Oleh Awang Sariyan
5 April 2022, 14:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila Perdana Menteri Malaysia mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN, beliau tidak bercakap tentang bahasa Melayu yang berkaitan dengan negara tertentu. Konsep bahasa Melayu luas, iaitu bahasa yang tersebar di wilayah yang dikenal sebagai Alam Melayu atau Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Fakta itu terakam dalam sejarah yang tidak mungkin dapat dinafikan oleh sesiapa.

Dalam konteks semasa, bahasa Melayu di Asia Tenggara diwakili oleh dialek besar yang dikenal sebagai bahasa Indonesia, bahasa Melayu di Malaysia, bahasa Melayu di Singapura, bahasa Melayu di Brunei Darussalam, bahasa Melayu di Thailand (khasnya bahagian selatan), bahasa Melayu di Kampuchea, bahasa Melayu di Laos, bahasa Melayu di Vietnam, bahasa Melayu di Filipina dan bahasa Melayu di Myanmar.

Dalam persuratan di Indonesia sebelum merdeka, yang ada ialah “bahasa Melajoe” (bahasa Melayu dalam ejaan pengaruh Belanda). Hanya sesudah Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928, baru digunakan nama bahasa Indonesia dalam pernyataan jati diri tiga serangkai, iaitu “Bertanah air yang satu, negara Indonesia; berbangsa yang satu bangsa Indonesia; dan berbahasa yang satu bahasa Indonesia”. Ketika pemuka negara itu, seperti Sukarno memilih bahasa nasional bagi negara itu, bahasa yang dipilih ialah bahasa Melayu.

Saya yakin bahawa atas pemahaman itulah Presiden Indonesia menyambut baik cadangan Perdana Menteri Malaysia itu. Perbedaan yang wujud antara bahasa Melayu di Indonesia yang diisytiharkan namanya “bahasa Indonesia” dengan bahasa Melayu di Malaysia dan negara lain tidak patut menjadi penghalang atau dijadikan isu. Perbincangan dari hati ke hati perlu diadakan agar difahami bahawa bahasa Melayu yang dicadangkan sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN ialah bahasa Melayu supra atau bahasa Melayu mahawangsa yang meliputi Alam Melayu (Malay Archipelago).

Jangan jadikan kelainan nama dan perbedaan yang wujud dalam hal tertentu sebagai isu untuk mematikan cita-cita mengangkat bahasa serantau sebagai bahasa rasmi pakatan serantau ASEAN. Jangan juga dijadikan cita-cita itu sebagai persaingan atau perlumbaan antara negara yang pasti tidak menguntungkan mana-mana pihak. Yang penting ialah semangat persatuan untuk menggunakan bahasa Melayu dengan konsep yang luas bagi pakatan serantau ASEAN. Dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang diterajui oleh tiga buah negara penggerak, iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, istilah bahasa Melayu-Indonesia pernah digunakan. Demikian juga dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!