24 Mei 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diadakan pada 22 Mei 2022 hingga 24 Mei 2022, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Sidang Meja Bulat Wakil-wakil ASEAN untuk Program Pengembangan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Negara-negara ASEAN, bertempat di Hotel Four Points by Sheraton, pada pukul 8.15 malam tadi.

Sidang Meja Bulat ini menampilkan syarahan khas tentang bahasa Melayu oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Pengasas Yayasan Budi, Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, selain menghimpunkan lebih 35 orang tokoh ilmuwan dan pemimpin IPT dari Malaysia, serta wakil dari negara ASEAN seperti Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Filipina dan Kampuchea.

Menerusi syarahan yang bertajuk “Biduk Lalu, Kiambang Bertaut” yang disampaikan, Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais berkata, “Daripada tajuk ini, hasratnya adalah untuk untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.”

Biduk lalu, kiambang bertaut bererti apabila biduk berlalu di sawah yang berair dalam, maka kiambang akan bertaut. Hal ini bermakna, Malaysia, Indonesia dan negara ASEAN walau apa-apa juga keadaan akan tetap bertaut apabila ‘biduk’ sudah berlalu. Dalam hal ini, kita harus mencari jalan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kasih sayang dan perpaduan antara kita. Maka itu, obor yang harus dihidupkan ialah obor semangat, obor perbuatan, obor penyatuan dan obor pelaksanaan dasar kita.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, yang juga merangkap Pengarah ATMA, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Menurut kenyataan Pejabat Pengarah ATMA UKM, jaringan yang terjalin melalui Sidang Meja Bulat ini akan membuka ruang kolaborasi dari aspek pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan kegiatan yang berkaitan dengan pengembangan bahasa Melayu di IPT negara-negara ASEAN.

Bagi tujuan itu, beberapa cadangan inisiatif jangka masa pendek dan panjang dibincangkan dalam Sidang Meja Bulat ini seperti pembentukan ahli panel penggubal sukatan kursus, merancang penggubalan Ujian Tara Bahasa Melayu yang standard, penubuhan pangkalan program pengembangan bahasa Melayu di IPT negara ASEAN, selain merancang program terjemahan dan adaptasi karya ilmu dalam bahasa Melayu kepada bahasa lain di negara ASEAN dan juga sebaliknya untuk maksud pertukaran ilmu dan kearifan tempatan negara masing-masing.

“Perancangan Program Pengembangan Bahasa Melayu di IPT Negara-negara ASEAN ini pastinya akan disusun dan disinergikan mengikut kesesuaian tenaga pengajar dan pelajar, iaitu kelompok yang mempunyai asas bahasa Melayu dan kelompok yang tidak mempunyai asas bahasa Melayu,” jelas Pengarah ATMA, UKM.

Yang turut hadir dalam Sidang Meja Bulat tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, YBhg. Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat) UKM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin; wakil ASEAN, agensi dan IPT; serta barisan pemerhati dari dalam dan luar negara yang antaranya termasuklah YBhg. Profesor Emeritus Dr. Dustin Cowell dari Wisconsin University; YBhg. Profesor Karl Alexandar Aadelar dari University of Melbourne; YBhg. Profesor Dr. James T. Collins yang kini Profesor Antarabangsa Tersohor, Institut Kajian Etnik UKM; YBhg. Profesor Ismeth Fanany selaku Profesor Kehormat, Deakin University, Australia; dan YBrs. Dr. Surya Suryadi dari Leiden University.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!