20 Julai 2022, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu sangat terkenal dengan kesantunan dan budi bahasanya. Namun begitu, sikap tersebut semakin hilang ditelan arus kemodenan pada masa ini. Bahasa kasar dilihat semakin meluas penggunaannya dalam kehidupan masyarakat terutamanya dalam kalangan anak muda. Buktinya, kata-kata kesat sangat mudah dilihat dalam setiap hantaran di laman media sosial masyarakat pada hari ini tanpa mengira peringkat umur dan latar belakang.

Jika dahulu, anak kecil yang berbahasa kasar sudah pasti dicili-cilikan mulutnya kerana norma masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu pada masa tersebut yang sangat mementingkan aspek kesopanan dan kesantunan dalam berkomunikasi. Namun begitu, situasi pada hari ini adalah sebaliknya. Masyarakat tidak malu dan teragak-agak untuk menggunakan bahasa kasar ketika berkomunikasi sama ada secara bersemuka atau tidak di laman media sosial masing-masing.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bahasa kasar bermaksud bahasa yang tidak sopan atau tidak manis dituturkan atau digunakan. Bahasa kasar tidak mementingkan kesantunan dan kesopanan dalam proses berbahasa. Amnya, bahasa kasar ialah bahasa yang digunakan dalam percakapan atau tulisan yang boleh menyakitkan hati seseorang yang mendengar atau membacanya.

Perkataan yang digunakan juga tidak dipilih secara berhati-hati berbanding dengan bahasa halus. Bahasa kasar selalunya dikaitkan dengan pemilihan dan penggunaan bahasa yang tidak sesuai dengan keadaan dan tempat sehingga menimbulkan perasaan kurang senang pihak yang mendengar atau membacanya.

Bahasa kasar juga selalu dikaitkan dengan bahasa kesat, iaitu bahasa yang digunakan di luar lingkungan frasa yang biasa digunakan. Penutur atau penulisnya selalu dianggap sebagai orang yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah dan tidak tahu berbahasa. Antara contoh perkataan bahasa kasar termasuklah bodoh, gila dan celaka.

Bil. Bahasa Halus Bahasa Kasar
1. Diucapkan dengan nada yang lembut

dan rendah.

Penggunaan kata yang kasar dan kesat yang tidak menyenangkan pendengarnya.
2. Pemilihan diksi memperlihatkan kesopanan. Menggunakan kata sindiran.
3. Menggunakan tatabahasa yang sempurna dan teratur. Tidak menggunakan peraturan nahu yang lengkap.
4. Menggunakan kata ganti nama diri yang lengkap dan sopan. Menggunakan kata ganti nama diri yang kurang sopan.
5. Penggunaan dalam emosi positif. Penggunaan dalam emosi negatif

 

Jika bahasa halus merujuk kesantunan berbahasa, bahasa kasar pula merujuk ketidaksantunan berbahasa. Ketidaksantunan berbahasa mampu menimbulkan konflik dalam sesebuah komunikasi yang dibina. Culpeper merujuk kajian Zaitul Azma dan rakan-rakan yang bertajuk “Penggunaan Strategi Ketidaksantunan dalam Kalangan Remaja di Sekolah” yang mendefinisikan ketidaksantunan sebagai strategi yang dirancang. Bahkan, beliau telah menggariskan beberapa elemen yang boleh menyebabkan perlakuan pertuturan tersebut menjadi tidak santun dalam Model Ketidaksantunan yang dikemukakannya. Elemen tersebut adalah seperti yang berikut:

  1. Perlakuan penutur dalam komunikasi yang jelas bertujuan menyerang air muka pendengar;
  2. Pendengar merasakan ujaran penutur menyerang air mukanya;
  • Kombinasi situasi kedua-dua elemen di atas.

Culpeper turut membangunkan lima strategi ketidaksantunan yang menguatkan lagi Model Ketidaksantunan. Lima strategi tersebut ialah seperti yang berikut:

Bil. Strategi Ketidaksantunan Maksud
1. Ketidaksantunan Secara Langsung Tingkah laku ancaman terhadap air muka dilakukan secara langsung, jelas dan tidak kabur.
2. Ketidaksantunan Positif Penggunaan strategi yang bertujuan untuk menjatuhkan air muka penutur. Contohnya, menganggap penutur atau penulis komen  tidak ada dalam aktiviti yang dilakukan. Merangkumi i. tidak memerhati atau mengabaikannya; ii. Tidak memberikan simpati; iii. Menggunakan penanda identiti yang tidak tepat; iv. Menggunakan bahasa yang tidak jelas atau rahsia; v. Menunjukkan ketidaksungguhan; vi. Menggunakan bahasa yang tabu dan vii. Menyapa dengan nama lain.
3. Ketidaksantunan Negatif Penggunaan strategi yang bertujuan merosakkan air muka komen penulis seperti i. menakut-nakutkan; ii. Memandang rendah atau memperlekehkan; iii. Mencemuh atau mengejek; iv. Menghina; v. Mempermainkan; vi. Memperkecilkan perasaan pendengar; v. mengambil kesempatan terhadap pendengar; vi. Menggunakan sapaan dengan menonjolkan aspek personaliti yang negatif dan vii. Menempatkan orang lain sebagai yang bertanggungjawab.
4. Sarkastik/Kesantunan Sindiran Menerangkan ketidaksantunan secara ajukan, pura-pura, disengajakan atau dibuat-buat.
5. Menahan Kesantunan Strategi menahan kesantunan iaitu tidak melakukan strategi kesantunan seperti yang diharapkan.

