Oleh Yusaida Yusof
22 Mei 2022, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Satu berita baik buat pejuang dan pencinta bahasa Melayu apabila YAB Dato’ Sri Ismail Yaakob mengumumkan bahawa Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu akan diadakan sebagai acara tahunan. Beliau berkata demikian sebelum mengakhiri ucapannya dalam Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur, pada pagi ini.

Simposium ini merupakan penzahiran maklum balas ke atas hasrat Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, yang mahu melihat bahasa Melayu dimartabatkan di dalam negara dan diperluas penggunaannya pada peringkat ASEAN dan antarabangsa. Oleh itu, Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); dan Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang kini berlangsung selama tiga hari dan dijadualkan berakhir pada 24 Mei 2022.

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada kali ini disertai oleh 16 buah negara, dengan  lebih daripada 60 orang pembentang kertas kerja menerusi 15 sidang yang menyentuh pemartabatan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang, seperti pendidikan, pendidikan tinggi, undang-undang, ekonomi, diplomasi, pengurusan, sains, teknologi, multimedia dan komunikasi, dan sebagainya.

YAB Perdana Menteri bersama-sama dengan pihak penganjur dan tetamu undangan dalam Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

“Usaha ini merupakan antara pendekatan untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia dan digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang ilmu,” ujar YAB Perdana Menteri yang turut mengumumkan bahawa Pejabat Perdana Menteri akan terus memberikan komitmen yang berterusan terhadap penganjuran simposium ini sebagai acara tahunan pada masa akan datang.

“Saya mengucapkan syabas kepada semua pihak yang menjayakan simposium ini. Semoga simposium ini dapat dijadikan pentas dalam memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu, iaitu bahasa yang menjadi kebanggaan dan identiti Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dan bersatu padu kerana bahasa Melayu bangsa berbudi, bahasanya indah bicaranya murni. Begitu juga bangsa Melayu yang berpekerti, bahasanya akan terus dipandang tinggi,” ucap YAB Perdana Menteri yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin yang hadir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.