Oleh Nasir Hamid
28 Januari 2023, 19:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching − Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Tan Sri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak di Wisma Bapa, Kuching, Sarawak pada 27 Januari 2023. Yang turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Yang Berhormat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak.

Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada jadual lawatan rasmi YB Menteri Pendidikan ke Sarawak setelah dilantik untuk menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Semalam rombongan YB Menteri Pendidikan berada di Bandaraya Miri, Sarawak dan telah mengadakan lawatan ke beberapa buah sekolah di bandar raya tersebut.

Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Yang Berbahagia (YBhg.) Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Norisah Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), dan YBrs. Datu Dr. Azhar Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Dalam perkembangan yang sama, menjawab soalan pihak media selepas selesai pertemuan dengan YAB Premier Sarawak, YB Puan Fadhlina memaklumkan bahawa antara perkara yang telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut termasuklah agenda untuk memperkukuh sistem pendidikan negara, isu pembangunan sekolah daif dan mendengar pengalaman Sarawak dalam mengekalkan perpaduan kaum di negeri ini.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa YAB Premier Sarawak bersetuju supaya Bahas Piala Premier Sarawak dianjurkan semula oleh DBP bagi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah dan memperkukuh perpaduan di Sarawak.

Menyentuh tentang autonomi pendidikan, beliau memaklumkan bahawa perkara tersebut ada dibangkitkan dalam pertemuan tersebut. Beliau turut berharap agar KPM dan Kerajaan Negeri Sarawak akan berjalan seiring dalam hal pendidikan khususnya dalam pelaksanaan program-program di Sarawak.

YB Puan Fadhlina Sidek semasa berbincang dengan YB Datuk Roland Sagah Wee Inn.
Rombongan kunjungan hormat YB Puan Fadhlina merakamkan kenangan pertemuan dengan YAB Premier Sarawak sebelum berangkat pulang.
Perbincangan empat mata antara YB Menteri Pendidikan dengan YAB Premier Sarawak, yang disaksikan oleh ahli rombongan yang lain.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.