta orang penutur yang turut dituturkan di Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand, Filipina, Kampuchea, Laos, Vietnam, Myanmar dan Timor Leste. Nama bahasa Indonesia didasarkan pada proses pembinaan jati diri negara itu tetapi bahasa Indonesia berakar daripada bahasa Melayu walaupun kemudian melalui perkembangan sejarah yang berlainan. Dalam semua forum kerjasama serantau dan antarabangsa, kedua-dua dialek besar bahasa Melayu, iaitu dialek Indonesia dan dialek Melayu di negara lain, termasuklah Malaysia, disebut sebagai bahasa Melayu-Indonesia.

Isu itu tidak perlu ditimbulkan dan dibesar-besarkan, kecuali ada niat pihak tertentu ingin menggagalkan usaha itu. Dengan paduan semua negara berbahasa Melayu dan negara lain yang mempunyai penutur bahasa Melayu, cadangan mengangkat bahasa Melayu (sebagai bahasa supranasional yang merentas sempadan geopolitik) dapat dan patut diusahakan menjadi bahasa rasmi ASEAN, dengan permulaannya sebagai bahasa rasmi kedua.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.