Oleh Kho Thong Eng
9 Ogos 2022, 16:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata mengundang dan menjemput merupakan dua patah perkataan yang mempunyai hubungan yang agak istimewa, iaitu dalam persamaan terdapat perbezaan.  Jika kita merujuk kamus bahasa Melayu, seperti Kamus Pelajar Bahasa Melayu Dewan Edisi Kedua, Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Dewan Perdana, kita akan mendapat gambaran maksudnya yang sekata.

Menurut kamus-kamus tersebut, kata mengundang dan kata menjemput mempunyai persamaan dari segi maksud “menyilakan atau mempersilakan seseorang untuk menghadiri sesuatu majlis, perayaan, perjumpaan, dan sebagainya”.  Padanan kata bahasa Inggeris bagi maksud mengundang dan menjemput ini ialah invite. Sila lihat contoh penggunaannya yang berkaitan, iaitu:

1a.  Dia mengundang/menjemput tetamu ke majlis perkahwinannya.

1b.  Dia telah menghantar kad undangan/jemputan kepada para tetamu.

1c.  Ramai undangan/jemputan menghadiri majlis perkahwinannya.

Walau bagaimanapun, kata menjemput juga mendukung maksud lain. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Dia menjemput pelancong asing di lapangan terbang.

2b.  Dia menjemput anaknya di sekolah.

2c.  Dia menjemput kuih yang dihidangkan oleh tuan rumah.

Dalam ayat 2a dan 2b di atas, kata menjemput bererti “menyambut ketibaan seseorang atau mengambil seseorang”. Padanan kata bahasa Inggeris bagi maksud menjemput tersebut ialah fetch. Dalam ayat 2c pula, kata menjemput bererti “mengambil sesuatu dengan hujung jari, atau mencekut”.

Hubungan makna antara kata mengundang dengan kata menjemput dalam konteks ayat di atas dapat digambarkan secara grafik seperti yang berikut:

 

Berdasarkan gambar rajah di atas, ternyata bahawa maksud kata mengundang merupakan subset bagi set pengertian kata menjemput yang lebih besar. Walau bagaimanapun, menurut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, kata mengundang dan menjemput lebih sesuai digunakan dalam konteks yang berikut:

  1. mengundang: memanggil atau mempersilakan orang untuk menghadiri majlis, perayaan, pertemuan dan sebagainya.
  2. menjemput: pergi menyambut, menyongsong atau mengambil seseorang

Jika kita menghalusi kata undang dengan jemput lagi, kita akan mendapati wujudnya perbezaan lain.  Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Jemput minum teh yang terhidang.

3b.  *Undang minum teh yang terhidang.

4a.  Terdapat empat orang undang di Negeri Sembilan.

4b.  *Terdapat empat orang jemput di Negeri Sembilan.

5a.  Kecuaiannya mengundang masalah dan bahaya.

5b.  *Kecuaiannya menjemput masalah dan bahaya.

6a.  Dewan undangan negeri ini telah dibubarkan.

6b.  *Dewan jemputan negeri itu telah dibubarkan.

7a.  Dia telah menyalahi undang-undang.

7b.  Dia makan jemput-jemput dengan penuh berselera.

Dalam ayat 3a di atas, kata jemput ialah kata silaan yang sama ertinya dengan kata sila. Oleh itu, kata itu tidak dapat diganti dengan kata undang. Dalam ayat 4a, kata undang bererti “pembesar adat”, dan tidak boleh diganti dengan kata jemput.  Dalam ayat 5a, kata mengundang berkonotasi kiasan “mendatangkan”, dan tidak dapat diganti dengan kata menjemput. Dalam ayat 6a, kata undangan bererti “yang menggubal undang-undang”, dan tidak boleh diganti dengan kata jemputan. Dalam ayat 7a, kata undang-undang bererti “susunan peraturan dan ketentuan’, manakala dalam ayat 7b, kata jemput-jemput bererti “sejenis kuih yang dibuat daripada adunan tepung dengan pisang, gula, dan sebagainya (atau tepung dengan bawang, garam dan sebagainya) yang digoreng”. Oleh itu, kata undang-undang dan kata jemput-jemput tidak boleh bertukar ganti.

Selain kata mengundang dan menjemput, terdapat juga kata lain yang mendukung makna “mempersilakan”. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Dia mengajak kawannya untuk ke kantin.

8b.  Dia mempelawa kawannya untuk berkelah.

Kata mengajak atau mempelawa dalam kelompok ayat 8 di atas bererti “mempersilakan untuk pergi bersama-sama”. Sinonim lain ialah kata semawa. Oleh itu, terdapat perbezaan antara maksudnya dengan maksud kata mengundang dan menjemput.

Selain itu, kata mengajak dan mempelawa mendukung maksud yang lain. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Dia mengajak jirannya untuk berkelahi.

10a.  Jabatan itu mempelawa pemohon untuk mengisi beberapa jawatan

kosong.

10b.  Sebut harga dipelawa daripada syarikat yang berminat untuk

membekalkan komputer.

Dalam ayat 9, kata mengajak bererti “merangsang atau mencabar seseorang untuk melakukan sesuatu”. Dalam kelompok ayat 10, kata mempelawa dan dipelawa merupakan istilah yang berkaitan dengan sesuatu jawatan yang perlu diisi atau sesuatu kerja yang perlu dilaksanakan.

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.