22 Mei 2022, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Para peserta sidang ketika bersiaran secara langsung.

Kuala Lumpur – Kukuh atau tidaknya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terletak pada kekuatan politik para pemimpin Melayu. Menurut YBhg. Tun Abdul Hamid Mohamad, iaitu mantan Ketua Hakim Negara, parti-parti politik Melayu perlulah bergabung supaya dapat membentuk sebuah kerajaan pro-Bahasa Melayu yang kukuh.

YBhg. Tun Abdul Hamid Mohamad ketika bersiaran melalui rakaman video secara maya.

Katanya lagi, pengukuhan kedudukan bahasa Melayu melalui undang-undang hanya boleh dilakukan dalam negara dan dalam lingkungan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Apa-apa yang dibuat terletak pada kekuatan politik kerajaan pro-Bahasa Melayu dan kemahuan politik para pemimpinnya. Penggunaan bahasa Melayu di mahkamah di Sabah dan Sarawak juga perlu dilebihkan. Selain itu, tambahnya lagi, pengukuhan penggunaan bahasa Melayu janganlah sampai melemahkan penguasaan bahasa Inggeris graduan Melayu. Manakala pada peringkat antarabangsa pula, para menteri termasuklah Perdana Menteri, para hakim dan pegawai tinggi serta ahli akademik hendaklah boleh berucap dalam bahasa Inggeris dengan baik sehingga mereka dikagumi.

Terdapat terlalu banyak halangan untuk kita mengantarabangsakan bahasa Melayu. Maka itu, eloklah kita menumpukan pada pengukuhannya dalam negara tetapi jika ada idea-idea yang baik bolehlah dilaksanakan.

YBhg. Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz.

Menurut YBhg. Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz dari universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dengan judul kertas kerjanya “Bahasa Melayu dan Pengukuhan melalui Undang-undang”, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara diiktiraf sebagai bahasa utama dalam bidang pendidikan seperti yang terdapat dalam Akta Pendidikan. Bagi tujuan yang berkaitan bahasa Melayu dan pengukuhannya melalui undang-undang dapat dirujuk melalui beberapa undang-undang yang berkaitan dengan bahasa Melayu seperti Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Katanya lagi, banyak undang-undang perlu ditambah baik untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu diperteguhkan di Malaysia.

Kedudukan bahasa Melayu belum mencapai tahap yang baik kerana ada akta yang masih membenarkan penggunaan bahasa lain selain daripada bahasa Melayu dalam urusan negara.

YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Tambah YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dari Universiti Malaysia Pahang pula dengan judul kertas kerjanya “Bahasa Melayu dan Pengukuhan melalui Undang-undang”, bahasa bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi bahkan berbentuk pendidikan dan undang-undang yang mengawal tadbir urus dengan baik dalam masyarakat tempatan. Maka itu, secara tidak langsung masyarakat akan menghormati undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh institusi pemerintah melalui bahasa yang mereka fahami.

Sikap optimis masyarakat dapat memastikan bahasa Melayu pergi lebih jauh ke hadapan. Penggubalan undang-undang perlu dilaksanakan untuk mencapai maksud yang dicadangkan pada peringkat pindaan akta-akta sedia ada atau secara alternatifnya menggubal suatu akta baharu buat Dewan Bahasa dan Pustaka untuk meningkatkan tarafnya sebagai pihak berkuasa bahasa.

YBrs. Prof. Dr. Haji Awang Asbol Haji Mail ketika bersiaran melalui rakaman video secara maya.

Sementara itu, menurut YBrs. Prof. Dr. Haji Awang Asbol Haji Mail dari Universiti Brunei Darussalam, Brunei, dengan kertas kerjanya yang berjudul “Dasar-dasar Pendidikan dan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam: Isu Pengukuhan Bahasa Melayu”, pada lazimnya dasar pendidikan perlu seiring dengan arus perubahan sosioekonomi yang berlaku dalam negara dan juga perubahan yang berlaku di luar negara.

Tambahnya lagi,  Brunei memiliki dasar pendidikan secara rasmi pada tahun 1954. Beliau mencadangkan agar dalam usaha memartabatkan bahasa  Melayu sebagai bahasa rasmi di Brunei ialah mata pelajaran Sejarah yang berkaitan dengan sejarah Brunei dan sejarah bangsa Melayu mestilah diajar dalam bahasa Melayu agar semangat cinta akan agama, raja dan bangsa dapat ditanam dan disemai dengan baik kepada belia-belia Brunei. Selain itu, penubuhan institusi terjemahan seharusnya dikukuhkan lagi. Seminar-seminar antarabangsa juga bukan hanya menggunakan bahasa asing tetapi juga bahasa Melayu.

Demikianlah antara penerangan menarik daripada peserta Sidang 3: Bahasa Melayu dan Pengukuhan melalui Undang-undang, dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang telah berlangsung pada pukul 2.00 petang tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Moderator Sidang 3 ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!