9 Mei 2022, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Peribahasa Melayu ada menyebut, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” dan  apabila menginginkan pencapaian terbaik daripada anak-anak, maka perlulah mengasuhnya sedari kecil lagi. Begitu juga dengan penguasaan kemahiran membaca, mengeja dan mengira atau lebih dikenali sebagai 3M, perlu diperkenalkan sebagai pendidikan awal dan utama kepada anak-anak. Sebenarnya penulis berasa agak khuatir dengan perkembangan mutakhir tentang penguasaan 3M kanak-kanak sekolah rendah dalam bahasa Melayu terutamanya ketika era pandemik.

Selama dua tahun Keluarga Malaysia telah menghadapi cabaran COVID-19 dari pelbagai aspek seperti kesihatan, ekonomi, dan pendidikan, yang kini sudah masuk ke fasa peralihan endemik sejak 1 April 2022 yang lalu. Pada masa pandemik, medium penyampaian pendidikan turut beralih mengikut kebiasaan baharu, iaitu daripada sistem pengajaran dan pembelajaran (PnP) bersemuka kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), yang dibantu oleh para ibu bapa sebagai alternatif bagi memastikan pembelajaran murid dapat berlangsung dengan lancar termasuklah murid Tahap Satu sekolah rendah agar tidak ketinggalan menguasai 3M.

Maklumat murid yang gagal menguasai 3M acap kali terpapar di dada akhbar dan menjadi perbincangan terbuka di media sosial untuk mencari punca dan penyelesaian bagi masalah ini. Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Sabah, Mohammad Arif Sakaran menyatakan bahawa menerusi data yang dikumpulkan dua tahun lepas, hampir 12 000 orang murid gagal menguasai 3M di negeri tersebut. Begitu juga di negeri Johor, terdapat kira-kira 20 peratus daripada 131 281 orang murid Tahap Satu juga menghadapi hal yang sama berikutan kekangan pandemik.

Jumlah besar ini sebenarnya sangat membimbangkan dan menimbulkan persoalan berangkai. Bagaimanakah pula dengan data dari negeri-negeri lain? Adakah turut mengalami masalah yang sama? Sekiranya ya, apakah tindakan yang diambil oleh Pejabat Pendidikan Daerah Negeri masing-masing untuk menangani masalah ini daripada terus berlaku? Hal ini kerana kegagalan menguasai 3M dalam bahasa Melayu juga akan menyukarkan para murid menguasai mata pelajaran yang lain. Hal ini menyebabkan golongan ini ketinggalan pencapaiannya daripada rakan sebaya yang lain.

Penulis mengikuti perkembangan usaha yang dilakukan dan diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara. Percubaan yang berani dan komitmen yang begitu gigih daripada peneraju sistem pendidikan Malaysia apabila tidak putus-putus menyesuaikan dan mengadunkan  PnP dengan keadaan semasa.

Usaha membawa semula saluran TV Pendidikan pada 6 April 2020 oleh Menteri Kanan (Pendidikan), YB Dr. Radzi Jidin dan memperkasakannya dengan jenama DidikTV, KPM, telah menyiarkan pelbagai mata pelajaran sekolah menerusi program pendidikan tersebut.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, saluran ini dilihat sebagai saluran yang dapat membantu murid yang mempunyai masalah akses internet di rumah dan seiring dengan pengaplikasian PdPR secara optimum terutamanya murid yang berada di luar bandar. Justeru itu, penglibatan ibu bapa atau penjaga sangat diperlukan demi memastikan anak-anak mengikuti PnP secara berjadual dan mengelak daripada berlakunya keciciran pembelajaran dan penguasaan 3M.

Selain itu juga, kementerian turut memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) sebagai sokongan PnP secara komprehensif dan holistik yang berasaskan sekolah untuk murid Tahun Dua dan Tahun Tiga bagi meningkatkan penguasaan dalam kemahiran 3M. Program ini dilaksanakan secara rintis mulai Mac 2020 yang melibatkan sekolah-sekolah rendah terpilih bagi melihat impak keberhasilannya dari semasa ke semasa sebelum diperluas ke sekolah di seluruh negara.

Masalah menguasai 3M ini bukan sahaja berlaku pada era pandemik tetapi sudah menjadi polemik sebelum ini lagi. Kita belum lagi membicarakan tentang masalah jurang pendidikan antara golongan B40 atau murid luar bandar dengan golongan di bandar kerana hal itu akan membawa ke suatu persoalan yang lain dan memerlukan penelitian mendalam daripada pihak berwajib.

