Oleh Yusaida Yusof
8 April 2022, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Terdapat beberapa contoh terbitan awal di Indonesia yang menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah luas diguna pakai dalam urusan seharian masyarakat Indonesia. Berdasarkan beberapa bukti sahih yang terdapat pada manuskrip dan naskhah lama, bahasa Melajoe, iaitu bahasa Melayu dalam ejaan pengaruh Belanda telah lama bertapak di Indonesia.

Dalam hal ini, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, berharap agar semua pihak dapat memahami konsep bahasa Melayu itu sendiri. Menurutnya, bahasa Melayu tersebar di wilayah yang dikenal sebagai Alam Melayu atau Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Fakta itu terakam dalam sejarah yang tidak mungkin dapat dinafikan oleh sesiapa. Dalam hal ini, bukan untuk mencari salah sesiapa tetapi untuk sama-sama mengetahui dan memahami bahasa Melayu itu sendiri.

Dengan merujuk kenyataan beliau sebelum ini, bahasa Melajoe wujud dalam persuratan di Indonesia sebelum merdeka. Presiden Sukarno juga memilih bahasa Melayu sebagai bahasa nasional negara itu dan bahasa Indonesia pula hanya digunakan selepas termeterainya Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928. Sebelum ini juga, bahasa Malajoe pernah dibincangkan kehadirannya dalam artikel majalah Tempo, yang bertarikh 18 Januari 2016.

Bukti penggunaan bahasa Melayu pernah wujud di Indonesia juga dapat dilihat berdasarkan suatu kenyataan daripada keputusan nombor 8 Kongres Bahasa Indonesia Kedua yang diadakan di Medan, Indonesia pada 28 Oktober 1954 hingga 2 November 1954, iaitu “Bahawa asal bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu, dasar bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu yang disesuaikan dengan pertumbuhannya dalam masyarakat Indonesia sekarang”.

Selain itu, terdapat beberapa contoh terbitan dalam bahasa Melajoe di Indonesia. Antaranya termasuklah akhbar seperti Soenting Melajoe dan Sompret Melayoe, Kitab Logat Melajoe, Warna Sari Melajoe, Peladjaran Bahasa Melajoe, ‘Ilmoe Bahasa Melajoe, Hikayat Pandja tanderan, jaitoe jang dinamai oleh orang Melajoe Hikayat Galilah dan Daminah, English-Malay Dictionary = Kitab Dari Bahasa Inggris dan Melajoe, Kitab Arti Logat Melajoe dan banyak lagi.

Sehubungan dengan itu, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga yakin bahawa atas pemahaman tentang bahasa Melayu dalam rumpun Alam Melayu,  Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyambut baik cadangan Perdana Menteri Malaysia tersebut. Menurutnya lagi, isu itu tidak perlu ditimbulkan dan dibesar-besarkan, kecuali ada niat pihak tertentu ingin menggagalkan persetujuan dan usaha tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dalam kenyataannya semalam meminta semua pihak agar jangan tergesa-gesa memberikan pandangan politik mengenai isu bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Hal ini demikian kerana Presiden Indonesia telah pun bersetuju untuk sama-sama memperkasakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa serumpun di rantau ini.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!