12 April 2022, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Pertemuan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, selaku Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, bersama-sama YBhg. Dato’ Goh Hin San dan YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, iaitu Yang di-Pertua Dewan Negara serta wakil daripada GAPENA dan juga pakar-pakar bahasa yang lain dengan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah membuka lembaran baharu dalam sejarah bahasa Melayu. Dalam pertemuan tersebut, cadangan supaya bahasa Melayu disatukan sebagai satu bahasa serumpun disambut baik oleh YAB Perdana Menteri dan beliau telah mencadangkan agar bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN.

YBhg. Dato’ Goh Hin San, iaitu Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, yang juga merangkap Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) sangat berbangga kerana YAB Perdana Menteri amat peka dan prihatin terhadap perkembangan bahasa Melayu di dalam dan di luar negara serta di peringkat antarabangsa. Tambah beliau, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa lingua franca sejak berabad-abad yang lalu di rantau Nusantara yang disebut sebagai Austronesia.

Menurut beliau, walaupun terpisah oleh sempadan politik dan selepas kemerdekaan Indonesia misalnya, negara tersebut telah menukarkan bahasa Melayu kepada bahasa Indonesia manakala Malaysia telah menukarkan bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia selepas 13 Mei 1969. Namun begitu, akarnya tetap berasal daripada rumpun yang sama, iaitu bahasa Melayu. Perbezaan tersebut kecil, iaitu hanya dari segi dialek dan pengaruh tempatan sahaja. Tujuh peratus istilah Indonesia pula sama dengan bahasa Melayu berdasarkan kajian beliau ketika belajar di Universitas Indonesia dahulu.

Tambah beliau, masyarakat di rantau ASEAN perlu kembali kepada jati diri asal, iaitu mencintai akan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan.

Ketidaksefahaman wilayah sempadan juga perlu diketepikan oleh masyarakat Nusantara kerana pemecahan sempadan telah memberikan gambaran bahawa bahasa Melayu agak tidak bersatu padu pada pandangan mata dunia. Bahasa Melayu perlu diangkat sebagai bahasa antarabangsa. Sekiranya matlamat ini tercapai, maka bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang ketujuh terbanyak dituturkan di dunia.

YBhg. Dato’ Goh Hin San ketika diwawancara secara dalam talian berkenaan isu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN.

Sehubungan dengan itu, setiap warga Malaysia tidak kira apa-apa bangsa sekalipun perlu menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sebagai bahasa perpaduan negara. Ada segelintir masyarakat yang menganggap bahawa bahasa Melayu hanya terhad penggunaannya dalam satu lingkungan sahaja dan bahasa Melayu bukan bahasa ilmu dan juga bukan bahasa ekonomi. Mereka sebenarnya lupa bahawa setiap bahasa ada perkembangannya. Pada masa akan datang, tidak mustahil sekiranya bahasa Melayu akan menjadi bahasa antarabangsa kerana bahasa Melayu berpotensi untuk menjadi bahasa yang gah di dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.