Sekiranya aspek 3M dalam bahasa Melayu tidak ditangani dengan berkesan dan terus menunjukkan trend peningkatan, bagaimanakah kita ingin membina legasi yang dapat meneruskan perjuangan bahasa Melayu di kemudian hari? Kegagalan ini juga akan melahirkan bangsa Malaysia yang mundur dan tidak berkualiti dalam pendidikan.

KPM telah membuat pengumuman mulai 17 April 2022 dan 18 April 2022 bahawa sesi penggiliran murid sekolah rendah tidak dipraktikkan lagi dan semua murid akan hadir seperti lazimnya. Penulis percaya, pihak sekolah sudah bersiap sedia menghadapi sebahagian pelajar yang mempunyai masalah 3M dalam bahasa Melayu dengan mengaplikasikan modul sedia ada daripada Program Pemulihan Khas bagi murid sekolah rendah.

Namun begitu, semakan modul juga perlu dilakukan agar pihak sekolah dapat mengukur keupayaan dan kebolehcapaian murid. Perekayasaan modul yang berasaskan penyelesaian masalah perlu diberikan secara autonomi kepada pihak sekolah kerana golongan pendidik ini lebih mengetahui dalam menentukan kaedah yang paling dinamik untuk murid sasaran.

Selain memastikan bilangan murid sasaran tidak terlalu ramai dalam satu-satu kelas intervensi, satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh para guru ialah mengelakkan pengabaian murid-murid yang tidak menguasai kemahiran ini. Perasaan membeza-bezakan murid perlu dipadamkan kerana situasi ini akan memberikan tekanan kepada golongan ini dari segi kognitif, sosial, emosi dan juga fizikal.

Para guru yang semula jadi dikurniakan oleh-Nya sifat penyayang akan menjadi pencetus kepada murid untuk suka pergi ke sekolah. Hal ini bersesuaian dengan tema sambutan guru pada tahun ini, iaitu “Guru Tunjang, Sekolah Sejahtera”.

Penulis kongsikan di sini pengalaman bersekolah pada tahun 1980-an, iaitu guru sekolah sentiasa memegang suatu benda yang ada kalanya bersaiz panjang dan pendek. Kadang kala diletakkan di celah ketiak ataupun dipegang sepanjang hari. Benda yang ditakuti oleh banyak murid, iaitu rotan dan apatah lagi dengan riak wajah para guru yang garang pada waktu itu menyebabkan murid sangat menghormati guru dan setiap pagi para murid didisiplinkan dengan aktiviti 3M.

Para murid juga memahami konsep kerana sayang akan ditangan-tangankan tetapi ada batasnya untuk mendapat didikan secara langsung daripada guru. Apabila mengadu kepada ibu bapa akan perbuatan rotan atau dicubit oleh guru tersebut, anak-anak akan ditangan-tangankan lagi oleh ibu bapa kerana tidak belajar dengan baik di sekolah. Kesannya, murid akan menjadi lebih gigih untuk menguasai 3M dan  tidak takut untuk pergi ke sekolah. Namun begitu, adakah konsep kerana sayang ditangan-tangankan itu relevan untuk menguasai 3M pada zaman globalisasi ini?

Walaupun pelbagai prakarsa dilakukan oleh pihak KPM dan juga sekolah tetapi peranan ibu bapa juga sangat penting untuk membantu penguasaan 3M dalam bahasa Melayu berjalan lancar. Hal ini adalah untuk mengelakkan kebergantungan kepada guru semata-mata untuk mengatasi masalah ini.

Sebagai permulaannya, ibu bapa boleh menyediakan ruangan 3M di rumah bagi memotivasikan anak, membawa anak-anak ke kedai buku dan menjadikan amalan membaca bersama di rumah. Pemantauan ibu bapa dari rumah akan dapat membantu proses pembelajaran anak-anak di sekolah. Kita sedia maklum bahawa banyak ibu bapa yang bekerja namun kesibukan tersebut bukan menjadi alasan untuk ibu bapa tidak sanggup berkorban demi masa depan anak-anak yang menjadi tunjang dan aspirasi negara.

Jika hal ini menjadi bebanan kepada ibu bapa, adakah mereka bersetuju untuk mengembalikan konsep kerana sayang ditangan-tangankan oleh para guru untuk mendidik dengan tegas tetapi kaya dengan kasih sayang tanpa menyalahkan guru atas tindakan tersebut?

Usah melihat konsep ini sebagai suatu penderaan tetapi untuk menghidupkan semula semangat dan disiplin para murid untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Namun demikian, walau apa-apa pun caranya, semua pihak perlu menggembleng tenaga tanpa putus asa bagi memastikan para murid sekolah rendah dapat menguasai kemahiran 3M dengan jayanya.

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!