Oleh Nasir Hamid
11 Februari 2023, 22:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak, yang diketuai oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPCS bersama-sama Encik Ja’afar Haji Hamdan (Timbalan Pengarah DBPCS) dan para pegawai yang lain. Rombongan DBP ini telah disambut baik oleh Puan Norjihan Yahya, Timbalan Pengarah  Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak, bersama-sama warga jabatannya.

Kunjungan tersebut diadakan untuk mengeratkan hubungan dan membina semula jaringan kerjasama yang telah terjalin sekian lama. DBPCS dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pernah bekerjasama dalam mempromosikan bahasa melalui ruangan “Biasakan yang Betul” dan “Bahasa Warisan Kita”, yang disiarkan melalui Sarawakfm.

Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPCS (kiri) menerima cenderamata daripada Puan Norjihan Yahya, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Sarawak.

Dalam pertemuan tersebut, pelbagai agenda telah dibincangkan termasuklah program kebahasaan dan sastera yang turut memfokuskan penulisan skrip drama radio. Program lain yang turut dibincangkan adalah seperti pertandingan bercerita dan mewarna untuk kanak-kanak. RTM dalam reaksi balasnya turut menawarkan untuk membantu DBPCS menyebarluaskan aktiviti yang dilaksanakan pada tahun ini melalui siaran media mereka.

Selain itu, DBPCS turut memaklumkan bahawa Pertandingan Bahas Piala Premier Sarawak akan dilaksanakan semula pada tahun ini. Justeru, DBPCS berharap agar RTM dapat menjadi penganjur bersama pada kali ini. Sebelum ini, RTM pernah menjadi penganjur dan penyiar rasmi Bahas Piala Ketua Menteri sebelum diberhentikan penganjurannya pada tahun 2019 akibat pandemik COVID-19.

Sesi penyampaian cenderamata selepas sesi taklimat dan perbincangan antara kedua-dua pihak.

Sekiranya program ini dapat direalisasikan bersama-sama RTM, pihak Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak menyasarkan bahawa pertandingan Bahas Piala Premier Sarawak yang akan datang boleh disiarkan secara langsung melalui saluran TV RTM.

Sebelum mengakhiri pertemuan tersebut, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai berharap agar satu pertemuan susulan akan diadakan bagi memperincikan lagi program yang akan dianjurkan bersama-sama kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.