9 April 2022, 16:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Prof. Madya Dr. Norazlina Haji Mohd Kiram ketika bersiaran secara langsung.

Kuala Lumpur – Kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan banyak bergantung kepada generasi muda negara pada masa ini. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai peranan yang cukup besar dalam memupuk rasa cinta dan bangga akan bahasa kebangsaan kepada warga IPT.

Namun begitu, pelbagai dilema dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh warga IPT dalam memupuk rasa cinta akan bahasa kebangsaan yang seterusnya memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di IPT. Satu daripadanya ialah para pelajar itu sendiri tidak menguasai bahasa Melayu. Antara sebab berlakunya perkara ini termasuklah isu penggunaan bahasa pengantar di negara kini.

Sekiranya pembuat dasar negara tidak mengangkat dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi terutamanya di IPT, terdapat kesukaran untuk mewujudkan rasa cinta dan bangga akan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda masa kini.

Dalam media sosial, seringkali berlaku percampuran kod antara bahasa Melayu dengan bahasa asing serta bahasa slanga dan singkatan turut digunakan secara sewenang-wenangnya. Menurut Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Norazlina Haji Mohd Kiram, situasi ini berlaku kerana tiadanya hukuman ataupun sekatan bagi perbuatan tersebut.

Sudah sampainya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi kuasa melalui akta untuk mengenakan hukuman yang berkaitan dengan kesalahan bahasa yang dilakukan oleh masyarakat. Tanpa hukuman, masyarakat melihat penggunaan bahasa tersebut tidak salah sehinggakan bahasa slanga dan bahasa singkatan tersebut menjadi budaya dalam masyarakat negara kita terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, dalam konteks pendidikan pula, kerajaan dan pihak pentadbir IPT perlu yakin dan percaya akan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Inggeris dalam sesi temu duga yang dijalankan oleh pihak IPT juga telah melanggar konteks bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Selain itu, Malaysia juga perlu menitikberatkan penyediaan Kursus Bahasa Melayu kepada pelajar asing yang menyambung pelajaran mereka di IPT di Malaysia agar mereka mampu menguasai bahasa Melayu.

Tambah beliau, setiap IPT di negara ini selalunya akan turut meraikan program Dekad Bahasa Kebangsaan yang merupakan program anjuran DBP yang bertujuan untuk memperkasakan bahasa Melayu di negara ini. Namun begitu, pengisian program ini perlu dilakukan secara menyeluruh di seluruh IPT dan bukan sekadar melibatkan fakulti yang berkaitan dengan bahasa semata-semata. Penglibatan yang lebih menyeluruh dalam DBK mampu menjadikan program ini lebih berkembang pada masa hadapan.

Selain tu, kebanyakan IPT di negara ini juga dilihat meletakkan petunjuk prestasi utama kepada para pensyarah yang menetapkan agar mereka menerbitkan artikel dalam jurnal yang bertaraf Scopus, yang menuntut mereka menulis dalam bahasa Inggeris. Hal ini dilihat bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang juga dilihat menyekat peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu daripada berkembang.

Ujar beliau, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu juga mungkin perlu diubah formatnya sedikit seperti memberikan tajuk yang mudah secara spontan kepada para peserta untuk melihat sejauh mana mereka benar-benar menghayati dan mempunyai ilmu berkaitan dengan bahasa Melayu berbanding dengan sekadar menghafal teks semata-mata.

Oleh itu, setiap warganegara Malaysia tanpa mengira kaum dan etnik perlu menguasai bahasa kebangsaan dan rasa kagum kepada individu bukan Melayu yang boleh berbahasa Melayu dilihat kurang wajar. Hal ini demikian kerana sebagai seorang warganegara, sudah tentulah perlu menguasai bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan Malaysia. Para pentadbir dan peneraju IPT pula diharapkan mampu memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di IPT dan tidak membiarkan bahasa ini merempat di negaranya sendiri.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!