Oleh Kho Thong Eng
19 Julai 2022, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Umum mengetahui bahawa semua ayat dalam bahasa Melayu didasari oleh empat struktur ayat inti atau ayat dasar, iaitu Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK), Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA), dan Frasa Nama + Frasa Sendi nama (FN + FS). Sila lihat contoh yang berikut:

1. Dia guru. FN + FN
2. Dia belajar. FN + FK
3. Dia pandai. FN + FA
4. Dia ke Kangar. FN + FS

Lazimnya, pengguna bahasa Melayu dapat mengesan struktur ayat dasar dengan pantas dan mudah. Walaupun begitu, apabila terdapat golongan kata tertentu yang dapat berfungsi sebahagiannya atau sepenuhnya seperti golongan kata yang lain, ada sahaja pengguna bahasa Melayu yang terkeliru.

Terdapat kata kerja yang dapat diiringi oleh kata penguat, sama seperti kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:

5a. Dia sangat berilmu. FN + FK
5b. Dia sangat pandai. FN + FA
5c. Dia mempunyai ilmu yang sangat banyak. FN + FK

6a. Dia sangat terkejut. FN + FK
6b. Dia sangat terharu. FN + FK
6b. Dia sangat hairan. FN + FA

Dalam ayat 5a, kata kerja tak transitif berilmu dapat berada pada kedudukan paradigmatik yang sama seperti kata adjektif pandai (ayat 5b), tetapi maksud dan struktur ayatnya berbeza. Sebaliknya, maksud ayat 5a sama dengan ayat 5c yang didasari struktur yang lain dengan frasa kerja yang berbeza (mempunyai ilmu). Walaupun kata kerja berilmu dapat diiringi oleh kata penguat seperti sangat, sama seperti kata adjektif pandai, kata tersebut tetap memelihara fungsi asalnya sebagai kata kerja.

Dalam ayat 6a dan 6b, kata kerja terkejut dan terharu dapat berada pada kedudukan paradigmatik yang sama dengan kata adjektif hairan, dan dapat diiringi kata penguat sangat, tetapi kedua-dua kata itu tetap kata kerja.

Ada juga kata kerja transitif yang dapat diiringi kata penguat. Sila lihat contoh yang berikut:

7a. Pemandangan di pantai itu amat mempesonakannya. FN + FK
7b. Pemandangan di pantai itu amat mempesonakan (saya). FN + FK
7c. Pemandangan di pantai itu amat indah. FN + FA

Dalam kelompok ayat 7, kata kerja transitif mempesonakan dapat berada pada kedudukan paradigmatik yang sama seperti kata adjektif indah. Dalam hal itu, objek kata ganti diri orang pertama seperti kata saya (dalam ayat 7b) boleh digugurkan. Selain itu, kata mempesonakan dapat juga diiringi kata penguat seperti kata amat, sama seperti kata adjektif. Walau bagaimanapun, keutuhan kata mempesonakan sebagai kata kerja transitif tetap tidak berubah. Hal ini disebabkan kata kerja itu dapat dipasifkan, sama seperti kata kerja transitif lain. Sebaliknya, kata adjektif tiada ragam aktif dan pasif. Sila lihat contoh yang berikut:

7d. Dia amat dipesonakan oleh pemandangan di pantai itu. FN + FK

Sebilangan kata kerja dapat menerima kata penguat tetapi tidak dapat diganti secara paradigmatik oleh kata adjektif. Walaupun kita dapat membina ayat dengan maksud yang hampir sama dengan ayat dengan kata adjektif tertentu, struktur ayatnya terpaksa diubah terlebih dahulu. Sila lihat contoh yang berikut:

8a. Dia sangat memerlukan bantuan.
8b. Bantuan sangat diperlukan (oleh)nya.
8c. Bantuan sangat penting kepadanya.

9a. Dia sangat mengharapkan sokongan.
9b. Sokongan sangat diharapkan (oleh)nya.
9c. Sokongan sangat mustahak baginya.

Dalam kelompok ayat 8 dan 9 di atas, kata kerja memerlukan, diperlukan, mengharapkan dan diharapkan tidak dapat diganti terus dengan kata adjektif. Kita terpaksa membina ayat dengan struktur yang berbeza dan kata adjektif tertentu untuk mendukung makna yang hampir sama (ayat 8c dan 9c).

