17 Jun 2022, 19:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur “Untuk mengarang pantun yang baik, ada tiga ciri utama yang perlu diabadikan dalam rangkap pantun,” jelas Roslan Madun sebagai pembicara dalam program Bicara Pantun, anjuran Bahagian Buku Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada hari ini.

Menurut beliau, ciri pertama ialah pembayang pantun yang perlu berunsurkan keintelektualan atau ilmu seperti geografi, perubatan dan pertanian. Persekitaran yang logik pula merupakan ciri kedua yang perlu ada dalam pembayang pantun dan tidak boleh direka-reka bagi menyamakan rima akhir, manakala ciri terakhir ialah andaian yang munasabah.

Tambah beliau, yang paling sukar untuk dilaksanakan ialah membuat andaian yang munasabah. Contohnya, “Dari Seremban ke Kuala Lumpur, menembak rusa bertalu-talu” ialah pembayang yang tidak sesuai digunakan. Hal ini demikian kerana di lebuh raya kini tidak ada lagi rusa yang boleh didapati malah orang tidak menembak rusa secara bertalu-talu.

Encik Roslan Madun berkongsi ilmu tentang penciptaan pantun sambil ditemani oleh pemudah cara, Tuan Syed Suhaimi Syed Abdul Rahim.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa terdapat perbezaan logik antara pantun pada zaman dahulu dengan pantun pada hari ini. Beliau memberikan contoh yang memetik tentang bait pantun dalam filem Hang Tuah yang berbunyi, “Dari Melaka ke negeri Pahang, singgah di Johor beli berangan”. Keadaan ini tidak lagi berlaku pada hari ini kerana masyarakat tidak lagi menggunakan kenderaan laut untuk merentas tiga negeri tersebut.

Masyarakat perlu berlaku adil terhadap pantun kerana semua puisi tradisional ditulis dengan maksud yang baik walaupun secara tersuratnya seperti sindiran. Hal ini menunjukkan ketinggian intelektual orang Melayu dalam penciptaan puisi tradisional.

Program Bicara Pantun bersama-sama Roslan Madun ini dipengerusikan oleh Penyampai Radio Internet Ceritera FM, iaitu Syed Suhaimi Syed Abdul Rahim. Yang turut hadir dalam program ini ialah Datuk Dr. Radzuan Ibrahim (Pengerusi Pemuisi), Encik Ismail Ahmed yang juga dikenali sebagai Adiwangsa Sukma (Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia), Puan Nurul Julia Alani Henry (Ketua Editor Bahagian Buku Sastera), dan karyawan DBP.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!