21 Jun 2022, 08:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah penjenamaan semula Balai Pustaka, sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru, hasil cadangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III pada bulan September, 1956. Pada tahun 1959, barulah Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 digubal dan menjadikannya sebuah badan berkanun yang diselia oleh Lembaga Pengelola setelah lebih kurang dua tahun beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Fungsi DBP adalah selaras dengan tujuannya yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995), iaitu pertama; untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi, kedua; untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan, ketiga; untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain, keempat; untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan; untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; dan kelima untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

DBP mentakrifkan bahasa antaranya sebagai sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran. Bahasa juga ditakrifkan sebagai kata-kata yang disusun menurut tatabahasa dan digunakan oleh seseorang dalam percakapan atau tulisan.

Secara umumnya, takrifan bahasa itu termasuklah tulisan dan isyarat yang memanfaatkan anggota badan mahupun apa-apa jua alat seperti tanda, lambang, asap, bendera dan bunyi di persekitaran untuk menyampaikan maksud tertentu.

Bahasa Melayu merupakan bahasa pemerintah Alam Melayu dan rakyatnya yang memiliki ketamadunan semasa yang dihormati selewat-lewatnya sejak kurun ke-7 Masihi. Mereka yang celik sejarah akan bersetuju bahawa bahasa Melayu dan tulisan Jawi merupakan medium keilmuan tinggi dunia yang tidak hanya terbatas dalam pengajian politik, ekonomi, teknologi maritim dan pengurusan logistik buat suatu tempoh yang menjangkau ratusan tahun.

Pendek kata, bahasa Melayu banyak menyimpan khazanah bangsa Melayu yang berdaulat. Ilmu yang tersimpan dalam ratusan ribu mungkin mencapai jutaan naskhah Melayu di luar negara seperti yang dilaporkan tidak boleh dinafikan menjadi rujukan para sarjana Barat untuk membina tamadun moden dunia pada hari ini.

Negara Barat bermula dengan Portugis seawal kurun ke-16 mula memunggah khazanah tersebut dari kota pelabuhan Melaka bersama-sama harta kekayaan lain Kesultanan Melayu Melaka. Sejarah membuktikan negara Barat hanya mampu bangkit apabila mereka menggali ilmu di dunia Islam melalui penguasaan bahasa Arab dan perkara yang sama berlaku melalui penguasaan bahasa Melayu.

Pada hari ini, peranan DBP semakin mencabar kerana isu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta penguasaannya dalam kalangan pemimpin dan urusan rasmi semakin berbangkit. Keperluan berbahasa Melayu bukan setakat sebagai alat komunikasi semata-mata bahkan kepentingannya dalam konteks pengikat jiwa warganegara Malaysia yang pelbagai agama, keturunan, etnik dan kepercayaan politik sebagai wadah perpaduan nasional.

Justeru, gagasan pengantarabangsaan bahasa Melayu yang dicetuskan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini perlu dilihat secara positif dan membina. Bahasa Melayu ialah watan negara ini, termasuklah Sabah dan Sarawak yang terletak dalam wilayah Alam Melayu sejak ratusan atau mungkin ribuan tahun dahulu lagi.

Tiada kumpulan etnik mahupun bangsa akan pupus sekiranya masih mengekalkan jati diri watannya. Perkongsian nilai yang berteraskan asimilasi bahasa kebangsaan perlu diperkukuh untuk terus membangun, mempertahankan dan melestarikan jati diri negara bangsa seiring dengan kemajuan dunia.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tidak tertakluk pada Perkara 8 yang menjadi tadbir urus aspek diskriminasi. Begitu istimewa letak duduk bahasa Melayu di sisi undang-undang negara. Pemakaian selain bahasa Melayu terutamanya bahasa Inggeris dalam mahkamah, dewan perundangan dan apa-apa jua bagi maksud rasmi bukanlah suatu hak, sebaliknya satu pengecualian yang tersyarat di bawah Undang-undang Persekutuan.

Syarat penggunaan selain bahasa Melayu antaranya termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Akta Pendidikan 1996, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Syarikat 2016. Penguasaan dalam bahasa Inggeris kerana kepentingan semasanya tidak wajar membelakangkan pemakaian bahasa kebangsaan.

Kuasa yang diberikan oleh perenggan (b) Perkara 152(1) kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk memelihara penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain pastinya perlu dibaca bersama-sama semangat sumpah kewarganegaraan dalam Jadual Pertama Perlembagaan. Hal ini demikian kerana seperti dinyatakan sebelum ini ialah bahasa jiwa bangsa.

Untuk menjelaskan lagi kedudukan tersebut, petikan mukadimah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 tidak boleh diabaikan kerana peruntukan tersebut merupakan asas kepada pemberian kewarganegaraan, iaitu, “…and there should be a common form of citizenship in the said Federation to be extended to all those who regard the said Federation or any part of it as their real home and the object of their loyalty:”

Komitmen Perdana Menteri dan resolusi Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada 24 Mei 2022 perlu dijadikan terma untuk memperkasakan fungsi DBP sebagai pihak berkuasa bahasa utama selepas Yang di-Pertuan Agong. Sementara itu, DBP perlu lebih proaktif untuk melaksanakan aktiviti penterjemahan dan pengistilahan agar pemakaiannya sebagai teks sahih undang-undang, amalan di mahkamah, dewan perundangan dan apa-apa jua disiplin ilmu tidak lagi boleh dipertikaikan.

Lantaran hal itu, pindaan untuk menguatkuasakan amalan bahasa kebangsaan ke tempat yang sewajarnya bukan sahaja perlu dilakukan ke atas Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, malah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Setiap kementerian dan agensi kerajaan perlu menterjemahkan komitmen Perdana Menteri dalam polisi masing-masing bersekali dengan penguatkuasaannya. Kaedah pengajaran bahasa Inggeris boleh dinilai secara berkala untuk memastikan polisi pemakaian bahasa kebangsaan berjalan seiring dengan dasar pembangunan negara. Kajian lapangan menunjukkan keupayaan manusia tidak terhad dengan hanya satu bahasa. Kebolehan untuk menguasai suatu bahasa boleh dicapai melalui minat dan kaedah pembelajaran yang betul.

Penguasaan dalam bahasa Melayu tidak boleh disifatkan akan menjejaskan pembangunan ekonomi, kemajuan teknologi dan hubungan antarabangsa kerana ternyata kebangkitan kembali negara Jerman, Jepun dan Turki, serta penguasaan China di persada dunia pada hari ini dalam pelbagai bidang tidak bergantung pada bahasa Inggeris, bahkan mereka berbangga akan bahasa watan masing-masing.

Yang perlu diusahakan bersama adalah menggali semua khazanah ilmu Melayu yang diwarisi dan mendalami ilmu semasa secara berstrategik untuk mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terkemuka dunia.

 

***********************************************************************************

Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain,

Pengasas Jurisprudens Watan/Fakulti Pengurusan Industri,

Universiti Malaysia Pahang.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!