Ada juga kata kerja yang berfungsi sebagai kata pemeri. Sila lihat contoh yang berikut:

10a. Dia merupakan dirinya sebagai orang miskin. FN + FK
10b. Dirinya dirupakannya sebagai orang miskin. FN + FK

11a. Dia merupakan guru. FN + FN
11b. Dia ialah guru. FN + FN
11c. Dia guru. FN + FN
11d. *Guru dirupakannya. Struktur yang salah

Dalam ayat 10a, kata kerja merupakan ialah kata kerja aktif transitif. Oleh itu, kata kerja itu dapat dipasifkan sebagai kata dirupakan (ayat 10b). Walaupun begitu, dalam ayat11a, kata kerja merupakan bukan sahaja berfungsi seperti kata pemeri ialah, malahan kehilangan fungsinya sebagai kata kerja transitif (ayat 8d). Hal ini dikatakan demikian kerana kata merupakan dalam ayat 11a bersifat opsyenal dan boleh digugurkan, sama seperti kata pemeri ialah, tanpa menjejaskan struktur dan makna ayat (ayat 11c).

Ada juga kata kerja yang dapat berfungsi sebagai kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:

12a. Dia melalui jalan itu. FN + FK
12b. Jalan itu dilaluinya. FN + FK

13a. Perhubungan mereka melalui Internet. FN + FS
13b. Perhubungan mereka dengan Internet. FN + FS
13c. *Internet dilalui perhubungan mereka. Struktur yang salah

Dalam kelompok ayat 12a, kata melalui merupakan kata kerja transitif yang dapat dipasifkan (ayat 12b). Walaupun demikian, dalam ayat 13a, kata melalui bukan sahaja berfungsi seperti kata sendi nama dengan (ayat 13b), malahan kehilangan fungsinya sebagai kata kerja transitif (ayat 13c).
Selain kata kerja melalui, kata kerja menerusi dan mengenai juga dapat berfungsi sebagai kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:

14a. Jarum menerusi kain itu. FN + FK
14b. Kain diterusi jarum. FN + FK

15a. Perhubungan mereka menerusi surat. FN + FS
15b. Perhubungan mereka dengan surat. FN + FS
15c. *Surat diterusi perhubungan mereka. Struktur yang salah

16a. Tembakannya mengenai sasaran. FN + FK
16b. Sasaran dikenai tembakannya. FN + FK

17a. Syarahannya mengenai kasih sayang. FN + FS
17b. Syarahannya tentang kasih sayang. FN + FS
17c. *Kasih sayang dikenai syarahannya. Struktur yang salah

Dalam ayat 14a, kata menerusi ialah kata kerja transitif yang dapat dipasifkan (ayat 14b), tetapi dalam ayat 15a, kata menerusi bukan sahaja berfungsi seperti kata sendi nama dengan (15b), malahan kehilangan fungsinya sebagai kata kerja transitif (ayat 15c).

Dalam ayat 16a, kata mengenai ialah kata kerja transitif yang dapat dipasifkan (ayat 16b), tetapi dalam kelompok ayat 17a, kata menerusi bukan sahaja berfungsi seperti kata sendi nama tentang (ayat 17b), malahan kehilangan fungsinya sebagai kata kerja transitif (ayat 17c).

Selain kata kerja, ada kata adjektif yang dapat berfungsi sebagai kata adverba. Sila lihat contoh yang berikut:

18a. Bangunan itu tinggi. FN + FA
18b. Burung itu terbang tinggi. FN + FK
18c. Burung itu terbang. FN + FK

19a. Dia lambat. FN + FA
19b. Dia lambat datang. FN + FK
19c. Dia datang lambat. FN + FK
19d. Dia datang dengan lambat(nya) FN + FK
19e. Dia datang. FN + FK

Dalam ayat 18a, kata tinggi ialah kata adjektif yang menghuraikan frasa nama bangunan itu. Dalam ayat 18b pula, kata tinggi berfungsi sebagai kata adverba yang menerangkan kata kerja terbang. Hal ini terbukti kerana kata tinggi boleh dihilangkan tanpa menjejaskan struktur ayat walaupun makna ayat menjadi lebih umum (18c).

Dalam ayat 19a, kata lambat ialah kata adjektif yang menghuraikan frasa nama dia. Dalam ayat 19b pula, kata lambat berfungsi sebagai kata adverba yang menerangkan kata kerja datang. Hal ini terbukti kerana kata lambat boleh dialihkan kedudukannya dalam ayat (ayat 19c dan ayat 19d), dan boleh dihilangkan tanpa menjejaskan struktur ayat, walaupun makna ayat menjadi lebih umum (19e).

Tuntasnya, kata yang berfungsi sebagai golongan kata lain tetapi masih mengekalkan sifat dan fungsi asalnya dikategorikan mengikut golongan kata asalnya. Sebaliknya, kata yang berfungsi sebagai golongan kata lain dengan mengalami kehilangan sifat dan fungsi asalnya dikategorikan mengikut golongan kata yang lain.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.