7 April 2022, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kepemimpinan ialah satu proses interaksi di antara individu dengan kumpulan atau khususnya di antara individu dengan keseluruhan ahli-ahlinya yang menganggotai sesebuah kumpulan. Bahasa pula bersifat menyeluruh yang mengandungi prinsip menepati klasifikasi sesuatu yang dikuasai dan juga bersifat konvensional (warisan) yang hadir atau diwarisi daripada naluri semula jadi atau asuhan.

Perpaduan pula merupakan proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan negara. Keluarga Malaysia berjiwa Malaysia. Sokongan ini diperkukuhkan dengan sistem jaringan sosial di bawah kesaksamaan sosial untuk semua. Hubungan emosi perpaduan. Titik persamaannya perlu diteroka dan jurang perbezaannya perlu segera diatasi untuk memastikan hasrat masa hadapan akan tercapai

Sehubungan dengan itu, program Dialog Kepemimpinan Generasi Muda Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Pelajar Malaysia di China telah berjaya diadakan dengan tajuk “Kepemimpinan Pelajar Mengangkat Bahasa Kebangsaan” secara dalam talian pada 25 Mac 2022. Seseorang pelajar itu perlu mempunyai kemahiran berbahasa kebangsaan yang baik dan di samping itu juga perlu menguasai bahasa asing dengan baik. Keunikan dan keistimewaan ini menjadikan rakyat Malaysia mampu menguasai pelbagai bahasa.

Sejarah negara menunjukkan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca di Alam Melayu dan telah melayakkan bahasa Melayu dijulang sebagai bahasa kebangsaan dan digunakan secara rasmi di negara ini. Bahasa ini juga sebagai bahasa pemersatu dan pembina identiti rakyat Malaysia. Malaysia sebagai tanah air yang penuh keharmonian dan memiliki silang budaya serta rakyatnya saling hormat-menghormati di samping kepelbagaian bangsa, agama dan budaya menjadi sumber kekuatan Keluarga Malaysia.

Sejarah juga merekodkan, sarjana China, I- Tsing (abad ke-7 Masihi) belajar bahasa Sanskrit di Alam Melayu, iaitu antara bahasa yang paling awal dan banyak mempengaruhi kosa kata bahasa Melayu. Stamford Raffles pula yang pandai berbahasa Melayu telah dihantar oleh pihak British untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang negeri-negeri Melayu dan akhirnya beliau menjadi ikon penting dan dianggap sebagai pengasas Singapura moden.

Demikian antara sekelumit sejarah antarabangsa bahasa Melayu pada masa lampau. Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dapat diertikan sebagai bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia antara seorang individu dengan individu yang lain yang berfungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di sesebuah negara.

Sehubungan dengan itu, berdasarkan faktor kepemimpinan, satu perkara yang menjadi iktibar ialah para pelajar ini juga menterjemahkan nilai jati diri yang kuat dengan menguasai bahasa kebangsaan negara mereka. Pemimpin Pelajar Malaysia sentiasa menjadi contoh kepada pelajar lain. Dalam hal ini, kita perlu tahu dan sedar akan semangat jati diri sebagai rakyat Malaysia yang sebenarnya. Bahasa kebangsaan bukan sahaja sebagai alat komunikasi tetapi merupakan lambang jati diri dalam mencintai negara Malaysia. Bahasa jiwa Bangsa.

Perbincangan bahasa pula merupakan wahana pembentuk dan pemindah memori bangsa. Memori bangsa pula ialah himpunan nilai sesuatu bangsa. Oleh itu, pastinya kita mahu jati diri yang tidak berubah yang tentu sekali pada minda dan nilainya. Mungkin pada jasadnya kita masih rakyat Malaysia, tetapi dari segi budaya dan rohaninya kita mungkin kehilangannya jika tidak memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan keluarga Malaysia. Pengalaman membawa bersama nilai kasih sayang dan perpaduan serta bergaul mesra dengan setiap etnik di Malaysia dalam mengangkat martabat bahasa kebangsaan disuarakan oleh para pelajar ini semasa sesi dialog. Sebagai rakyat Malaysia, darah merah yang mengalir di badan itu ialah darah rakyat Malaysia dan perlu dihayati nilai sebenar menjadi rakyat Malaysia yang sejati.