Awang Sariyan dalam bukunya yang bertajuk Santun Berbahasa pula menyatakan bahawa kaum Melayu amat terkenal dengan sistem nilai yang bertunjangkan kesopanan dan kesantunan baik dalam aspek lisan, tulisan mahupun perbuatan. Keunikan ini berkait rapat dengan ajaran Islam kerana hubungan antara kedua-duanya telah terikat kemas.

Islam juga sentiasa menganjurkan umatnya untuk menggunakan kata-kata yang baik sama ada dalam pertuturan mahupun penulisan. Antara ayat-ayat al-Quran yang menyarankan penggunaan dan pemilihan bahasa yang baik dan sesuai adalah seperti dalam surah  al-Israa’, ayat 53 yang bermaksud “…dan katakanlah kepada hamba-Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang baik…” dan surah al-Baqarah, ayat 83 yang bermaksud “…dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia”. Penggunaan perkataan yang baik menggambarkan kemuliaan peribadi seseorang dan mampu menimbulkan kemesraan kepada sesiapa yang mendengarnya.

Sebagai sebuah negara yang kebanyakan penduduknya berketurunan Melayu dan beragama Islam amatlah menyedihkan apabila bahasa kasar digunakan dalam pelbagai situasi seperti dalam filem, drama televisyen mahupun pergaulan seharian masyarakat termasuklah ketika berkomunikasi di laman media sosial masing-masing.

Seperti yang kita maklum, bahasa kasar dan perkataan yang menyakitkan hati dilarang dalam Islam atau mana-mana agama sekalipun. Jika berada di tempat awam ataupun sedang menikmati hidangan di kedai makan umpamanya, kita boleh mendengar anak-anak muda bergurau sesama mereka dengan mengucapkan perkataan seperti bodoh, sial, babi, mampus, anjing, sundal dan sebagainya tanpa malu atau risau didengari oleh orang lain. Bahkan, anak muda beranggapan bahawa perbuatan mereka tersebut tidak salah dan sekadar bergurau mesra bersama-sama rakan masing-masing.

Menurut Hariyati Ariffin, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam dalam kajian rambangnya berkaitan dengan isu bahasa kasar mendapati bahawa penggunaan bahasa kasar dan tidak beradab ialah sesuatu yang tidak baik untuk dipraktikkan. Walau bagaimanapun, responden yang ditemu bual berpendapat bahawa bahasa kasar tersebut hanya digunakan dalam kalangan kawan-kawan dan sebagai satu bentuk gurauan yang merapatkan hubungan persahabatan antara mereka.

Kebanyakan golongan muda berbahasa kasar disebabkan oleh pengaruh di sekeliling mereka. Contohnya, ada ibu bapa yang menggunakan kata-kata yang kurang sopan dan mencarut di hadapan anak-anak walaupun perbuatan tersebut bukan ditujukan kepada anak-anak mereka dan sebaliknya kepada rakan-rakan mereka. Namun begitu, anak-anak tersebut yang mendengar akan mudah terikut-ikut perbuatan tersebut.

Pada zaman “langit terbuka” ini, bahasa kasar amat mudah dilihat terutamanya di media sosial. Walaupun media sosial seseorang ialah laman peribadi, setiap komunikasi di laman tersebut memerlukan unsur kesopanan dan kesantunan. Hal ini demikian kerana setiap hantaran dan komen dalam media sosial boleh diakses oleh sesiapa sahaja di seluruh dunia. Oleh itu, sebagai seorang warganegara Malaysia, kita perlu sentiasa menjaga penggunaan bahasa di media sosial masing-masing yang merupakan satu medium terbuka yang menggambarkan sifat dan sikap masyarakat.

Tuntasnya, penggunaan bahasa kasar yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat wajar dirisaukan. Penggunaan bahasa kasar bertentangan dengan cerminan dan norma masyarakat Melayu yang terkenal dengan sikap lemah-lembut dan bersopan santun baik dari segi perbuatan dan percakapannya. Nenek moyang kita dahulu sangat halus bahasanya dan menggunakan bahasa yang berlapis dan berlapik semasa berkomunikasi antara satu sama lain. Setiap kata yang keluar dari mulut dipastikan tidak menyakiti hati orang yang mendengarnya.

Penggunaan bahasa kasar bukan sahaja boleh menimbulkan permusuhan, bahkan memberikan imej yang kurang baik kepada penuturnya. Sewajarnya, setiap ahli masyarakat terutama ibu bapa perlulah memastikan penggunaan bahasa kasar yang semakin leluasa kini tidak diwarisi dan menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Ayuh, bersama-samalah kita patuh kepada prinsip Rukun Negara yang kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan kerana bahasa menunjukkan bangsa!

 

 

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!