Oleh Kho Thong Eng
22 April 2022, 07:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Klausa bebas ialah klausa utama yang mengandungi komponen subjek dan predikat, dan dapat menjadi ayat jika intonasinya sempurna. Klausa komplemen pula merupakan klausa subordinat yang terpancang pada klausa utama untuk menghasilkan ayat majmuk pancangan. Dalam hal ini, kata hubung komplemen yang berkenaan ialah kata bahawa dan untuk. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia mengakui perkara itu.

1b.  Dia mengakui bahawa dirinya malas.

Ayat 1a merupakan ayat tunggal dengan subjek dia dan predikat yang terdiri daripada kata kerja transitif mengakui dan frasa nama objek perkara itu. Ayat 1b pula merupakan ayat majmuk pancangan komplemen dengan klausa utama dia mengakui perkara itu, dan klausa komplemen yang terpancang, iaitu bahawa dirinya malas. Dalam hal ini, klausa komplemen bahawa dirinya malas menduduki gatra frasa nama objek perkara itu. Perbezaannya ialah rangkaian kata perkara itu hanya merupakan frasa, manakala klausa komplemen bahawa dirinya malas berpangkalkan kata hubung komplemen bahawa diikuti subjek dirinya dan predikat malas.

2b.  Perkara itu memang susah.

2a.  Untuk dia lulus kali ini memang susah.

Ayat 2a merupakan ayat tunggal dengan subjek perkara itu dan frasa adjektif predikat memang susah. Ayat 2b pula merupakan ayat majmuk pancangan komplemen dengan klausa utama perkara itu memang susah, dan klausa komplemen yang terpancang, iaitu untuk dia lulus kali ini. Dalam hal ini, klausa komplemen untuk dia lulus kali ini menduduki gatra frasa nama subjek perkara itu. Perbezaannya ialah rangkaian kata perkara itu hanya merupakan frasa, manakala klausa komplemen untuk dia lulus kali ini berpangkalkan kata hubung komplemen untuk diikuti subjek dia dan predikat lulus kali ini.

Klausa bebas boleh kita susun secara berderetan dengan menggunakan kata hubung atau koma. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Dia dan ibunya ke pasar.

3b.  Ali, Ahmad dan Abu ke sekolah.

3c.  Dia akan membeli betik atau pisang.

3d.  Dia mahu membeli rumah tetapi wangnya tidak cukup.

Dalam ayat 3a, klausa bebas dia ke pasar dan klausa bebas ibunya ke pasar dirangkaikan dengan kata hubung gabungan dan. Dalam ayat 3b, klausa bebas Ali ke sekolah, klausa bebas Ahmad ke sekolah dan klausa bebas Abu ke sekolah dirangkaikan dengan tanda koma dan kata hubung gabungan dan. Dalam ayat 3c, klausa bebas dia akan membeli betik dan klausa bebas dia akan membeli pisang dirangkaikan dengan kata hubung gabungan atau. Dalam ayat 3d, klausa bebas dia mahu membeli rumah dan klausa bebas wangnya tidak cukup dirangkaikan dengan kata hubung gabungan tetapi. Dalam hal ini, kata hubung yang terletak di antara dua klausa bebas merupakan entiti yang tersendiri, dan tidak memihak kepada mana-mana klausa yang dirangkaikannya.

Oleh sebab pertembungan masyarakat bahasa Melayu dengan masyarakat bahasa asing, pelbagai konsep baharu mencurah-curah masuk ke persekitaran hidup kita. Selain itu, keperluan untuk mengungkapkan ilmu yang pelbagai turut menjadikan struktur bahasa Melayu semakin kompleks, berbanding dengan zaman dahulu. Oleh itu, timbullah keperluan untuk kita menerima kemungkinan struktur ayat yang baharu. Hal ini tidak asing bagi bahasa Melayu. Kalau kita membandingkan bahasa Melayu moden dengan bahasa Melayu klasik, sudah tentu kita akan dapat mengesan pelbagai perubahan yang telah berlaku.

Satu kejadian baharu yang telah berlaku ialah klausa bebas yang terpancang dalam klausa bebas yang lain. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Dia membiarkan hal itu.

4b.  Dia membiarkan anaknya berbuat jahat.

Ayat 4a merupakan ayat tunggal dengan subjek dia dan predikat yang terdiri daripada kata kerja transitif membiarkan dan frasa nama objek hal itu. Ayat 4b pula merupakan ayat majmuk pancangan klausa bebas (semu), iaitu klausa bebas pertama ialah dia membiarkan hal itu, dan klausa bebas kedua anaknya berbuat jahat. Perbezaannya ialah rangkaian kata hal itu hanya merupakan frasa, manakala klausa bebas anaknya berbuat jahat terdiri daripada subjek anaknya dan predikat berbuat jahat. Selain itu, klausa bebas yang terpancang itu tidak boleh berpangkalkan sebarang kata hubung pancangan komplemen.

5a.  Jangan benarkan hal itu.

5b.  Jangan benarkan dia balik.

6a.  Tolong izinkan hal itu.

6b.  Tolong izinkan Ahmad bercuti.

Ayat 5a merupakan ayat larangan tunggal dengan subjek (awak) dan predikat yang terdiri daripada kata kerja transitif benarkan dan frasa nama objek hal itu. Kata jangan merupakan kata larangan. Ayat 4b pula merupakan ayat larangan majmuk pancangan klausa bebas (semu), iaitu klausa bebas pertama ialah jangan awak benarkan hal itu, dan klausa bebas kedua dia balik. Ayat 6a merupakan ayat permintaan tunggal dengan subjek (awak) dan predikat yang terdiri daripada kata kerja transitif izinkan dan frasa nama objek hal itu. Kata tolong merupakan kata permintaan. Ayat 6b pula merupakan ayat majmuk pancangan klausa bebas (semu), iaitu klausa bebas pertama ialah Tolong (awak) izinkan hal itu, dan klausa bebas kedua Ahmad bercuti.

Bagaimanakah ayat majmuk pancangan klausa bebas dapat dipasifkan? Sila lihat contoh yang berikut.

7a.  Anaknya dibiarkannya berbuat jahat.

7b.  Anaknya yang berbuat jahat dibiarkannya.

Dalam ayat 7a, terdapat dua klausa bebas, iaitu anaknya dibiarkannya dan anaknya berbuat jahat. Ayat 7b pula merupakan ayat majmuk pancangan relatif, iaitu frasa nama anaknya dengan klausa relatif yang berbuat jahat menjadi subjek dan kata kerja pasif dibiarkannya menjadi predikat. Walau bagaimanapun, maksud ayat 7a lebih tepat berbanding dengan ayat 7b.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.