Oleh Suria Janib
23 Mei 2022, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tokoh akademik dan pejuang bahasa terkenal, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (Malaysia) menggariskan beberapa elemen penting bagi menguatkan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional yang dapat diterima dan difahami oleh masyarakat serumpun Nusantara. Beliau membentangkan kertas kerja bagi Sidang 6 bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, pagi ini.

Selain itu, bahasa Melayu diaspora dijangka terus berkembang berdasarkan penjelajahan dan penyebaran bahasa yang dilakukan oleh pengembara dari Nusantara ke seluruh negara. Berdasarkan pengalaman dan kajiannya, bahasa Melayu tersebar luas di seluruh Nusantara, iaitu bahasa Melayu supranasional dan bahasa etnik sukuan.

Bahasa Melayu supranasional ialah bahasa yang dituturkan di Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Bagi memudahkan pembicaraan, bahasa etnik sukuan diterima sebagai bahasa dan dialek Melayu yang berasaskan bahasa Melayu seperti dialek Melayu Betawi, Acheh, Ambon, Jawa, Sunda, Tagalog, Sibu, Visaya, Solo, Roti dan Sika.

Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan menggariskan elemen memperkuat bahasa Melayu supranasional.

Menurut Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, bahasa Melayu supranasional dilaksanakan mengikut undang-undang supaya dapat dituturkan dan difahami oleh penutur Asia Tenggara termasuklah di rantau lain.

Bagi merancang bahasa Melayu sebagai bahasa Melayu supranasional, beliau menetapkan beberapa perkara yang perlu diberikan tumpuan. Antaranya termasuklah unsur bahasa yang dipromosikan (kosa kata, imbuhan dan ayat), ranah atau bidang penggunaan (periklanan, persuratkhabaran, penyiaran, pendidikan, perniagaan dan perhubungan diplomatik), sumber prasarana (buku, akhbar, kamus, filem, Internet dan video), ejen penyebaran (kedutaan, institusi, pendidikan, masjid dan persatuan) dan pengguna (rakyat, pendidik, wartawan, usahawan, peniaga, pegawai kedutaan, pelancong, pendakwah dan novelis).

Katanya, untuk membina bahasa supra sebagai promosi bahasa, terdapat tiga buah buku kamus yang perlu dijadikan bahan pengajaran di Nusantara, iaitu Kamus Dewan Perdana, Kamus Bahasa Melayu Nusantara dan Kamus Besar Bahasa Indonesia. Selain itu, Dictionary of Comparative-Indonesia Synonyms susunan Leo Suryadinata dan Abdullah Hassan menyenaraikan hampir 4500 kata Indonesia yang bersinonim dengan kata bahasa Melayu.

Di bawah sidang yang sama, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh (Malaysia) turut mengakui bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa supra berdasarkan catatan sejarah pada awal sebelum Masihi, pada zaman Kerajaan Melayu Lama, kerajaan Funan, Champa, malah pada zaman Dinasti Han, bahasa Melayu pernah berkembang kerana disebarkan oleh pedagang China, Arab dan Parsi.

Prof. Emeritus Dato’ Wan Hashim Wan Teh, “Bahasa Melayu diaspora melebar hingga ke Afrika Selatan dan ceruk rantau.”

Begitu juga pada zaman kemuncak Sriwijaya yang menjadi pusat pengajian Buddha turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Pada zaman ini, penggunaan bahasa Melayu-Sanskrit sudah mantap dan begitu luas penggunaannya sebagai bahasa ilmu, bahasa istana, bahasa perdagangan, penulisan dan persuratan. Walaupun rantau ini sudah 440 tahun dijajah oleh Inggeris, bahasa Melayu tidak tergugat malah semakin meningkat hingga selepas negara ini merdeka dan memasuki zaman moden, bahasa ini terus berkembang dalam bidang sains dan teknologi, serta perubatan.

Berdasarkan kajian beliau, pada zaman penjajahan Belanda, bahasa Melayu diaspora terus berkembang di Sri Lanka yang dituturkan oleh 50 ribu penutur. Bahasa Melayu diaspora turut berkembang di luar alam Melayu seperti di Cape Town, Afrika Selatan. Imam Abdullah Kadir Abdul Salam mengembangkan ajaran Islam dan bahasa Melayu di sana. Beliau menggunakan khutbah dalam bahasa Melayu pada tahun 1800-an. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu ini semakin lenyap pada masa ini dan digantikan dengan bahasa Afrika.

Bahasa Melayu diaspora turut berkembang di Jeddah, Madinah, Perth, Australia, London dan Los Angeles yang terdiri daripada kumpulan profesional Melayu yang turut membuka pelbagai kelab aktiviti sosial.

Jika di Brunei, bahasa Melayu turut berkembang sebagai bahasa rasmi negara itu. Pembentang kertas sidang dari Brunei, iaitu Prof. Ampuan Haji Brahim Ampuan Haji Tengah berkata, walaupun jumlah penuturnya sedikit, Brunei turut menyumbang sebagai pertambahan jumlah negara yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Asia Tenggara.

Prof. Ampuan Dr. Hj. Brahim Ampuan Hj. Tengah, “Brunei berganding bahu dengan negara serantau untuk mengembangkan bahasa Melayu.”

Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) ialah organisasi kebahasaan dan kesusasteraan yang bertanggungjawab mengembangkan bahasa dan sastera Melayu.

ASTERAWANI yang ditubuhkan pada tahun 1962, bertindak sebagai penyebar dan meningkatkan mutu sastera dalam kalangan penulis tanah air dari semua peringkat yang menyokong dasar kerajaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan negara, serta mengembangkan bahasa Melayu dalam kegiatan seni dan budaya Brunei. Badan ini juga mendapat kerjasama yang baik daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, serta sentiasa berhubung dengan persatuan penulis luar negara khususnya GAPENA.

Pembentang kertas sidang dari Australia, Prof. Dr. Ismet Fanany pula memberikan penjelasan penuh secara maya tentang pengajaran bahasa Melayu yang ditawarkan di rantau ini, khususnya di Australia. Walau bagaimanapun, bahasa Indonesia menduduki bahasa keempat yang diajari di sekolah, iaitu di Victoria. Bahasa Indonesia menjadi pilihan banyak sekolah rendah yang diwajibkan menawarkan satu bahasa asing.

Prof. Dr. Ismet Fanany membuat pembentangan menerusi maya.

Pada masa ini, bahasa Indonesia dianggap lebih mudah bagi pelajar. Bahasa Melayu tidak ditawarkan di sekolah tetapi dapat diambil melalui Victorian School of Languages sebagai bahasa komuniti. Istilah yang dipakai untuk bahasa keturunan menjadi bahagian daripada warisan budaya pelajar yang keluarganya berasal dari negara bersangkutan. Bahasa komuniti dipelajari di luar sekolah dan biasanya secara tidak formal atau di kelas yang diadakan oleh masyarakat penutur dalam lingkungan mereka.

“Dari dahulu, Victoria menjadi pusat pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu/Indonesia di Australia. Status bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional juga dibicarakan dari segi prestij bahasa sebagai satu daripada unsur kekuatan lunak (soft power) dunia Melayu,” katanya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!