Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPeribahasa Melayu yang menyebut “Jauh perjalanan luas pemandangan” sememangnya tepat untuk individu yang gemar berkelana dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain bagi menambahkan ilmu pengetahuan di samping berkongsi jati diri bangsa bersama dengan masyarakat lain. Tradisi merantau juga mencipta evolusinya sendiri apabila pada zaman kesultanan Melayu, aktiviti itu dapat dikaitkan dengan aktiviti riadah dan untuk menjalin hubungan diplomatik antara kerajaan bagi mengukuhkan hubungan menerusi penghantaran utusan kerajaan. Kedua-dua elemen merantau ini telah memberikan galakan yang positif terhadap komunikasi silang budaya dan bahasa sehingga dapat dirasai pada hari ini.
Pada masa yang sama, tujuan merantau di dunia tanpa batasan ini juga berubah mengikut peredaran zaman. Objektif utamanya bukan lagi berfokus kepada hal ehwal pemerintahan semata-mata tetapi skop merantau menjadi lebih luas termasuklah yang bersifat santai. Tidak dinafikan, keperluan merantau pada abad ke-21 ini banyak dipengaruhi oleh keperluan menjanakan sosioekonomi bagi meningkatkan taraf kehidupan masing-masing. Misalnya, penglibatan pelancong peniagaan dan terdapat juga perantau ke luar negara untuk mencari pekerjaan yang sesuai selain terlibat dengan bidang akademik seperti menyambung pengajian, pertukaran pelajar dan staf antara negara dan juga terlibat dengan persidangan antarabangsa untuk berkongsi hasil penyelidikan di samping aktiviti agama dan juga perkahwinan.
Dampak merantau turut melibatkan perkembangan bahasa Melayu terutamanya di luar negara. Tidak dinafikan bahawa sifat wewenang pada bahasa Melayu itu sendiri telah memudahkannya menyerap masuk ke dalam kehidupan kelompok yang menggemarinya. Hal ini terbukti semasa penulis bertemu dengan rakan di Eropah yang belajar bahasa Melayu dengan tujuan pelancongan. Oleh itu, tidak mustahil dengan aktiviti merantau ini dapat membantu pengukuhan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Perantau Malaysia di luar negara juga dapat dinyatakan sebagai kelompok yang tidak seperti “kacang lupakan kulit” kerana masih utuh dengan jati bahasanya sendiri apabila tetap memperkenalkan kosa kata bahasa Melayu. Antara yang popular digunakan termasuklah yang berkaitan dengan kosa kata yang berkisar tentang makanan, bahan ramuan dalam masakan, nama bunga-bungaan dan nama gadis Melayu. Misalnya, di United Kingdom, kosa kata pada papan tanda kedai makanan menggunakan perkataan Makan, Melur, Normah’s, dan Puteraputeri. Di Amerika Syarikat juga terdapat penemuan kosa kata adjektif seperti Rasa, dan percampuran kod bahasa, iaitu Belacan Grill Malaysian Bistro. Di Mekah pula, ada nama Nur Malaysia dan Rasa Malaysia.
Satu peristiwa yang penting tercatat dalam sejarah Malaysia, iaitu pada 14 Oktober 2022 apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian pembukaan hartanah ikonik pelaburan Malaysia, iaitu Battersea Power Station (BPS) dan menjadi ikon baharu buat masyarakat di Kota London. Perkara yang menarik perhatian menerusi peristiwa ini adalah apabila bait-bait perkataan dalam pantun Melayu dibacakan oleh Ahmad Zulqainain Onn, Presiden yang merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, sewaktu pelancaran yang berbunyi “Tikar jerami bercorak sauh, Diikat-ikat anak nelayan; Bertandang kami ke tempat yang jauh, Tekad dan muafakat resipi kejayaan”, di samping persembahan koir lagu rakyat, Wau Bulan.
Walaupun tradisi merantau menerusi perdagangan antarabangsa dipayungi oleh penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium utama tetapi hal itu tidak melekakan bangsa Malaysia untuk memperkasakan dan menyemai sikap berbangga untuk membawa bahasa Melayu pada tahap yang sepatutnya tanpa mengenyahkan kebenaran asimilasi budaya asing dalam kehidupan umpama “Yang lama dikelek, yang baharu didukung”.
