10 November 2022, 20:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rancangan “Cakna Bahasa” BERNAMA Radio yang bersiaran pada pukul 3.30 petang tadi telah membincangkan perkhidmatan Sah Bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tetamu undangan untuk siaran pada kali ini ialah Puan Fadhilah Ab. Bahar, Perancang Bahasa dari Bahagian Penguatkuasaan, DBP dan rancangan ini dikendalikan oleh Puan Hanie Hamid, Peneraju BERNAMA Radio.

Menurut Puan Fadhilah Ab. Bahar, DBP Sah Bahasa ialah satu perkhidmatan untuk menyemak dan mengesahkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam iklan, penamaan nama khas dan dokumen. Perkhidmatan ini bertujuan untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baku dan betul dari segi ejaan, tanda baca, istilah dan tatabahasa adalah tepat dan sesuai mengikut konteks penggunaannya.

Bermula pada 24 Februari 2015, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diarahkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mewajibkan pengiklan dan agensi pengiklanan mendapatkan pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul daripada DBP sebelum mereka diberi lesen untuk menyiarkan iklan di tempat awam.

Puan Fadhilah menerangkan proses-proses pengesahan bahasa melalui Khidmat DBP Sah Bahasa.

Tambah beliau, antara bahan-bahan yang disemak oleh DBP termasuklah papan iklan luar, iklan elektronik, iklan tiang, papan premis perniagaan, kain rentang, gegantung, notis makluman, pelabelan, poster dan badan kenderaan, manakala penamaan nama khas yang disahkan oleh DBP adalah seperti penamaan bangunan, kawasan perumahan, tempat awam dan jalan.

Permohonan pengesahan bahasa Melayu dalam iklan ini boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web dbpsahbahasa.my atau melalui kunjungan kaunter di seluruh Malaysia, iaitu di Menara DBP Kuala Lumpur, Pejabat DBP Wilayah Selatan di Larkin Perdana, Johor, Pejabat DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Pejabat DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan, Pejabat DBP Cawangan Sarawak dan Pejabat DBP Cawangan Sabah. Kaunter ini disediakan untuk memberikan tunjuk ajar kepada pelanggan tentang cara permohonan secara dalam talian. Waktu operasi kaunter di Menara DBP Kuala Lumpur adalah dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 3.30 petang dan ditutup pada waktu rehat pada hari Jumaat dari pukul 12.15 tengah hari hingga pukul 2.45 petang, cuti hujung minggu dan cuti umum.

Beliau turut menerangkan bahawa  iklan akan diproses selama satu hari hingga tiga hari bekerja selepas bayaran dibuat. Sekiranya iklan tidak lulus, pemohon perlu membuat kemas kini (pembetulan) dan sekiranya iklan lulus, pemohon perlu memuat turun sijil pengesahan dan mengurus permohonan lesen untuk menyiarkan iklan di tempat awam daripada PBT. Caj yang dikenakan bergantung pada jenis iklan, iaitu RM30.00 untuk papan iklan luar, iklan elektronik, ikan tiang dan RM10.00 untuk jenis iklan yang lain. Tiada bayaran untuk iklan penamaan dan kemas kini.

Menurut beliau, berdasarkan permohonan yang pernah disemak, pemohon kerap melakukan kesalahan yang berkaitan dengan ejaan, tatabahasa dan terjemahan.

Contohnya, perkataan “hidangan lambak” yang ditulis “hidangan peluru”, iaitu istilah terjemahan untuk jenis hidangan “shellout” dan terjemahan “food court” yang sepatutnya menggunakan istilah “medan selera” dan bukannya “mahkamah makanan”. Terjemahan istilah sebegini boleh didapati melalui laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).

Melalui perkhidmatan ini, pihak DBP berharap agar semua pihak dapat menggunakan bahasa Melayu yang baik, betul dan sopan agar penyampaian maklumat daripada satu pihak kepada pihak yang lain lebih jelas dan mudah difahami. Iklan juga melambangkan imej dan jati diri negara sesuai dengan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Secara tidak langsung, pelancong asing dapat mempelajari bahasa Melayu yang baik, betul dan sopan melalui paparan iklan di tempat awam.

Untuk sebarang rujukan berkaitan dengan ejaan, bahasa dan istilah, pelanggan ataupun pengguna bolehlah melayari laman web PRPM atau menghubungi talian utama DBP, iaitu 03-2147 9000.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.