Oleh E Pian Pro Poul
28 Jun 2022, 23:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh  Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak menganjurkan Program Bual Bicara: Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa, bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2022 Peringkat Negeri Perak. Program ini disertai oleh wakil jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Perak, pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan di negeri Perak.

Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang pentingnya penguasaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam kalangan masyarakat sama ada dalam bentuk tulisan ataupun lisan. Selain itu, program ini adalah untuk mengingatkan masyarakat tentang kempen DMK yang sedang berlangsung dari tahun 2021 hingga tahun 2030. Dengan amalan membacalah masyarakat akan memperoleh ilmu bagi membiasakan perkara yang betul dan membetulkan yang biasa.

Program bual bicara yang dipengerusikan oleh Encik Azhar Osman, Ketua Jabatan Akademik, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh ini menampilkan tiga orang ahli panel daripada tiga kaum, iaitu Dr. Norhazlina Husin (UiTM, Shah Alam), Encik Chai Loon Guan (Munsyi Dewan (Bahasa) dan Encik Baljeet Singh a/l Piara Singh (SMK Lahat, Ipoh). Ketiga-tiga ahli panel ini terlibat secara langsung dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat IPT, masyarakat awam dan sekolah menengah.

Mereka sependapat bahawa penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul perlu ditanamkan dalam minda anak-anak sejak awal lagi dalam keluarga sebelum dibugarkan pada peringkat sekolah, dan seterusnya dimantapkan pada peringkat pengajian tinggi. Dengan cara sedemikian, masyarakat yang dilahirkan nanti akan lebih peka terhadap penggunaan bahasa yang baik dan betul mengikut konteksnya.

Encik Baljeet Singh pula menegaskan bahawa perkara ini tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana beliau telah melaksanakannya di sekolah lamanya, iaitu di SMK Tawau, Sabah, selama 31 tahun dan kaedah ini memang berjaya meningkatkan penguasaan murid pelbagai etnik terhadap bahasa Melayu. Encik Chai Loon Guan turut menyarankan agar masyarakat pengguna bahasa Melayu membiasakan diri dengan penggunaan bahan rujukan dan kamus seperti Kamus Dewan Perdana dan kamus secara dalam talian yang kini hanya berada di hujung jari sahaja, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), untuk membetulkan penggunaan bahasa mengikut makna dan konteksnya. Sementara itu, Dr. Norhazlina pula mengingatkan masyarakat, khususnya pelajar IPT supaya dapat membezakan antara bahasa rasmi, bahasa slanga serta bahasa pasar agar tidak terbawa-bawa ke dalam konteks rasmi.

Program bual bicara ini turut dihadiri oleh Encik Rahimi Arifin (Pengarah DBPWU) dan Puan Suraya Haji Ariffin (Pustakawan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak). Program yang berlangsung di Auditorium, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak ini turut disiarkan secara langsung di Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dan Youtube Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.