Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKeningau, Sabah – Ceramah Bersahabat dengan Kamus (BdK), Siri yang ke-14 dan Pertandingan Jejak Kamus telah berjaya dilaksanakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau baru-baru ini. Ceramah BdK tersebut disampaikan oleh Puan Julianah Kuli.
Antara objektif program ini termasuklah untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi tentang fungsi kamus, cara menggunakan kamus dengan betul, cara pembinaan kamus dan memberikan maklumat pelbagai produk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti kamus ekabahasa, kamus dwibahasa, kamus istilah dan kamus bahasa sukuan.
Sebanyak 50 orang mahasiswa dan mahasiswi IPG Kampus Keningau telah menyertai ceramah ini dan sebanyak 12 orang mahasiswa dan mahasiswi telah dipilih menyertai Pertandingan Jejak Kamus. Hadiah kepada pemenang pula telah disampaikan oleh Puan Aminah Awang Basar, iaitu Pengarah DBP Cawangan Sabah, dalam majlis Seminar Mini Kearifan Tempatan Motif Sabah.
Johan Pertandingan Jejak Kamus telah dimenangi oleh Nur Hurin Umairah Mohd. Kamal dan Nurain Syafiqah Khairil Ashraf, yang telah membawa hadiah wang yang bernilai RM250.00 dan sijil penyertaan. Naib johan pula dimenangi oleh Sherny Betty Peter dan Alice Kong Chak Lin, yang menerima hadiah wang tunai RM200.00 dan sijil penyertaan. Sementara itu, Muhammad Azim Jamal dan Nurhidayah Samsir pula muncul sebagai pemenang tempat ketiga, yang menerima wang tunai RM150.00 dan sijil penyertaan.
Pemenang hadiah sagu hati pula dimenangi oleh Glorianne Michelle Anak Jeffery dan Muhammad Eizzlan Ameer Mohd Yusz, Deendee Fendy Glenn dan Givenie Lizabeth Gregory, serta Muhammad Aiman Aqil Che Ahmad dan Abdul Hannan Abd. Wahid. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM50.00 dan sijil penyertaan.