21 Jun 2022, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Prasasti atau batu bersurat yang bertulisan dalam bahasa Melayu yang tertua (yang dikenali sebagai huruf Palava atau huruf runcing) berusia lebih kurang 350 Masihi atau pada abad ke-4 Masihi. Menurut YBhg. Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain, Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), terdapat banyak prasasti yang berusia dalam ratusan tahun dahulu yang bertulisan Melayu pada abad ke-7 Masihi semasa kerajaan Srivijaya serta kerajaan Champa. Selain itu, prasasti dalam bahasa Minang mempunyai lebih kurang 10 buah, bertulisan Jawa dalam 40 buah, bertulisan Bali dalam ratusan buah, serta bertulisan campuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Khmer lebih kurang 30 buah, iaitu semasa kerajaan Funan.

Tambahnya lagi, prasasti dalam bahasa Mon ialah prasasti terbaharu yang ditulis dalam rumpun Melayu, iaitu bahasa orang Asli Indocina yang sudah bertamadun sejak abad ke-5 Masihi. Semua batu bersurat ini amat sukar diperoleh. Batu bersurat yang terkenal di negara kita ialah Batu Bersurat Terengganu yang ditulis dalam tulisan Jawi dan batu bersurat di Port Dickson yang berusia 1400 tahun dahulu.

Menurut beliau, dianggarkan bahawa terdapat lebih kurang 20 ribu manuskrip dalam tulisan Jawi, manakala dalam huruf Palava pula tidak banyak. Di Perpustakaan Negara Malaysia pula hanya terdapat lima ribu manuskrip sahaja. Oleh itu, kerajaan memainkan peranan yang besar dalam usaha memelihara prasasti dan manuskrip agar dapat dikumpulkan dan dapat dibaca oleh masyarakat di negara ini.

Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain semasa bersiaran secara langsung.

Beliau berkata, langkah pertama ialah membuat imbasan terlebih dahulu terhadap manuskrip yang berada di luar negara seperti di Perancis dan Belanda dan dikumpulkan secara berperingkat. Oleh itu, dalam usaha untuk mengumpul semua prasasti ini untuk didigitkan dalam bentuk digital memerlukan peruntukan kewangan yang agak besar oleh kerajaan. Hal ini disebabkan oleh prasasti yang berjumlah lebih kurang 200 buah ini perlu dibukukan secara imbasan dan ditransliterasikan atau dirumikan.

Tambah beliau, tulisan itu juga perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang boleh difahami oleh semua orang. Hal ini memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi kerana kerajaan perlu melantik pakar bahasa yang mahir dalam bahasa tersebut. Selain itu, kerajaan juga boleh melatih pelajar atau generasi baharu untuk menjadi pakar bahasa dalam bidang tersebut.

Pendigitalan manuskrip lama diperlukan untuk memperoleh khazanah ilmu mulai abad ke-4 Masihi hingga 1900 Masihi. Kumpulan penyelidik sangat mengharapkan bantuan dan usaha daripada kerajaan atau para dermawan yang sudi memberikan peruntukan. Selain itu, sokongan padu juga diperlukan daripada kerajaan supaya masyarakat dalam pelbagai golongan dapat membacanya dengan lebih mudah. Usaha dan kerjasama daripada penyelidik dan masyarakat umum amat diperlukan dalam usaha mengangkat karya agung ini melalui kaedah yang mesra pembaca selain diarkibkan dengan baik.

Tujuan pengumpulan batu bersurat ini bukan sahaja untuk memudahkan penyelidikan, bahkan ada beberapa bukti yang perlu ditonjolkan kepada dunia. Sebagai contoh, prasasti yang tertua yang berusia pada abad ke-4 perlu dibanggakan oleh rakyat Malaysia apabila dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan seterusnya dapat dipamerkan di Muzium Negara. Hal ini disebabkan oleh prasasti dalam bahasa Inggeris hanya ditulis pada abad ke-9, yang bermakna bahawa prasasti dalam bahasa Melayu berusia 500 tahun lebih tua daripada bahasa Inggeris. Tarikh batu bersurat itu ditulis dan dibuktikan pada batu bersurat dalam bahasa Melayu menerusi bentuk angka dan nombor.

Sekiranya batu bersurat ini dapat dihebahkan ke seluruh dunia, secara langsung dapat melonjakkan negara kita di mata dunia. Dunia boleh mengiktiraf manuskrip negara kita sama seperti manuskrip yang diiktiraf dunia dalam bahasa Melayu. Batu bersurat ini tidak mustahil dapat dijadikan sebagai suatu karya besar tamadun manusia yang diiktiraf dunia.

Selain itu, beliau juga mengharapkan sokongan daripada kerajaan untuk mendapatkan manuskrip dari Aceh yang paling mahal nilainya kerana belum berjaya diperoleh disebabkan oleh kekangan kewangan.

Demikianlah antara perkongsian menarik daripada program Resolusi Bersama-sama Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain yang berjudul “Sains dalam Bahasa Melayu pada Abad Ke-20 (Peranan Kerajaan), yang bersiaran secara langsung tengah hari tadi bersama-sama Dj Yati di Radio IKIM (IKIMfm).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!