Oleh Kho Thong Eng
20 Mei 2022, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata nama ialah kata yang dapat menjadi inti frasa nama yang bersifat endosentrik. Biasanya kata nama merupakan nama bagi sesuatu objek, orang, tempat, konsep, peristiwa atau perkara. Oleh itu, kata seperti semut, tsunami, kerusi, oksigen, psikologi, cengal, merbuk, dan sebagainya merupakan kata nama.

Dari segi kedudukan dalam ayat, taburan kata nama cukup luas, iaitu dapat menjadi subjek, objek, pelengkap, penerang, predikat, unsur sendi nama, penjodoh bilangan, dan sebagainya, bergantung pada konteks penggunaannya dalam ayat.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Aminah guru.
  2. Dia melipat baju.
  3. Dia menjadi guru.
  4. Buku teks itu baharu.
  5. Datuknya di kampung.
  6. Dia membeli sesikat pisang.

Dalam ayat 1, kata nama Aminah menjadi subjek ayat, manakala kata nama guru menjadi predikat ayat. Dalam ayat 2, kata nama baju ialah objek kepada kata kerja transitif melipat. Dalam ayat 3, kata nama guru ialah pelengkap kepada kata kerja tak transitif menjadi. Dalam ayat 4, kata nama teks ialah penerang kepada inti frasa nama buku. Dalam ayat 5, kata kampung ialah satu daripada unsur dalam frasa sendi nama di kampung. Dalam ayat 6, kata nama sikat ialah penjodoh bilangan.

Kewujudan kata nama meliputi kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Sebagai contoh, kata nama meja berbentuk tunggal, kata nama pekebun, pertapa, perjalanan, pembasmian, dan kerajaan berbentuk kata terbitan, dan kata nama kuih-muih, kanak-kanak, dan gunung-ganang berbentuk kata ganda.

Selain kata nama yang biasa kita gunakan dalam pertuturan dan penulisan, terdapat sejumlah kata lain yang dapat menjadi atau berfungsi seperti kata nama melalui mekanisme tertentu.

Kata pembenda –nya dapat menjadikan kata adjektif atau kata kerja sebagai kata nama. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Berlakunya kejadian itu amat dikesali.
  2. Cantiknya gadis itu diketahui ramai.
  3. Dia berjalan dengan lambatnya.

Dalam ayat 7, penambahan kata pembenda –nya menjadikan kata kerja berlaku sebagai kata nama. Kata kerja dengan pembenda itu menjadi inti frasa nama subjek berlakunya kejadian itu. Dalam ayat 8, penambahan pembenda –nya menjadikan kata adjektif cantik sebagai kata nama. Kata adjektif dengan pembenda itu menjadi inti frasa nama subjek cantiknya gadis itu. Dalam ayat 9 pula, penambahan kata pembenda –nya menjadikan kata adjektif lambat sebagai kata nama untuk didahului kata sendi nama dengan, dan membentuk frasa sendi nama dengan lambatnya.

Kata sandang si dapat juga dapat menjadikan kata adjektif atau kata kerja sebagai kata nama. Kata yang terhasil merupakan gelaran atau rujukan kepada orang yang ada sifat yang terkandung dalam adjektif yang berkenaan atau mengalami kejadian yang berkaitan. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Si bakhil telah berubah sifatnya.
  2. Si mati telah dikebumikan.

Dalam ayat 10, kata adjektif bakhil menjadi kata nama gelaran selepas didahului kata sandang si. Dalam ayat 11, kata kerja mati menjadi kata nama gelaran selepas didahului oleh kata sandang si. Hal ini terbukti kerana si bakhil dan si mati dapat menjadi subjek ayat.

Kata adjektif dan kata kerja juga dapat menjadi kata nama melalui proses pengimbuhan. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Pelari itu memecahkan rekod kejohanan.
  2. Kepandaiannya menjadi kebanggaan ibu bapanya.

Dalam ayat 12, kata kerja lari menjadi kata nama terbitan pelari selepas ditambah awalan pe-. Dalam ayat 13, kata adjektif pandai dan bangga menjadi kata nama terbitan kepandaian dan kebanggaan selepas ditambah apitan ke-…-an.

Terdapat sesetengah kata yang menjadi kata nama melalui proses penggandaan. Sila lihat contoh yang berikut:

14a.  Bilakah dia datang?

14b.  Sampai bila-bila pun dia tidak akan sedar.

Dalam ayat 14b, kata tanya bila telah menjadi kata ganti nama tak tentu bila-bila melalui proses penggandaan. Maksudnya ialah “sebarang masa”.

Ada kalanya kata kerja menjadi kata ganda semu yang berkaitan dengan maksud kata kerja yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:

15a.  Cahaya lampu berkelip-kelip.

15b.  Kelip-kelip berterbangan pada malam itu.

15c.  Kelip-kelip pada bajunya menarik perhatian.

Kata kerja berkelip-kelip bererti “berkedip-kedip”, “seketika terang seketika padam” atau “bergemerlapan”. Hal ini berkaitan dengan serangga kelip-kelip yang cahayanya berkedip-kedip atau hiasan kelip-kelip yang berkilauan apabila terkena cahaya.

Ada kata kerja yang dapat berfungsi sebagai kata nama dalam kedudukan tertentu dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Berenang ialah hobinya.
  2. Dia sudah puas merasai jatuh bangun hidup.

Dalam ayat 16, kata kerja berenang berfungsi seperti frasa nama subjek. Hal ini dikatakan demikian kerana kata kerja berenang sebenarnya didahului oleh kata nama kegiatan atau aktiviti yang telah digugurkan. Dalam ayat 17, frasa kerja jatuh bangun dapat menjadi objek kepada kata kerja transitif merasai kerana kata kejadian atau peristiwa yang mendahului frasa kerja tersebut telah digugurkan.

Kata adjektif atau kata kerja dapat juga berfungsi sebagai frasa nama jika didahului oleh kata hubung relatif yang. Sila lihat contoh yang berikut:

18a.  Makanan yang sedap menjadi pilihannya.

18b.  Yang sedap menjadi pilihannya.

19a.   Murid yang bergaduh telah dikenakan tindakan disiplin.

19b.   Yang bergaduh telah dikenakan tindakan disiplin.

Dalam ayat 18b, kata adjektif sedap berfungsi sebagai frasa nama dengan adanya kata hubung relatif yang. Dalam hal ini, inti frasa nama makanan telah digugurkan. Dalam ayat 19b pula, kata kerja bergaduh berfungsi sebagai frasa nama dengan adanya kata hubung relatif yang. Dalam hal ini, inti frasa nama murid telah digugurkan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.