Sesi dialog tesebut juga diselang-selikan dengan nyanyian lagu oleh Jeryl Lee dan Masya Masyitah yang bertajuk Sahabat Sejati untuk tema filem pendek bersempena dengan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara China dengan Malaysia. “Hadiah Masa” sebagai tanda solidariti Malaysia dan China juga berjaya menjentik hati para pelajar yang memuji keindahan muzik dan lirik lagu tersebut. Hal ini jelas menunjukkan bahawa industri kreatif dapat menarik minat para pelajar antarabangsa kepada bahasa Melayu. Lagu-lagu berbahasa Melayu turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Contohnya, penyanyi tempatan negara ini seperti  Allahyarham Sudirman Haji Arshad sebagai perintis, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yuna, Shila Amzah dan yang terkini, Aina Abdul.

Dalam pada itu, industri kreatif antara cabang yang boleh dipergiatkan dan diseiringkan dalam usaha mendiasporakan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Kita patut kagum apabila pelajar Universiti Pengajian Asing Beijing telah berjaya mendeklamasikan sajak dalam bahasa Melayu dengan baik dan menarik telah perhatian para tetamu kehormat dari China dan negara asing bersempena dengan Majlis Sambutan Kemerdekaan yang ke-64 di Beijing, China, yang merupakan anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Selain bahasa, aspek budaya juga boleh ditonjolkan seperti yang dilakukan oleh Nur Liyana Razali, gadis berusia 26 tahun dari Papar, Sabah, yang menarik perhatian ramai apabila mengenakan pakaian etnik Murut Nabai dari Sabah ketika menerima Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari University of Manchester di United Kingdom baru-baru ini.

Program Diplomasi Kebudayaan Kementerian Luar Negara turut mengembangkan bahasa Melayu dengan penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi kerajaan ke luar negara dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris atau bahasa negara sasaran. Selain itu, meluaskan kursus bahasa, budaya dan warisan negara di kedutaan untuk keluarga kakitangan dan juga masyarakat setempat di negara asing seperti yang telah dimulakan di beberapa kedutaan. Kementerian Luar Negeri perlu menetapkan peranan Atase Pendidikan dan Kebudayaan di kedutaan sebagai agen promosi pendidikan dan kebudayaan Malaysia di luar negara.

Kursus intensif terjemahan dan interpretasi juga perlu diperbanyakkan untuk melahirkan penterjemah dan jurubahasa yang diperlukan di forum antarabangsa, khasnya bahasa Melayu ke dalam bahasa-bahasa utama dunia. Dalam memajukan bahasa Melayu di dunia, kerjasama padu diperlukan daripada Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan agensi-agensi lain.  Kepentingan Kursi Pengajian Bahasa Melayu di China, Eropah dan Australia yang banyak menawarkan program Bahasa Melayu perlu dihidupkan kembali. Strategi ini mengukuhkan lagi harapan kita betapa bahasa Melayu memang layak menjadi warga bahasa dunia kerana bahasa Melayu antara bahasa besar dunia.

Sama-samalah kita menjunjung semangat Keluarga Malaysia dengan jiwa Malaysia yang diakhiri kata-kata yang berikut:

“Teladan yang baik dalam memperkasakan bahasa Melayu memerlukan penerapan penghayatan dan nilai cinta akan bahasa tersebut. Pemimpin pelajar perlu berkomunikasi dan memantapkan tahap potensi diri serta merealisasikannya. Minda, hati dan jiwa akan mencipta semangat yang luar biasa dengan adanya cinta kepada negara.”

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!