12 Mei 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berhasrat untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN. Hal ini bertepatan dengan pengertian bahasa Melayu Mahawangsa ataupun bahasa Melayu bahasa besar yang dituturkan oleh lebih kurang 300 juta penutur di Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand, Filipina dan lain-lain negara.

Para panel jemputan ketika bersiaran secara langsung.

YBrs. Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff, iaitu Pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang juga selaku penganalisis politik tersohor menyatakan bahawa dari segi implikasi politik terhadap hasrat YAB Perdana Menteri untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN, ialah wujudnya semangat kerjasama dan perpaduan masyarakat, baik di dalam negeri mahupun dari luar negara dari segi kebahasaan.

Kita tidak perlu ragu-ragu untuk menggunakan bahasa Melayu di persada dunia walaupun ada kritikan oleh sesetengah pihak yang meragui keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN dalam usaha memartabatkan dan mengangkat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga ada usaha ke arah itu dengan mengadakan simposium bahasa Melayu, jalinan kerjasama kebahasaan daripada pelbagai kaum baik daripada tokoh dari dalam negara dan negara ASEAN seperti negara Indonesia, Kemboja, Filipina, serta luar negara seperti Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan lain-lain. Hal ini membuktikan bahawa di luar negara juga terdapat banyak pusat pengajian yang mempunyai fakulti dan jabatan khusus mengenai bahasa Melayu.

Selain itu katanya lagi, bahasa Melayu mampu menjadi penyatu pelbagai kelompok yang tidak sealiran dari segi ideologi politik. Pengumuman oleh YAB Perdana Menteri sewaktu mengemukakan cadangan untuk memartabatkan bahasa Melayu tersebut sebenarnya mampu menarik sokongan rakyat di negara ini tanpa mengira parti politik. Masyarakat dilihat begitu teruja dan menyokong usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu oleh YAB Perdana Menteri ini. Impak positif yang menggabungkan kekuatan banyak pihak berlatarbelakangkan pelbagai bangsa dan fahaman politik ialah lahirnya masyarakat yang bersatu padu dalam usaha ke arah mengantarabangsakan bahasa Melayu.

Sementara itu, menurut YBrs. Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said, iaitu Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, apabila bahasa Melayu diangkat ke peringkat antarabangsa, dari konteks Institut Peradaban Melayu, yang juga berfungsi sebagai institusi penyelidikan dilihat dapat membuka satu ruang yang sangat besar kepada para sarjana yang dapat memberikan ruang kepada bahasa Melayu untuk digunakan dengan begitu meluas dalam bidang ilmu. Hal ini juga memberikan kesan kepada peradaban bangsa.

Apabila bahasa Melayu digunakan di peringkat antarabangsa, bermakna bahawa jaringan kerjasama dalam bidang pendidikan dapat dibuka dengan lebih luas lagi. Semoga lebih banyak penulisan jurnal dan makalah yang diiktiraf daripada korpus yang boleh dirujuk oleh masyarakat antarabangsa dapat dihasilkan. Selain itu, ruang ilmu pendidikan dalam bahasa Melayu juga dapat memberikan peluang kepada pengkomersialan produk penyelidikan yang dihasilkan oleh sarjana Melayu.

 

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang selaku moderator program.

Pandangan ahli panel turut dipersetujui oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, selaku moderator program. Katanya lagi, masyarakat harus mendukung semangat bahasa jiwa bangsa dan tidak seharusnya berasa malu untuk berbahasa Melayu.

Kita perlu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi pada masa yang sama, kita tidak menolak bahasa asing tetapi diletakkan sebagai nilai tambah. Namun begitu, bahasa Melayu tetap diutamakan yang bertindak sebagai bahasa pencetus jati diri, pencetus tamadun dan pencetus budaya ilmu dan juga untuk mengangkat kearifan setempat yang dilaung-laungkan bagi diperkenalkan di seluruh dunia.

Demikianlah antara penerangan menarik daripada panel jemputan dalam Rancangan Sembang Tamu: Bahasa Melayu di Persada Dunia Siri 3, bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa, menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang bersiaran pada pukul 9.00 malam tadi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!