4 Ogos 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Kiara – Bersempena dengan Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022,  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan “Forum Memartabatkan Bahasa Melayu di Persada Dunia” yang bersiaran secara langsung pada hari ini, pada pukul 2.30 petang di Studio 2, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, KPM, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Tuan Haji Mohd Khair bertindak sebagai moderator forum.

Panel undangan forum terdiri daripada Prof. Madya Dr. Ramalinggam A/L Rajamanickam, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Yang turut hadir ialah Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron, iaitu Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, selaku moderator.

Menurut Prof. Madya Dr. Ramalinggam, bahasa Melayu memang bahasa antarabangsa kerana sejak dahulu lagi dan merupakan bahasa
lingua franca. Dalam era kini katanya, usaha proaktif ke arah mengantarabangsakan bahasa Melayu sedang dijalankan oleh kerajaan sebagai pembuat dasar. Di samping itu, perlu ada kerjasama antara kementerian untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi yang seterusnya mengangkat bahasa Melayu ke peringkat dunia.

Tambah beliau, dalam institusi pendidikan, antara program yang perlu diberi keutamaan termasuklah program Pengajian Bahasa Melayu serta memperbanyak penerbitan jurnal dalam bahasa Melayu yang bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi dapat digerakkan melalui peranan industri yang memainkan peranan yang amat besar dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Dalam sesi temuduga juga majikan perlu menggunakan bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu perlu diutamakan selain tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris.

Menurutnya lagi, syarikat antarabangsa juga tidak dilarang untuk menggunakan bahasa Inggeris, tetapi perlu digunakan seiring dengan penggunaan bahasa Melayu. Hal ini untuk meningkatkan kewibawaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

Tambahnya, setiap warganegara juga perlu boleh berbahasa Melayu kerana bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara. Jati diri bahasa kebangsaan sangat penting kerana jika masyarakat ingin maju dalam pelbagai bidang, maka perlulah mencintai akan bahasa Melayu dan tidak meminggirkan bahasa Melayu. Jati diri ini perlu disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi oleh ibu bapa. Peranan ibu bapa di rumah dan para guru di sekolah sangat penting untuk menanam rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak muda sekarang ini.

Seseorang ilmuwan seharusnya boleh memantulkan ilmu dalam pelbagai bahasa walaupun sumber ilmu itu daripada pelbagai bahasa kerana bahasa itu digunakan mengikut konteks.

Beliau menambah, perlu diperbanyakkan program dan aktiviti yang dapat menyemarakkan bahasa kebangsaan sebagaimana yang diusahakan oleh DBP. Menurutnya, ahli akademik juga perlu berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan dan bukannya menggunakan bahasa Inggeris semata-mata. Selain itu, peruntukan hukuman dan undang-undang kebahasaan perlu dikuatkuasakan dengan tegas oleh pihak yang berkenaan.

Masyarakat juga perlu memartabatkan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan dan perpaduan bangsa tanpa perlu meminggirkan bahasa Inggeris. Setiap warganegara perlu mendaulatkan bahasa kebangsaan dan seterusnya dapat mengangkat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, menurut Prof. Madya Ts. Dr. Jessica, masyarakat seharusnya diberi peluang untuk mempamerkan sikap patriotisme mereka dalam usaha ke arah pembinaan negara bangsa. Katanya lagi, setiap rakyat Malaysia perlu ada rasa hormat kepada perlembagaan dan rukun negara serta mempunyai nilai murni dalam diri dalam merealisasikan konsep Keluarga Malaysia.

Setiap orang boleh belajar pelbagai bahasa tetapi tidak boleh meminggirkan bahasa Melayu.

Tambah beliau, masyarakat boleh memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi melalui bidang penterjemahan. Drama dan filem tempatan boleh dibawa ke luar negara melalui penterjemahan untuk mengangkat bahasa Melayu pada peringkat dunia. Sementara itu, industri buku pula boleh dipergiatkan lagi dengan menghargai penulis melalui anugerah yang seterusnya dapat mengangkat penulis ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, dari segi pakaian pula, budaya Malaysia boleh diangkat di luar negara dengan memperkenalkan pakaian Malaysia ke luar negara. Begitu juga dalam bidang masakan, contohnya sambil memasak sambil berpantun dan menggunakan nama rempah ratus dalam bahasa Melayu. Selain membawa imej negara ke mata dunia, usaha ini dapat memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.

Beliau turut bersetuju dengan panel pertama bahawa jati diri bahasa Melayu masyarakat perlu kuat. Masyarakat perlu mempunyai roh cinta akan bahasa Melayu dalam jiwa mereka.

Tambahnya, bahasa Melayu dan kesejahteraan sosial perlu seimbang. Hal ini boleh dilakukan dengan penyatuan badan bukan kerajaan sebagai satu komuniti dengan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk memartabatkan bahasa Melayu. Formula terbaik perlu ada dalam membentuk penyatuan dan perpaduan bangsa dengan mencari titik persamaan dalam usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan seterusnya mengangkat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica dan Prof. Madya Dr. Ramalinggam  berkongsi pandangan tentang bahasa Melayu.

Antara tujuan utama forum ini diadakan termasuklah untuk mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan di samping mengeratkan dan memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.

DBK merupakan kesinambungan pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang diperkenalkan pada tahun 1999 bagi menyahut saranan kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Maka itu, selaras dengan hasrat menjadikan kegiatan DBK sebagai kegiatan yang mendapat penyertaan yang lebih meluas dan berkesan, DBK dilaksanakan secara bersepadu dengan pelbagai pihak termasuklah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. KPM merupakan antara jabatan kerajaan yang aktif melaksanakan kegiatan kebahasaan dan sentiasa terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program DBK.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.