Oleh Fenny Liging
17 Oktober 2022, 22:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Papar, Sabah – Suku kaum Dusun Malapi merupakan antara suku kaum yang hampir pupus di Sabah. Sehubungan dengan itu, Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) telah melaksanakan program Pelestarian Bahasa Sukuan Sabah: Dusun Malapi, hasil tajaan Kerajaan Negeri Sabah di Hidden Paradise Resort, Papar yang berlangsung pada 12 hingga 16 Oktober 2022.

Antara objektif pelaksanaan program tersebut termasuklah untuk memperkaya kosa kata bahasa sukuan Sabah, mendokumentasikan hasil penyelidikan tentang budaya dan bahasa Dusun Malapi, mengekalkan jumlah bahasa etnik di Sabah, dan melahirkan warga DBP yang berketerampilan dalam penyelidikan bahasa melalui bimbingan fasilitator atau rakan penyelidik.

Program yang berlangsung selama tiga hari yang diketuai oleh Puan Julianah Kuli, selaku Pegawai Projek melibatkan para peserta yang terdiri daripada tiga orang fasilitator daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, tujuh orang staf DBPCS, seorang pembantu penyelidik dan 12 orang informan daripada subetnik Dusun Malapi.

Peserta sesi Santai Petang Pelestarian Bahasa Sukuan Sabah: Dusun Malapi bersama-sama  Puan Aminah Awang Basar, iaitu Pengarah DBPCS.

Semasa sesi santai petang program Pelestarian Bahasa Sukuan Sabah: Dusun Malapi bersama-sama Pengarah DBPCS, Puan Aminah Awang Basar dalam ucapannya menyatakan penghargaan dan rasa terima kasihnya kepada masyarakat Dusun Malapi atas kerjasama yang sangat baik dalam merealisasikan objektif program tersebut.

Yang turut hadir dalam program ini ialah Encik Justin Sumpongol (mantan Ketua Anak Negeri Daerah Papar), Puan Jennitah Nordin (Timbalan Pengarah II,  DBPCS) dan Puan Mokilim Buhakut (wakil Hidden Paradise Resort).

Susulan daripada kajian lapangan ini, sesi pemurnian bahan kajian akan diadakan pada bulan Disember dan penulisan hasil kajian akan bermula pada bulan Januari 2023 hingga Disember 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.