Penggunaan bahasa Melayu di luar negara yang acap kali dibincangkan adalah dari aspek akademik, iaitu penawaran program bahasa Melayu di institusi pengajian luar negara seperti di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China dan Hankuk University of Foreign Studies (HUFS), Korea Selatan, selain urusan rasmi kerajaan yang meninggalkan rasa takjub kepada pendengar apabila Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D.McFeeters, fasih berbahasa Melayu dalam ucapan beliau berkenaan dengan COVID-19 (https://youtu.be/ITwLPMzyGHE).
Pada kesinambungan itu, penulis mendapati bahawa medium YouTube menjadi antara platform utama perkongsian maklumat tentang bahasa Melayu oleh bukan penutur jati bahasa Melayu. Perkara ini membuktikan keberhasilan komunikasi berintegrasi daripada tradisi merantau oleh bangsa Malaysia terhadap masyarakat tempatan di seluruh dunia telah memberikan ruang kesungguhan kepada kelompok minoriti bukan jati penutur untuk mengungkapkan bahasa Melayu dengan yakin dan berketrampilan.
Perkara yang dapat diperhatikan ialah perkongsian kandungan idea daripada saluran YouTube ini bersifat santai dan berbentuk hiburan. Contohnya, saluran HoonDooTV 훈두TV (https://www.youtube.com/@HoonDooTV/featured), yang dikendalikan oleh penyanyi popular yang bernama Paradise Hoon and Doo jinsoo yang mempunyai pelanggan sebanyak 109 ribu orang. Mereka sangat popular di Korea kerana sering kali berkongsi nyanyian dalam lagu-lagu berbahasa Melayu oleh artis popular Malaysia seperti kumpulan Wing, Search, Spin, Aina Abdul dan Siti Sarah. Nyanyian yang didendangkan secara duo ini sangat unik kerana selain menyanyikan lirik dalam bahasa Melayu, penyanyi ini turut menterjemahkan lirik lagu tersebut ke dalam bahasa Korea agar dapat difahami oleh masyarakat di sana. Setiap lagu dalam bahasa Melayu yang dinyanyikan mereka pastinya mendapat tempat dan perhatian apabila banyak pelanggan menonton setiap video yang dihasilkan mereka.
Saluran YouTube dalam bentuk penyampaian pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu yang mudah juga diusahakan oleh individu yang berasal dari Korea dan Jepun. Menerusi saluran Korean LangOppa 언어 닉 (https://www.youtube.com/@koreanlangoppa647) dengan tajuk “Kenapa Orang Korea Belajar Bahasa Melayu” dan saluran Kouji Jepun (https://www.youtube.com/@KoujiJepun) dengan tajuk “Kenapa Bahasa Melayu makin popular di Jepun/Orang Jepun bersembang dalam bahasa Melayu” yang menunjukkan bahawa orang Asia dari kedua-dua buah negara ini lancar bertutur dan memahami bahasa Melayu.
Selain itu, peniaga di Timur Tengah seperti Mesir, lazimnya tahu berbahasa Melayu sementara pasangan yang berkahwin dengan orang Malaysia itu sendiri berinisiatif untuk belajar bahasa ibunda pasangan masing-masing dan memuat turun video di saluran YouTube masing-masing serta menjadi pempengaruh kepada masyarakat yang ingin mengetahui tentang bahasa Melayu dan Malaysia. Hal ini dilakukan adalah atas dasar minat dan juga tertarik dengan sifat bahasa Melayu di samping adab susila orang Melayu itu sendiri. Jika diamati, terdapat pelbagai saluran YouTube sebegini rupa yang seumpama cendawan tumbuh selepas hujan, yang menjadi kebanggaan bagi Malaysia.
Tradisi merantau yang dilakukan oleh orang Malaysia ke merata tempat atas faktor ekonomi, sosial dan budaya telah memberikan kesan kepada perkembangan bahasa Melayu. Golongan ini dapat dianggap sebagai duta kecil Malaysia walaupun terdapat individu yang mengambil keputusan untuk menjadi pemastautin di negara-negara tertentu. Namun disebabkan cinta dan tanggungjawab terhadap tanah air telah membawa bersama-sama mereka bahasa Melayu. Kesannya, banyak bangsa asing yang telah jatuh cinta kepada keistimewaan bahasa Melayu. Justeru itu, wahai bangsaku, merantaulah! Bawalah bersama-sama bahasa kebangsaan Malaysia di mana-mana sahaja anda berada.
Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.